Peter Parker, Spider-Man dan Miles Morales, Spider-Man masing-masing telah menerima permainan tersendiri, dan melalui Marvel’s Spider-Man 2 mereka berdua bersatu di dalam satu permainan dan tidak salah untuk saya katakan harapan saya bagi permainan ini adalah dua kali ganda berbanding permainan-permainan sebelum ini. Di kebanyakan aspek di dalam permainan ini, mereka berjaya untuk membawa satu permainan yang ‘dua kali ganda’ lebih baik, tetapi ada juga aspek yang terasa tidak membawa perubahan yang ketara berbanding permainan sebelum ini.
Perkara pertama yang saya ingin sentuh adalah penceritaan, dua permainan yang lepas membawa satu penceritaan yang baik dan penuh dengan emosi. Perkara yang sama untuk Marvel’s Spider-Man 2 ini dengan tambahan pelbagai lagi watak-watak yang disertakan dengan lebih menyeluruh di dalam penceritaan utama. Insomniac Games mempunyai ramai watak yang ingin disertakan, bukan sahaja kedua-dua Spider-Man, tambahan itu ada MJ, Harry Osborn serta penjahat baharu seperti Kraven the Hunter dan Venom.
Walaupun mempunyai ramai watak, penceritaan masih lagi berjaya disampaikan dengan tidak bercelaru, pacing adalah baik kecuali untuk beberapa adegan yang melibatkan tatamain berbeza, yang saya akan bincangkan kemudian. Kraven the Hunter dan Venom sebagai antagonis adalah menarik, tetapi jelas permainan ini lebih memfokuskan Venom membuatkan Kraven terasa kurang digunakan, namun bagaimana Insomniac Games menggunakan kesemua watak ini, baik atau jahat untuk menggerakkan plot saya boleh katakan mereka melakukan satu tugas yang baik.
Satu lagi perkara yang baik di dalam penceritaan adalah ia menitik beratkan perhubungan di antara watak, bukan sahaja di antara Peter Parker dan Miles tetapi juga dengan watak-watak lain. Cuma sedikit mengecewakan dengan bagaimana permasalahan untuk watak contohnya Peter Parker, Miles Morales dan MJ disampaikan. Saya mengetahui atau menyedari yang mereka mempunyai masalah ataupun sedang melalui sesuatu, tetapi bagaimana perkara tersebut disampaikan membuatkan saya tidak mendapat kesan daripadanya menjadikan ia kurang berkesan.
Mungkin sukar untuk memasuki segala penceritaan di dalam masa yang singkat, tetapi pada masa sama saya merasakan yang permainan ini boleh dipanjangkan lagi untuk memberi ruang kepada setiap masalah tersebut dijadikan fokus. Ia akan membantu untuk mempertingkatkan lagi perkembangan watak. Dengan penceritaan utama sekadar mengambil 12-13 jam untuk dihabiskan, dan sekitar 25 jam untuk keseluruhan, permainan ini masih mempunyai ruang untuk dikembangkan lagi. Oleh itu sedikit mengecewakan Insomniac Games tidak mengambil kesempatan ini.
Bercakap mengenai penceritaan utama, atau misi utama, ia dilakukan dengan baik, dan penukaran di antara Peter Parker dan Miles Morales juga memberi ruang untuk kedua-dua watak mempunyai bahagian tersendiri di dalam misi utama ini. Tambahan itu, seperti permainan lepas, ia turut melibatkan MJ dan ditingkatkan dengan kini mempunyai senjata berbanding menyelinap sahaja sebelum ini. Selain MJ, terdapat beberapa lagi watak yang boleh dikawal dan setiap daripada mereka membawa pengalaman yang berbeza dan menarik, walaupun ada masa penglibatan mereka mengganggu sedikit pacing permainan terutama semasa sedang melalui klimaks penceritaan.
Marvel’s Spider-Man 2 seperti dua permainan yang lepas merupakan permainan dunia terbuka, dan kali ini mereka mendapat dua kawasan baharu iaitu Queens dan Brooklyn, dua kawasan di New York yang sudah menjadi kebiasaan untuk penceritaan Marvel. Dua kawasan baharu ini adalah penambahan yang baik untuk permainan ini, namun mengecewakan yang Insomniac Games masih memilih untuk mengisi dunia terbuka ini dengan ‘aktiviti’ berbanding ‘misi’. Kebanyakan perkara yang boleh dilakukan adalah aktiviti yang sama tetapi di tempat-tempat yang berbeza, ataupun mengumpul perkara yang berlainan di sekitar bandar New York.
Walaupun dengan melakukan aktiviti ini akan membawa penceritaan tersendiri, bagi saya ia tidak menarik terutama dengan dua permainan dunia terbuka yang saya baru sahaja main sebelum ini iaitu Cyberpunk 2077 dan Starfield lebih memfokuskan kepada misi berbanding aktiviti, adalah lebih baik di dalam penyampaian-nya. Terdapat misi yang disertakan untuk Peter Parker berkait dengan ‘The Flame’ manakala mengenai muzik untuk Miles Morales dan bagi saya kedua-dua misi ini adalah sangat menarik, membuatkan saya lebih kecewa kerana ia tidak diperbanyakkan lagi – misi ini juga mempunyai kejutan tersendiri.
Sedikit perkara positif yang saya boleh katakan adalah aktiviti-aktiviti yang disertakan ini mempunya pelbagai variasi, di tambah lagi dengan terdapatnya aktiviti khusus untuk Peter Parker atau Miles Morales, menjadikan ia lebih menarik untuk dilakukan. Tambahan, segala aktiviti ini adalah pilihan sahaja dan tidak perlu dilakukan, ia mungkin diperlukan jika ingin mempertingkatkan tahap sesuatu gajet ataupun kostum kerana ia masih menggunakan sistem token seperti sebelum ini. Setiap aktiviti ini juga tidak mengambil masa yang lama untuk diselesaikan, oleh itu anda mungkin sudah menghabiskannya sebelum sempat merasa bosan.
Permainan Spider-Man mempunyai antara cara traversal terbaik di dalam permainan dunia terbuka melalui web-swigging di dalam permainan sebelum ini, kini, ia ditambah lagi dengan sayap yang membolehkan kedua-dua Spider-man meluncur di udara, dan bagi saya perkara ini membuat saya jarang menggunakan fast travel – walaupun sistem fast travel dipertingkatkan di dalam permainan ini – kerana ia terlalu seronok untuk sekadar swigging dan juga meluncur di Bandar New York. Tambahan pada itu, ini bukan sahaja di udara, tetapi juga di atas air dengan Spider-man kini boleh meluncur di atas permukaan air, ia bukan sahaja kelihatan sangat cool tetapi juga memudahkan lagi pergerakan di dalam permainan ini. Kawalan untuk cara baharu bagi mengembara ini adalah baik, meningkatkan lagi kualiti traversal untuknya.
Pertempuran adalah lebih kurang dengan permainan sebelum ini, akan tetapi Peter Parker dan juga Miles Morales menerima beberapa kuasa baharu dan selain serangan biasa, kedua-dua Spider-Man boleh menggunakan kuasa ini yang boleh digunakan 4 pada satu masa, dengan 4 lagi adalah gajet. 4 kuasa adalah berlainan di antara dua Spider-Man manakala gajet dikongsi oleh kedua-duanya. Walaupun, menggunakan kuasa yang berlainan tetapi pada asasnya gaya pertempuran masih terasa sama di antara dua Spider-Man, dengan ia berbeza kebanyakan adalah bagaimana kuasa tersebut dilakukan ataupun visual sahaja.
Pokok kemahiran juga dibahagi kepada tiga iaitu satu untuk Peter Parker, Miles Morales dan juga satu yang dikongsi oleh mereka berdua. Menggunakan kedua-dua watak ini terasa sedikit berbeza tetapi pada masa sama saya inginkan lebih perbezaan agar benar-benar memperlihatkan perbezaan di antara bagaimana Peter Parker dan Miles Morales bertempur. Kepelbagaian penjahat pula saya boleh katakan pada awalnya ia adalah seperti permainan sebelum ini, akan tetapi menjadi lebih berbeza di bahagian kedua permainan sehingga penamat.
Saya bermain dengan tahap kesukaran Normal ataupun ‘Amazing’ dan saya boleh katakan ia sedikit lebih sukar berbanding dua permainan sebelum ini pada tahap kesukaran yang sama, kali ini saya benar-benar terasa perlu menggunakan segala kuasa dan gajet untuk melawan mereka. Oleh itu, ia adalah permainan yang mencabar jika anda merancang untuk bermain dengan tahap kesukaran lebih tinggi, satu lagi tahap kesukaran iaitu ‘Ultimate’ akan dibuka selepas habis bermain buat pertama kali.
Tekaria disertakan dengan lebih menyeluruh di dalam permainan ini, jika anda menyukainya, ia adalah perkara yang baik. Bagi saya tekaria yang disertakan adalah menarik, ringkas tetapi pada masa sama masih menguji saya. Jika anda tidak menyukai tekaria, permainan ini menyediakan dua pilihan iaitu menjadikan tekaria lebih ringkas ataupun langkau terus tanpa perlu melakukannya.
Bagi grafik, terdapat dua pilihan iaitu Fidelity yang menyasarkan 30FPS tetapi kualiti imej dan resolusi adalah lebih tinggi, di tambah lagi persekitaran juga kelihatan lebih baik terutama dengan ray-tracing digunakan dengan lebih menyeluruh. Satu lagi adalah Performance yang menyasarkan 60FPS tetapi kebanyakan bahagian aspek grafik diringkaskan, termasuk juga penggunaan ray-tracing yang masih ada tetapi kurang berbanding Fidelity.
Saya mula bermain dengan menggunakan Performance, akan tetapi saya kemudian mengubah kepada Fidelity dan saya boleh katakan kualiti grafik yang disertakan di Fidelity adalah lebih diinginkan pada saya berbanding kelancaran permainan yang lebih tinggi. Performance bagi saya ada masa ternampak sedikit kabur. Oleh itu sebahagian besar permainan ini saya menggunakan Fidelity dan 30FPS tidak memberikan masalah kepada saya. Tidak kira pilihan tetapan yang anda guna, adegan di dalam permainan ini masih kelihatan sangat berkualiti terutama Spider-man sendiri – dan permainan ini menyertakan ‘victory lap‘ yang epik untuk setiap pertempuran utama.
Pilihan kostum juga dilipat ganda di dalam permainan ini, selain mempunyai beberapa kostum berbeza, sesetengah kostum juga mempunyai variasi tersendiri memberi lebih pilihan. Seperti sebelum ini, terdapat juga kostum yang memberi kesan low frame rate bersama dengan efek komik daripada Into the Spider-verse. Namun, saya cadangkan untuk tidak gunakan kostum ini semasa bermain pertama kali, kerana dari semasa ke semasa anda akan menerima kostum yang lebih bersesuaian dengan apa yang berlaku pada waktu itu. Jika menggunakan kostum berlainan ia mungkin sedikit mengacau immersion di dalam permainan ini. Permainan ini juga menyertakan kesan kepada kostum selepas bertempur, ia adalah sementara tetapi tetap menarik untuk dilihat.
Akhir kata, Marvel’s Spider-Man 2 bagi perkara yang baik ataupun tidak adalah seperti dua permainan sebelum ini. Menyertakan dua Spider-Man di dalam satu permainan menjadikan ia satu permainan yang lebih menyeluruh untuk satu permainan Spider-Man. Namun, ia masih mengekalkan formula seperti permainan sebelum ini dengan memfokuskan kepada aktiviti berbanding misi untuk pengisian dunia terbuka yang bagi saya sedikit mengecewakan.
Walaupun begitu, dengan mengambil masa lebih kurang 25 jam sahaja untuk melakukan segala yang ada di dalam permainan ini, ia masih memberikan pengalaman yang memuaskan dan tidak terasa meleret. Ini ditambah lagi dengan kualiti grafik yang masih lagi antara terbaik untuk permainan-permainan PlayStation, penceritaan juga adalah baik dengan pelbagai perhubungan di antara watak diperkuatkan lagi dan menjadi bahagian penting di dalam penceritaan selain daripada watak jahat seperti Kraven dan Venom yang dilakukan dengan memuaskan. Menjadikan Marvel’s Spider-Man 2 satu permainan yang memberikan pengalaman yang epik.
Penafian: Kod permainan Marvel’s Spider-Man 2 disediakan oleh Sony Interactive Entertainment bagi tujuan ulasan ini. Gambar adalah tangkapan sendiri dari permainan kecuali yang mempunyai watermark yang disediakan oleh SIE.