Skip to main content

Selepas diumumkan yang Final Fantasy XVI dibangunkan oleh Square Enix Creative Business Unit III dan Naoki Yoshida yang bertanggungjawab untuk membawa Final Fantasy XIV iaitu permainan MMORPG, saya mempunyai sedikit harapan yang Final Fantasy akhirnya menjadi permainan dunia terbuka, namun walaupun Final Fantasy XVI masih lagi satu permainan yang besar, tetapi ia bukan benar-benar satu permainan dunia terbuka. Oleh itu, sedikit mengejutkan apabila Final Fantasy VII Rebirth yang dibangunkan oleh kumpulan pembangunan yang lain, bertanggungjawab untuk menjadikan Final Fantasy lebih dunia terbuka dengan pengisian yang bagi saya menghampiri seperti permainan Like a Dragon, Horizon dan lain-lain lagi. Namun, ini merupakan satu kejutan yang baik kerana ia berjaya untuk mengangkat Rebirth menjadi lebih baik berbanding Final Fantasy VII Remake walaupun saya mempunyai sedikit masalah dengan penceritaanya.

Rebirth dibahagikan kepada 6 benua dan 1 lautan untuk menjadi 7 kawasan yang boleh dijelajah oleh Cloud dan rakan-rakan. Setiap benua dan lautan ini, dibahagikan lagi kepada beberapa kawasan yang Cloud boleh bergerak bebas, sama ada menaiki Chocobo ataupun kenderaan-kenderaan lain yang akan diperoleh oleh mereka dari semasa ke semasa. Bagi pengisian pula, setiap benua mempunyai pengisian yang sama sahaja dan kesemua berkait dengan kajian yang dilakukan oleh Chadley, watak yang diperkenalkan di dalam Remake dan kembali lagi di dalam Rebirth. Secara ringkasnya, Chadley ingin melakukan kajian mengenai kesemua kawasan tersebut dan meminta Cloud untuk melakukan beberapa perkara iaitu membuka Towers, bertempur dengan penjahat tertentu, mengkaji Summon, mengkaji Lifesprings dan juga mencari Protorelic. Setiap kawasan perkara sama sahaja, tetapi saya masih melakukannya tanpa merasakan ia berulang kerana bagi saya struktur aktiviti ini dilakukan dengan baik, diselitkan lagi dengan penceritaan yang menarik yang diselitkan menjadikan ia berbaloi untuk dilakukan.

Selain aktiviti untuk membantu Chadley ini, terdapat juga Quests ataupun misi sampingan yang setiapnya mempunyai penceritaan tersendiri mengenai kawasan tersebut dan juga orang-orang sekitar. Kebiasaan misi ini memerlukan Cloud untuk melakukan perkara yang biasa sahaja seperti pergi ke satu tempat, bertempur dengan penjahat ataupun mencari sesuatu benda, namun saya masih suka melakukannya kerana penceritaan yang diselitkan dan kebiasaan penceritaan-penceritaan ini membuatkan saya ketawa kerana ia disampaikan dengan lebih ringan, memberikan sisi yang berbeza bagi permainan ini yang ada masa terasa mendatar ataupun terlalu memenatkan. Jumlah kesemua perkara sampingan yang boleh dilakukan adalah banyak, saya melakukan hampir semua perkara di lima benua pertama tetapi meninggalkan kebanyakan dia dua kawasan berikutnya dan ia masih mengambil 60 jam untuk saya habiskan permainan ini. Ia mungkin mencecah 100 jam jika ingin melakukan kesemua perkara yang disertakan termasuk mencari harta karun di lautan.

Bagi penceritaan pula, Rebirth bermula secara terus selepas kejadian di dalam Remake dengan mereka keluar daripada Midgar di dalam misi untuk mencari Sephiroth yang mempunyai perancangan tersendiri untuk memusnahkan dunia atas sebab yang diperlihatkan semasa pembukaan untuk permainan ini, yang juga merupakan demo bagi Rebirth ini. Seperti yang terjadi di dalam Remake, kita boleh katakan yang trilogi untuk permainan ini yang bermula dengan Remake, diteruskan dengan Rebirth dan akan datang satu lagi di masa hadapan bukanlah penghasilan semula untuk Final Fantasy VII yang dikeluarkan pada tahun 1997, sebaliknya ia adalah satu sekuel untuk permainan tersebut. Bagi yang sudah bermain Remake, anda akan faham apa yang saya maksudkan, dan di dalam Rebirth ini, perkara tersebut dikembangkan lebih lagi, memberikan pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku bagi penceritaan untuk permainan ini.

Itu bukanlah masalah bagi saya untuk penceritaan ini, bagi saya ia adalah perkara menarik dan menjadikan sesiapa sahaja yang sudah bermain permainan asal, ataupun tidak, di atas tahap yang lebih kurang sama, kerana kita tidak boleh jangkakan apa yang menanti di dalam penceritaan yang seterusnya. Namun, masalah utama bagi saya mengenai penceritaan adalah ia meninggalkan terlalu banyak persoalan yang menjadikan permainan Rebirth berada di dalam keadaan yang sangat janggal. Saya ingin mengatakan penceritaan adalah baik tetapi saya masih tidak tahu bagaimana penyelesaiannya, saya ingin mengatakan ia tidak baik, saya masih mempunyai harapan yang segala ini akan dikembangkan di permainan ketiga dan menjadikannya satu pengalaman yang baik. Dengan kata lain, saya mengakhiri permainan ini tanpa rasa puas, dan saya benar-benar diberi harapan ataupun Square Enix bagaikan meminta untuk saya yakin yang mereka akan menutup penceritaan ini dengan baik.

Selain itu, saya juga sedikit kecewa dengan objektif pengembaraan untuk Rebirth, saya memahami apa yang mereka lakukan, tetapi saya merasakan taruhan ataupun sasaran Cloud bersama dengan watak-watak lain, kurang menyerlah menyebabkan kebanyakan penceritaan ini, sekadar mengikut sahaja (secara literalnya mengikut), ia jauh berbeza dengan permainan pertama yang mempunyai beberapa taruhan yang mendebarkan, misi yang menarik. Ini sudah semestinya disebabkan Rebirth adalah permainan yang berada di pertengahan, akan tetapi ia gagal untuk memberi kepuasan kepada saya. Ada beberapa perkara yang ‘besar’ dan menarik berlaku di belakang tetapi tidak dikembangkan lagi bagi permainan ini, dengan kata lain, Rebirth adalah satu persediaan untuk permainan seterusnya. Ia mungkin sudah dijangkakan, akan tetapi pada masa sama Rebirth tidak membuatkan saya ternanti-nanti permainan yang berikutnya berbanding apa yang Remake lakukan sebelum ini.

Masalah berikut lebih bersifat peribadi yang mungkin dipandang secara berlainan oleh orang lain, oleh itu walaupun saya nyatakan di dalam ulasan ini, namun ia tidak akan menjejaskan pandangan saya mengenai kualiti permainan ini. Pertama adalah Cloud sebagai watak utama, saya merasakan di dalam Rebirth, dia bagaikan kembali menjadi Cloud seperti awal permainan Remake dan jika perwatakan Cloud di dalam Remake menjadi lebih baik, di dalam Rebirth perwatakan terasa sangat mendatar dan menjadi kurang menarik. Sebaliknya, dua watak yang memainkan peranan “watak utama” lebih baik ialah Aerith dan juga Tifa. Kedua pula adalah elemen “romantik” dan memberi pemain pilihan, saya tidak mempunyai masalah ia disertakan tetapi saya mempunyai masalah ia bagaikan “once-off” dan tidak di bawa ke bahagian-bahagian berikutnya. Jauh berbeza jika ingin dibandingkan dengan permainan oleh CD Projekt Red contohnya.

Seperti kejutan pengisian dunia terbuka, Rebirth juga mempunyai penceritaan yang baik untuk perkara-perkara sampingan, melakukan misi-misi sampingan kebanyakan akan membawa kepada satu adegan ataupun kejadian yang mencuit hati. Saya sangat menyukai sisi lain bagi permainan ini, walaupun ada masa keadaan adalah tegang, tetapi sentiasa diselitkan perkara yang lebih ringan atau terus membuatkan saya ketawa. Selain misi sampingan, watak-watak yang bersama dengan Cloud juga mempunyai comedic timing mereka sendiri, termasuk juga watak-watak baharu yang diperkenalkan. Ia serba sedikit membantu untuk mengurangkan rasa pengembaraan yang mendatar ataupun watak Cloud yang kurang menarik. Saya berharap perkara ini dikekalkan untuk permainan ketiga walaupun keadaan sudah semestinya adalah lebih tegang dengan ia merupakan permainan terakhir untuk trilogi ini.

Pertempuran untuk Rebirth masih mengikut sistem seperti Remake, tetapi dengan beberapa penambahan yang bagi saya menjadikan pertempuran lebih menarik dan memerlukan untuk saya memahami apa yang dibawa oleh dua watak lagi selain daripada Cloud (yang untuk kebanyakan bahagian, akan kekal di dalam pasukan), untuk memastikan pertempuran yang terurus kerana dengan mudah ia akan menjadi sangat bercelaru. Antara perkara yang ditambah baik, bagi saya sistem Synergy, yang membolehkan mana-mana watak untuk melakukan serangan bersama dengan watak lain. Selain itu, setiap watak juga diberikan kebolehan yang menjadikan mereka lebih baik, contohnya Aerith yang semasa Remake lebih kepada Healer sahaja menjadi DPS yang baik terutama dengan penggunaan kebolehan seperti Radiant Ward. Kebanyakan kemahiran diperoleh melalui pokok kemahiran, dan juga senjata sistem yang sama seperti Remake.

Walaupun permainan ini melakukan banyak perkara yang bagaikan memaksa untuk saya terus menukar watak yang digunakan, dengan memberikan kombo berterusan kepada penjahat, ataupun Spell yang melemahkan pergerakan ataupun penjahat yang mungkin kebal melawan Physical Attack, dan saya perasan yang saya lebih kerap menukar-menukar watak kerana keadaan yang mendesak berbanding apa yang saya lakukan di dalam Remake, di mana saya biasanya menggunakan satu watak sahaja untuk kebanyakan masa. Namun, saya masih merasakan tidak semua watak diberi peluang yang mencukupi untuk saya cuba kerana tatamain pertempuran sebegini masih lagi memberi fokus kepada satu watak. Saya masih berharap yang Final Fantasy kembali menjadi permainan pertempuran mengikut turutan, terutama apabila menyertakan ramai watak berlainan. Contoh terbaik saya boleh katakan Like a Dragon: Infinite Wealth yang benar-benar mengambil kelebihan mempunyai jumlah watak yang ramai.

Grafik permainan ini bagi saya sebaik Remake, tetapi saya boleh katakan ia mempunyai pepijat yang saya perasan lebih banyak berbanding semasa saya bermula bermain Remake, saya juga terpaksa menggunakan Graphics Mode berbanding Performance kerana Performance ada masa kelihatan kabur walaupun sudah menutup motion blur, ia sesuatu yang sudah diperakui oleh Square Enix dan berharap ia ditambah baik dalam masa terdekat. Bagi Graphics Mode, saya boleh katakan ia dimainkan dengan baik, tetapi dengan kamera berada lebih jauh daripada Cloud berbanding sebelum ini, 30FPS memerlukan saya mengambil masa untuk biasakan diri, namun setelah lama menggunakannya ia tidak menjadi satu masalah.

Akhir kata, Rebirth membawa penceritaan yang tidak lebih sebagai persediaan untuk dirumuskan di permainan seterusnya. Ia menjadikan permainan ini lebih kepada satu penghentian berbanding berdiri secara kendiri, yang sedikit mengecewakan bagi saya. Namun, dengan pelbagai kandungan sampingan, dunia yang luas untuk diteroka, banyak babak-babak yang menarik dan mencuit hati, masih lagi menjadikan ia satu pengalaman yang sangat cukup dan memuaskan.

Penafian: Kod permainan Final Fantasy VII Rebirth Disediakan oleh Square Enix/Bandai Namco

Final Fantasy VII Rebirth
Final Fantasy VII Rebirth tidak memberi kepuasaan untuk penceritaan kerana ia adalah sekadar permulaan ataupun perhentian sebelum dirumuskan melalui permainan akan datang, akan tetapi dengan pengisian yang pelbagai dan aktiviti yang menarik, ia masih satu pengalaman yang cukup dan memuaskan.
Positif
Pengisian Dunia Terbuka Yang Baik
Sistem Pertempuran Ditambah Baik
Banyak Bahagian Disampaikan Lebih Ringan Dan Penuh Jenaka
Negatif
Penceritaan Tidak Memberi Kepuasaan
9

Leave a Reply

Final Score