realme yang sebelum ini telah melancarkan realme 16 Pro kini hadir dengan dua lagi penawaran bagi model ini iaitu realme 16 5G dan realme 16T 5G. Kedua-dua peranti ini memfokuskan kepada penawaran kapasiti bateri yang besar tanpa mengorbankan keselesaan reka bentuk fizikal, sekali gus menyasarkan pengguna yang memerlukan peranti tahan lama untuk aktiviti harian, penstriman video, serta permainan video mudah alih.
realme 16 5G
Peranti ini mengetengahkan konsep ‘Air Design’ bagi mengekalkan profil nipis dan ringan walaupun memuatkan bateri berkapasiti tinggi.
realme 16 5G dilengkapi cip pemprosesan MediaTek Dimenstiy 6400 Turbo, dengan bateri Titan 7,000mAh namun mengekalkan ketebalan hanya 8.1mm serta berat 183g. Skrin peranti ini menggunakan paparan AMOLED Sunlight Display dengan kecerahan maksimum mencecah 4200nit untuk memastikan visual kekal jelas di bawah cahaya matahari.

Dari segi ergonomik, bar kamera belakang mendatar direka untuk memberikan keseimbangan berat yang lebih stabil apabila pengguna memegang peranti dalam kedudukan landskap untuk sesi tontonan atau permainan video yang lama seperti MLBB di platform Mobile.
Peranti ini juga membawakan ‘Selfie Mirror’ di bahagian belakang bagi memudahkan penentuan sudut gambar menggunakan kamera utama 50MP Sony IMX882, manakala kamera hadapannya turut menggunakan sensor 50MP. Untuk ketahanan harian, ia hadir dengan penarafan kalis air IP69 serta dilengkapi spesifikasi memori 8GB RAM dan storan 256GB.
Model ini dipasarkan pada harga runcit RM1,599 dan ditawarkan dalam dua pilihan warna, iaitu Air White yang menggunakan kesan tekstur gradien ‘Aurora Wings’ serta Air Black yang hadir dengan kemasan matte.
realme 16T 5G
Satu lagi model yang melengkapkan siri ini ialah realme 16T 5G, sebuah peranti yang memfokuskan kepada jangka hayat penggunaan yang lebih panjang pada tanda harga yang lebih mampu milik.
Peranti ini memuatkan bateri berkapasiti 8,000mAh yang didakwa mampu bertahan sehingga dua hari penggunaan untuk aktiviti seperti gaming dan penstriman. Jangka hayat komponen ini disokong oleh teknologi ‘7-Year Battery Health’ bersama sokongan pengecasan pantas 45W, pengecasan terbalik 15W, serta fungsi ‘All-Scenario Bypass Charging’ untuk mengalirkan kuasa terus ke peranti semasa bermain game bagi mengawal suhu.

Untuk kelancaran operasi, ia dikuasakan dengan MediaTek Dimenstiy 6300 bersama realme UI 7.0 dengan ‘Flux Engine’ yang menjanjikan prestasi lancar sehingga 6 tahun. Keupayaan fotografinya ditunjangi oleh kamera 50MP Sony IMX852 bersama ciri AI Portrait Glow dan ‘Selfie Mirror’ belakang. Bagi ketahanan fizikal, peranti ini dilengkapi penarafan kalis air dan debu IP66, IP68, IP69, dan IP69K serta perlindungan hentakan gred tentera. Telefon ini turut menawarkan konfigurasi memori 8GB RAM dan storan 256GB.
realme 16T 5G dijual pada harga runcit RM1,399 dengan pilihan warna Starlight Green dan Aurora Black.
Kedua-dua peranti siri realme 16 5G ini boleh didapati di seluruh negara bermula 13 Jun 2026 melalui kedai rasmi realme, pengedar sah, serta platform dalam talian Shopee, Lazada, dan TikTok Shop. Setiap pembelian dalam tempoh promosi ini turut didatangkan dengan hadiah percuma bernilai sehingga RM537 yang merangkumi kipas tangan Aisolove, lanjutan jaminan setahun, dan jaminan skrin retak selama 180 hari.


