Skip to main content

Star Wars Outlaws baik ataupun tidak masih lagi satu permainan oleh Ubisoft, walaupun membawa dunia dan penceritaan berdasarkan Star Wars, saya boleh katakan selepas beberapa jam bermain, saya terus merasakan, ya ini adalah satu lagi permainan oleh mereka. Beberapa permainan yang lepas seperti Assassin’s Creed Valhalla dan Far Cry 6 agak mengecewakan kerana merasakan yang Ubisoft tidak mengembangkan penawaran permainan mereka, namun saya boleh katakan Outlaws tidak mengecewakan seperti kedua-dua permainan tersebut dan membawa sesuatu yang berlainan tetapi pada masa yang sama ia masih tidak mencukupi.

Di dalam permainan ini, pemain akan menjadi Kay Vess iaitu seorang pencuri yang menjadikan karier sebagai fixer, namun selepas gagal di dalam satu pekerjaan bersama dengan Rebel Alliance dia telah ditangkap oleh ketua penjahat Sliro Barsha. Ingin menyelamatkan diri, Kay Vess telah mencuri kapal Sliro dan melarikan diri yang membuatkan dia menjadi orang yang dikehendaki.

Kay Vess bersama dengan haiwan peliharaannya Nix bertekad untuk mencari duit dengan melakukan pelbagai pekerjaan dengan pelbagai pihak agak dapat mengumpul duit mencukupi untuk menghilangkan diri daripada menjadi sasaran Sliro Barsha. Penceritaan secara amnya adalah menarik, dengan tiadanya fokus kepada Jedi, ia memberi satu penceritaan yang sedikit berlainan untuk permainan Star Wars.

Sedikit mengecewakan, saya merasakan yang penceritaan tidak terlalu berkembang daripada awal sehingga akhir. Walaupun pelbagai kejadian menarik yang berlaku akan tetapi penceritaan masih lagi melalui satu kitaran yang sama. Ia menjadikan penceritaan sedikit membosankan dan watak-watak yang hadir tidak sangat dikembangkan lagi. Walaupun begitu, ia masih satu penceritaan yang menarik dan Kay Vess menjadi antara watak kegemaran saya di dalam dunia Star Wars, cuma berharap dia diberikan lebih ruang untuk berfikir secara sendiri.

Melalui permainan Outlaws ini, mereka masih membawa tatamain dunia terbuka yang ‘terkenal’ melalui permainan-permainan mereka tetapi dibungkuskan dengan cara yang menjadikannya lebih menarik. Kebanyakan aktiviti yang boleh dilakukan di dalam permainan ini akan berkait dengan dua perkara iaitu Abilities dan Equipment. Oleh itu, melakukan aktiviti-aktiviti ini tidak terasa seperti satu pembaziran masa atau sekadar memanjangkan permainan sahaja.

Abilities dilakukan melalui ‘Experts’, iaitu beberapa watak NPC yang boleh dijumpai oleh pemain, melalui penceritaan ataupun dengan mencari mereka. Terdapat 9 Experts kesemuanya yang akan ‘mengajar’ kebolehan yang berbeza, namun sebelum dapat belajar, saya perlu melakukan beberapa perkara terlebih dahulu contohnya melakukan tembakan ke kepala sebanyak 10 kali, kebiasaan sesuatu kebolehan mempunyai tiga objektif berbeza yang perlu dilakukan. Melakukan objektif ini adalah menarik dan memberi peluang untuk saya mencuba sesuatu yang berbeza di dalamnya.

Begitu juga dengan Equipment seperti menambah kekuatan Blaster ataupun mendapat serangan yang berbeza kebiasaannya akan memerlukan saya untuk mencari sesuatu barangan yang berada di kawasan-kawasan tertentu. Biasanya di tempat yang dijaga rapi dan perlu menyelinap ataupun bertempur dengan mereka untuk mendapatkannya. Jika anda ingin mendapatkan kesemua, banyak barangan yang perlu diambil, oleh kerana anda juga boleh menggunakan tiga jenis serangan sahaja pada satu masa, anda tidak perlu melakukan kesemuanya jika tidak merasakan perlu.

Selain itu disertakan juga Sistem Reputasi dengan sindiket-sindiket yang berbeza, iaitu Pyke Syndicate, Crimson Dawn, Hutt Cartel, dan Ashiga Clan. Di dalam penceritaan Kay Vess akan melakukan pekerjaan dengan kesemua sindiket ini, di luar penceritaan Kay juga boleh berhubung dengan mereka dan mengumpul reputasi tersendiri. Reputasi akan bertambah jika melakukan kerja untuk mereka dan akan berkurangan jika melakukan sesuatu yang menentang mereka.

Reputasi yang baik akan memberikan ganjaran tersendiri kepada Kay Vess dan juga memudahkan untuknya bergerak kerana jika mempunyai reputasi yang negatif dengan sesuatu pihak, pihak tersebut akan sering menyerang dan akan menyukarkan pengembaraan. Namun, oleh kerana sistem ini tidak memberi kesan kepada penceritaan ataupun memberi kesan selain daripada sebahagian kecil ini, saya merasakan sistem ini lebih kepada menjengkelkan berbanding sesuatu yang menarik.

Kesemua aktiviti yang boleh dilakukan ini memberikan sebab yang jelas mengapa saya perlu melakukannya yang serba sedikit membantu untuk menjadikan permainan ini tidak terasa sekadar pengisian kosong sahaja. Kebanyakan aktiviti masih terasa berulang oleh itu jika saya cuba melakukan dengan pantas ia akan terasa sedikit membosankan, akan tetapi jika saya mengambil masa untuk melakukan perkara-perkara yang berbeza ia akan menjadi lebih baik.

Dengan Kay Vess bukanlah seorang Jedi, dia tidak memiliki force, dan pertempuran kebanyakan dilakukan menggunakan Blaster yang seperti saya nyatakan di atas mempunyai tiga cara tembakan berbeza iaitu menembak Plasma, ION dan juga Power, setiap daripadanya juga mempunyai beberapa cara tembakan yang berbeza. Pertempuran bagi saya mencukupi, tidak membawa sesuatu yang baharu akan tetapi selepas membuka kebolehan-kebolehan yang berbeza pertempuran akan menjadi lebih kreatif.

Permainan ini juga memfokuskan kepada menyelinap, dengan Kay Vess mempunyai pelbagai kebolehan untuk bergerak di sesuatu tempat tanpa dikesan oleh orang lain, ataupun menggunakan helah seperti menghantar Nix untuk mengganggu dan juga melalui tempat-tempat tersembunyi. Ia adalah menarik, tetapi dengan dua masalah iaitu rekaan kawasan tidak terlalu menarik untuk misi menyelinap, dan AI bagi penjahat tidak terlalu ‘pandai’. Terdapat juga beberapa misi yang memaksa untuk menyelinap yang bagi saya tiada masalah tetapi mungkin perkara yang tidak disukai oleh sesetengah pemain.

Outlaws juga menyertakan pertempuran dan pengembaraan menggunakan kapal angkasa, pengembaraan terasa biasa sahaja akan tetapi saya sangat menyukai pertempuran yang disertakan. Kawalan terasa kemas, dan pertempuran ini lebih menarik berbanding pertempuran biasa. Saya sentiasa mencari alasan untuk mengembara menggunakan kapal agar dapat mencari pertempuran tambahan. Kapal juga boleh dipertingkatkan untuk menjadi lebih berkuasa.

Bercakap mengenai kapal angkas, permainan ini menyertakan lima planet berbeza yang boleh dilawati iaitu Catonica, Akiva, Kijimi, Tatooine, dan Toshara yang setiapnya mempunyai rekaan tersendiri seperti dipenuhi dengan hutan ataupun lebih kepada padang pasir seperti Tatooine. Setiap planet mempunyai pengisian tersendiri dan menarik untuk mengembara tetapi mungkin sedikit kosong bagi pengisian dunia, saya juga tidak menyukai tiada peta-mini yang membuatkan pengembaraan sedikit sukar walaupun ada kompas di bahagian atas terutama kawasan yang banyak menggunakan bukit bukau.

Saya bermain permainan ini di dua platform iaitu PlayStation 5 dan PC, pada awalnya saya lebih lama bermain di PS5 kerana prestasi yang lebih baik walaupun kualiti grafik sedikit mengecewakan kerana banyak bahagian terasa terlalu blur, dan PC pada awalnya mempunyai pelbagai masalah. Selepas beberapa kemaskini yang tiba, saya mula beralih ke PC dan dapat bermain-nya tanpa sebarang masalah dan ia menjadi platform yang lebih baik cuma terdapat beberapa kawasan ataupun keadaan yang akan memberi kesan kepada kelancaran seperti kawasan rumput panjang dan juga ketika hujan.

Akhir kata, Star Wars Outlaws masih membawa tatamain dunia terbuka yang menjadi kebiasaan untuk Ubisoft tetapi kali ini ia dipakejkan dengan lebih baik dengan meletakkannya di bawah peningkatan tahap dan juga barangan, ia membantu untuk menjadikannya lebih menarik. Penceritaan mencukupi untuk menggerakkan permainan ini tetapi ia terasa berulang dan watak tidak berkembang dengan secukupnya. Pertempuran juga biasa-biasa sahaja manakala menyelinap ada masa menarik tetapi kebanyakannya membosankan kerana rekaan peringkat dan AI yang kurang baik. Ia masih satu pengalaman yang baik, melakukan segala aktiviti adalah memuaskan tetapi perlu dilakukan dengan secara perlahan-lahan, ia satu permainan yang perlu dianggap sebagai maraton dan bukan pecutan.

Star Wars Outlaws
Masih lagi satu permainan oleh Ubisoft dengan pakej Star Wars, namun memberikan pengalaman yang baik, melakukan segala aktiviti adalah memuaskan tetapi perlu dilakukan dengan secara perlahan-lahan, ia satu permainan yang perlu dianggap sebagai maraton dan bukan pecutan.
Positif
Struktur aktiviti yang baik
Pertempuran Kapal Angkas Yang Menarik
Rekaan dunia yang pelbagai
Negatif
Sistem menyelinap membosankan
Sistem reputasi dibazirkan
8

Leave a Reply

Final Score