Sejak pelancaran permainan Assassin’s Creed Origins dan Odyssey beberapa tahun lepas, siri permainan Assassin’s Creed semestinya telah pun berubah daripada permainan aksi pengembaraan dunia terbuka kepada satu permainan RPG dunia terbuka.
Dengan formula yang sama dengan dua permainan sebelum ini, Ubisoft kali ini membawa kembali siri ini ke England, tetapi di era yang berbeza iaitu bertempatkan di tahun 873 di mana pemain akan bermain sebagai Eivor bertemakan zaman Viking.
Namun, adakah permainan ini satu lagi permainan dunia terbuka yang menarik untuk siri ini? Ini adalah ulasan kami untuk Assassin’s Creed Valhalla yang dimainkan melalui konsol PlayStation 4 Pro.
Penceritaan Yang Sekali Lagi Dikembangkan Kepada Satu Lagi Persoalan
Seperti anda, saya sendiri merupakan salah seorang peminat siri permainan Assasssin’s Creed sejak permainan pertama ia dilancarkan lebih dari 10 tahun lepas di mana saya masih lagi ingat saat di mana saya ke rumah kawan saya untuk bermain di konsol PlayStation 3 sebab saya tidak berpeluang memiliki konsol generasi itu dan juga satu PC yang berkuasa untuk bermain permainan tersebut.
Namun selang beberapa tahun kemudian, apabila saya sendiri bermain permainan tersebut dan setelah tamat bermain Assassin’s Creed II, saya boleh katakan siri ini mempunyai satu potensi yang sangat baik untuk dikembangkan kepada satu dunia permainan yang mendalam dengan elemen fiksyen di campur dengan rujukan dunia nyata.
Namun, perkara tersebut boleh dikatakan terkubur selepas pengakhiran permainan Assassin’s Creed III dan selepas sahaja saya bermula bermain Assassin’s Creed Black Flag, yang saya akui mempunyai bentuk permainan yang sangat menarik, tetapi penceritaan yang sangat mengecewakan dan menjadi terlalu berbelit.
Selang beberapa tahun, untuk mengembangkan lagi dan terus memerahkan lagi siri ini, Ubisoft kali ini membawa permainan Assassin’s Creed utama yang ke-12 ke konsol dan PC di mana dukacitanya, ia amat mengecewakan saya.
Sebelum saya ingin ke bahagian bentuk permainan yang saya berasa merupakan elemen utama yang membuatkan permainan ini tidaklah begitu teruk, saya ingin dahulu fokus terhadap penceritaan dan naratif utama permainan ini di mana ia agak sukar untuk saya berikan skor yang tinggi.
Seperti anda sedia maklum, setiap permainan Assassin’s Creed memfokuskan dua era berbeza di mana era moden, terdapat pasukan perisik yang menggunakan mesin bernama Animus, untuk menyelami DNA moyang mereka dengan ke era purba untuk mencari petunjuk dan sebagainya untuk menyelesaikan peperangan antara ikutan “Assassins” dan “Templars”. Secara jujurnya, saya sendiri tidak ingin menyelami terlalu dalam untuk bahagian naratif ini, akan tetapi memandangkan ia adalah salah satu plot utama untuk siri ini, saya berasa ia perlu ditekankan atas sebab plot ini juga merupakan akar utama yang menghubungkan kesemua siri Assassin’s Creed.
Namun begitu, plot tersebut menjadi semakin berbelit setelah penglibatan pelbagai pihak, elemen fantasi tuhan dan keagamaan yang mana sekali lagi masalah untuk siri ini, iaitu umpan untuk sekuel. Jika anda pernah bermain mana-mana siri Assassin’s Creed dan telah pun menamatkannya, anda sendiri pasti akan menerima lebih banyak persoalan berbanding jawapan atas sebab beberapa plot yang disekat dan tidak terangkan dengan baik.
Dukacitanya, Assassin’s Creed Valhalla kali ini juga melakukan perkara yang sama di mana sekali lagi, mereka hanya mengacahkan beberapa adegan seolah ia adalah satu kejutan, tetapi terus memotong dan membuat peminat tertanya-tanya dan menanti untuk bermain permainan seterusnya.
Secara jujurnya saya sendiri sudah mula benci dengan pendekatan ini atas sebab penceritaan dunia moden yang terdapat di dalam siri Assassin’s Creed merupakan punca utama mengapa yang membuatkan saya sangat berminat dengan siri ini. Dengan menggunakan umpan sebegini setiap kali permainan Assassin’s Creed dilancarkan, saya sendiri berasa meluat dan tidak ingin terus bermain.
Untuk menambahkan minyak di dalam api, permainan ini memerlukan sekitar 50 jam untuk dihabiskan penceritaan utama dan penceritaan dunia moden yang disampaikan hanyalah 10% daripada keseluruhan jam tersebut atas sebab 90% lagi daripada kandungan permainan ini memfokuskan penceritaan Eivor pada tahun 873 yang mana saya boleh katakan tidak langsung menarik minat saya.
Saya akui, penceritaan dan pengembaraan Eivor semestinya berkait rapat dengan plot utama untuk keseluruhan Assassin’s Creed Valhalla, namun atas sebab ia adalah seakan satu penceritaan baharu yang hanya memainkan peranan kecil tetapi dipanjang dengan terlalu banyak misi-misi yang berulangan, ia membuatkan permainan ini berasa sangat membosankan.
Untuk menerangkan mengapa ia menyertakan misi yang berulangan, penceritaan pengembaraan Eivor, di mana pemain boleh memilih untuk bermain sebagai wanita ataupun lelaki, memfokuskan beliau bersama ‘Abang’ beliau iaitu Sigurd mengembara dari negara Norway ke England untuk mencari penempatan baharu untuk puak mereka, iaitu puak Raven.
Di England, untuk memastikan puak Raven meneruskan hidup, mereka perlu bekerjasama bersama puak-puak ataupun tuan-tuan lain di England dengan membantu mereka sama ada menumpaskan musuh, menyelesaikan konflik dan sebagainya.
Akan tetapi, apa yang membuat permainan ini berasa sangat perlahan adalah ia memaksa pemain untuk melakukan misi-misi tersebut dahulu sebelum keseluruhan penceritaan utama dimajukan. Untuk menyusahkan pemain lagi, pemain juga tidak boleh untuk terus melangkau bahagian tersebut atas sebab had peringkat watak pemain, yang mana juga memerlukan pemain untuk terus bermain untuk tingkatkan kuasa watak Eivor tersebut.
Dicampurkan juga beberapa lokasi ‘sampingan’ yang juga dipaksa untuk dimainkan untuk maju penceritaannya, jelas diperlihatkan hanya untuk memanjangkan lagi penceritaan permainan ini yang sekali lagi membuatkan permainan ini berasa sangat memenatkan untuk dihabiskan.
Konsep permainan RPG ini yang memaksa pemain untuk melakukan misi sampingan menjadi seolah misi utama merupakan salah satu konsep permainan yang sangat dibenci saya sendiri dan boleh dikatakan satu elemen penceritaan di dalam permainan yang hanya ingin membuat permainan tersebut berasa panjang tanpa sebarang plot naratif penting. Walaupun ia menyertakan beberapa pilihan dialog yang sedikit sebanyak akan mengubah naratif permainan ini, ia masih lagi memberi satu pengalaman yang tidak berbaloi untuk dimainkan berulang kali.
Ya betul, pada penghujung permainan pemain akan lihat beberapa pakatan yang telah pemain lakukan untuk mengembangkan kuasa puak Raven di England hasil daripada penat lelah pemain. Namun untuk memaksa pemain melakukan perkara yang sama berulang-ulang kali semestinya membuat saya sendiri berasa sangat penat untuk menghabiskan permainan ini.
Pada pendapat saya sendiri, permainan dunia terbuka secara asasnya sama sahaja dengan permainan lain dari segi aspek kawalan dan bentuknya. Untuk membuatkan setiap permainan dunia terbuka berbeza dengan permainan lain adalah bagaimana naratif sesuatu permainan tersebut disampaikan dan bagaimana ia berjaya menarik minat pemain untuk meneruskan terokai dunia-dunianya. Namun, jika naratif yang disampaikan tidak menarik dan membosankan dicampur dengan memenatkan pemain untuk maju, ia sekaligus akan membawa satu pengalaman yang amat teruk sekali.
Walaupun begitu, ini juga mungkin adalah masalah dan kelemahan saya sendiri sebagai pengulas atas sebab saya ingin habiskan penceritaan permainan ini dengan pantas untuk mengulaskannya. Ia juga mungkin satu perkara yang positif sebaliknya untuk anda yang menyukai penceritaan permainan yang panjang. Meskipun begitu, untuk memaksa pemain melakukan perkara yang sama berulang kali di dalam satu permainan dunia terbuka, membuatkan permainan Assassin’s Creed Valhalla sengaja untuk memanjangkan penceritaan untuk supaya ia berasa seolah satu permainan mempunyai plot yang panjang.
Visual Permainan Yang Menawan, Tetapi Terlalu Banyak Masalah
Apabila bercakap berkenaan visual pula, mana-mana permainan keluaran Ubisoft semestinya tidak lari dengan masalah visual seperti model klip, masalah tekstur lambat dimuatkan dan pelbagai lagi.
Jadi seperti biasa, budaya permainan Ubisoft masih lagi kembali di dalam permainan ini yang mana saya boleh katakan sudah menjadi satu kebiasaan buat mereka yang bermain siri permainan Assassin’s Creed. Tambahan pula apabila ia adalah satu permainan dunia terbuka, maka bertambah lagi masalah-masalah lain yang akan membuatkan permainan ini bermasalah.
Terdapat juga saat di mana permainan ini menjadi rosak seperti watak peneman saya yang tidak bergerak dan membuatkan permainan saya terbantut dan juga saat di mana saya jatuh di dalam peta, yang mana sekaligus membuatkan watak Eivor terus mati. Terdapat juga beberapa laporan daripada pemain lain yang menghadapi masalah seperti fail permainan rosak. Namun, masalah ini tidak dihadapi oleh saya sendiri.
Selain daripada masalah itu, terdapat juga saat di mana permainan ini terus terbantut dan dimatikan di mana sepanjang sesi permainan saya ini, saya hadapinya sebanyak dua kali iaitu saat di mana saya berada di kota Lunden, yang mana ia merupakan lokasi yang agak luas dengan ramai penduduk.
Memandangkan saya masih lagi bermain permainan ini di konsol generasi sebelum ini, iaitu PlayStation 4 Pro, saya juga boleh katakan ini mungkin juga atas sebab had-had yang dihadapi dengan konsol tersebut atas prestasi spesifikasinya yang lebih rendah.
Walau bagaimana pun, alasan tersebut tidaklah harus dipandang rendah atas sebab permainan ini masih lagi dilancarkan di konsol tersebut dan ia sepatutnya tidak menjadi satu sebab utama mengapa Ubisoft perlu abaikannya di konsol generasi sebelum ini.
Tetapi perkara yang baik juga harus dipuji atas sebab secara visual, Assassin’s Creed Valhalla masih lagi memaparkan visual yang menawan terutamanya kawasan-kawasan England yang sangat luas dengan pelbagai lokasi menarik, penuh dengan tumbuh-tumbuhan dan bukit bukau yang sangat meluas.
Dari segi suara latar, terdapat beberapa masalah terutamanya dari segi loghat atas sebab campuran loghat British dan Scottish yang agak berterabur. Namun sebagai seorang rakyat Malaysia, gaya bahasa tersebut tidaklah begitu masalah dan saya lebih suka akan bahasa yang lebih lancar untuk mudah difahami oleh saya sendiri.
Bentuk Permainan RPG Yang Lebih Ringan Dengan Pelbagai Gaya Permainan
Jadi apabila bercakap berkenaan bentuk permainan Assasssin’s Creed Valhalla ini sendiri, saya boleh katakan ia merupakan salah satu perkara yang positif untuk permainan ini di mana evolusi permainan RPG yang dihasilkan oleh Ubisoft semestinya memberi kesan yang sangat baik untuk siri ini.
Saya perlu akui yang mana permainan terakhir Assassin’s Creed yang saya mainkan adalah Assassin’s Creed Origins yang dilancarkan pada 2017 lepas dan saya tidak pernah menyentuh Odyssey. Namun secara amnya, saya masih mengetahui asas-asas permainan tersebut atas sebab saya sering melaporkannya di laman ini.
Meskipun begitu, perubahan antara permainan Origins ke Valhalla ini tidaklah begitu berbeza atas sebab elemen yang sama masih lagi disampaikan melalui permainan ini iaitu elemen RPG dan bentuk permainan yang memfokuskan ‘peringkat’ watak.
Jadi perkara apa yang membuatkan bentuk permainan ini menarik? Pertama adalah peningkatan statistik, kemahiran dan kelengkapan watak yang mana saya boleh katakan dihasilkan dengan baik sekali tanpa sebarang perkara berbelit-belit.
Seperti permainan Assassin’s Creed sebelum ini, Valhalla menyertakan satu fungsi kemahiran pokok ataupun “Skills” yang pemain boleh naik-tarafkan setiap kali pemain tingkatkan jumlah pengalaman ataupun EXP. Setiap kali pemain naik-taraf, pemain akan menerima dua poin kemahiran untuk pemain tingkatkan sama ada untuk mempelajari kemahiran pasif baharu ataupun tingkatkan statistik seperti serangan jarak dekat yang lebih kuat ataupun serangan panah dan sebagainya.
Dari segi kemahiran utama ataupun “Abilities”, permainan ini menyertakan dua bahagian utama iaitu kemahiran jarak jauh dan jarak dekat. Untuk melakukan kemahiran ini, pemain perlu mempunyai adrenalin yang akan dipenuhkan setiap kali pemain tumpaskan musuh ataupun mengutip buah untuk menyembuhkannya. Kemahiran ini juga boleh dipasang secara empat kemahiran serentak untuk setiap satu di mana ia boleh dilakukan dengan menekan butang L2 untuk jarak jauh dan R2 untuk jarak dekat, dan kemudian butang utama (Tiga segi, kotak, petak dan silang) untuk melakukannya.
Fungsi kemahiran ini semestinya amat berguna terutama jika pemain bertempur musuh yang berkuasa ataupun ramai di mana kemahiran kesukaan saya sendiri adalah fungsi untuk mengunci pelbagai sasaran serentak dengan menggunakan panah.
Selain dari tingkatkan kuasa watak, pemain juga boleh tingkatkan kuasa kelengkapan pemain dari segi senjata, baju perisai dan sebagainya di mana ia boleh ditingkatkan secara terus melalui menu permainan. Selain itu, ia juga boleh ditingkatkan peringkatnya dengan bertemu tukang besi dan memberi barangan yang diperlukan.
Menariknya, pemain juga boleh juga boleh memasang Rune buat kelengkapan-kelengkapan pemain, yang mana turut akan meningkatkan statistik pemain sama ada tingkatkan kuasa, ketahanan racun dan sebagainya seperti mana permainan-permainan RPG lain.
Akan tetapi apa yang membuatkan saya menyukai permainan ini adalah elemen RPG yang tidak terlalu mengharapkan pemain untuk sentiasa menukar kelengkapan pemain. Sepanjang sesi permainan saya, saya hanya menggunakan baju perisai puak Raven sahaja atas sebab saya boleh tingkatkan kemahirannya dan pemain juga tidak akan temui kelengkapan yang sama dengan statistik berbeza seperti permainan “Looter Shooter” yang mengharapkan pemain untuk terus bermain untuk mendapatkan kelengkapan yang bagus. Melalui Assassin’s Creed Odyssey ini pemain akan ‘grind’ untuk mendapatkan sumber untuk tingkatkan kelengkapan sedia ada, yang mana pada pendapat saya adalah pendekatan yang lebih mudah dan ringkas.
Dari segi pertempuran, permainan ini tidaklah terlalu menghukum pemain dan bentuk pertempurannya tidaklah begitu mendalam seperti permainan Soulsborne. Meskipun begitu, ia masih lagi memerlukan pemain sentiasa tingkatkan kuasa watak untuk memastikan pemain cukup berkuasa untuk menumpaskan musuh dan seperti biasa, fungsi mengunci sasaran, fungsi mengelak dan menepis serangan musuh kesemua adalah sama sahaja daripada permainan Assassin’s Creed sebelum ini termasuklah pertempuran bersama ketua musuh dan sebagainya.
Ketika pengembara, pemain berupaya untuk memanggil burung gagak peneman pemain, iaitu Raven’s Eye di mana pemain boleh mencari lokasi-lokasi menarik yang berhampiran bersama fungsi Odin Sight yang saya akan terangkan di bahagian kandungan permainan di bawah.
Selain mengembara dengan berjalan kaki dan menunggang kuda, permainan ini juga menyertakan beberapa pengembaraan di mana pemain menggunakan kapal bot. Namun, konsep pengembaraan ini tidaklah terlalu mendalam seperti Black Flags dan lebih kepada menyediakan pilihan pemain untuk bergerak di sungai-sungai yang terdapat England.
Bercakap berkenaan pengembaraan, seperti yang saya nyatakan di atas, permainan ini memfokuskan watak Eivor dan puak Raven untuk membina penempatan baharu dari Norway ke England. Oleh sebab itu, permainan ini juga menyertakan satu fungsi peningkatan pangkalan yang mana pemain boleh mencari sumber barangan untuk tingkatkan pangkalan pemain seperti menghasilkan kedai tukang besa, membina kedai roti untuk menghasilkan sumber makanan dan sebagainya.
Semestinya peningkatan pangkalan ini juga turut akan membantu pemain peningkatan statistik pemain dan pada masa yang sama, pemain juga boleh mengadakan sesi makan besar bersama puak pemain untuk mendapat beberapa “Buff” sebelum pemain bertempur dengan musuh dan sebagainya.
Manakala untuk mencari sumber tersebut, pemain boleh menyerbu pangkalan-pangkalan musuh dan mencuri sumber-sumber mereka dan sebagainya. Semestinya atas sebab permainan ini adalah berdasarkan siri Assassin’s Creed, pemain juga boleh menyelinap di pangkalan musuh secara senyap. Namun atas sebab pemain adalah seorang Viking, ia menjadi lebih sesuai untuk menyerang secara terbuka. Namun, pilihan untuk menyerbu secara selinap ataupun terbuka masih lagi diberi buat pemain.
Dari segi aspek misi-misi yang tersedia pula, permainan ini masih lagi menyenaraikannya di bahagian menu permainan yang mana ia agak mudah untuk diakses dijejak. Dari segi peta dunia terbuka juga, kesemua akses peta seperti fungsi “Fast Travel” dan “Synchronize” adalah sama sahaja daripada permainan sebelum ini. Semestinya permainan ini mempunyai kandungan yang sangat meluas sebagai satu permainan dunia terbuka yang akan saya terangkan lebih lanjut di bawah.
Akan tetapi, dari segi aspek menu peta permainan, saya ada beberapa masalah dari segi akses menu dunia terbuka tersebut di mana jika saya meletakkan kursor saya di mana-mana aktiviti yang terdapat di dalam peta tersebut, jika saya ingin keluar dari menu saya perlu meletakkan kursor saya di kawasan yang kosong dahulu. Ini kerana ketika berada di menu peta tersebut, permainan ini menganggap butang bulat dan silang adalah butang yang sama. Perkara ini tidaklah memberi masalah besar, tetapi ia agak menjengkelkan dari semasa ke semasa.
Dunia Terbuka Yang Sangat Meluas Dengan Pelbagai Lokasi Untuk Diterokai
Antara perkara kesukaan saya di dalam permainan Assasssin’s Creed Valhalla, semestinya kandungan dunia terbuka permainan ini yang sangat luas dan pelbagai lokasi menarik untuk diterokai.
Seperti yang saya nyatakan di atas, pemain juga boleh menggunakan teman burung gagak “Raven’s Eye” yang mana ia membuka lebih banyak lokasi menarik untuk pemain terokai termasuklah harta karun yang pemain boleh dapatkan. Bentuk ini memberi pemain sebab untuk menerokai peta permainan ini dengan lebih mendalam di samping menerima ganjaran jika pemain melakukannya. Ia juga akan membantu pemain jika pemain ingin mencari lokasi rahsia dan semestinya pelbagai lagi perkara menarik untuk pemain terokai, termasuklah lokasi-lokasi menarik di dalam air.
Sedikit sebanyak, bentuk dunia terbuka permainan ini juga mengingatkan saya akan permainan The Legend Of Zelda: Breath Of The Wild di mana memberi ganjaran kepada pemain jika pemain ingin terokai kawasan-kawasan tersembunyi dan atas sebab itu mengapa saya berasa dunia “England” yang dihasilkan oleh Ubisoft kali ini berasa lebih meluas.
Pada masa yang sama, saya juga menghargai beberapa misi sampingan yang pemain akan temui jika pemain bertemu beberapa watak NPC secara rawak di mana terdapat juga beberapa misi yang agak kelakar. Terdapat juga misi yang tidak langsung berkaitan dan sekali lagi memberi ganjaran yang bernilai jika pemain melakukannya.
Bentuk ini bukan sahaja menghasilkan permainan dunia terbuka yang bernyawa, malah ia juga memberi pemain sebab untuk terokai setiap penjuru lokasi yang terdapat di dalam permainan ini.
Permainan ini juga memudahkan pemain untuk mengesan musuh dan barangan terdekat dengan menekan butang R3, yang mana juga turut membuatkan segala pengembaraan dan penerokaan permainan ini berasa lebih lancar dan mudah untuk bergerak.
Dicampur juga dengan pelbagai lokasi-lokasi lain selain England yang semestinya saya tidak ingin beberkan, yang mana pasti akan memberi pemain lebih banyak masa untuk pemain terokai.
Salah Satu Permainan Dunia Terbuka Yang Baik, Tetapi Rosak Dengan Masalah Pepijat Dan Naratif Yang Terlalu ‘Diperah’
Sepanjang sesi permainan saya bersama permainan Assassin’s Creed Valhalla ini, setiap kali saya fikir untuk markah skor yang saya ingin berikan semestinya ia akan membuat saya sendiri mengeluh. Seperti yang saya nyatakan di atas, permainan ini bukanlah satu permainan yang begitu teruk, namun ia juga bukanlah satu permainan yang sempurna. Atas sebab tersebut, ia membuat saya sendiri berasa berbelah bagi untuk memberi kesimpulan yang muktamad.
Namun, keputusan harus di beri dan apa yang saya boleh simpulkan adalah permainan Assassin’s Creed Valhalla ini semestinya salah satu batu loncatan yang bagus untuk siri ini dari segi kandungan dunia terbukanya dan bentuk permainannya. Selang 13 tahun, Ubisoft masih lagi berjaya menghasilkan sesuatu yang baru untuk siri ini dan menarik minat peminat yang ingin menyelami dunia peperangan antara Assassins dan Templars.
Meskipun begitu, dengan penggunaan formula yang sama iaitu umpan untuk sekuel, siri ini juga sekali lagi mengulang masalah utama untuk siri Assassin’s Creed iaitu perkembangan cerita yang menjadi terlalu berbelit dan pada masa yang sama disampaikan dengan jumlah yang sedikit.
Walaupun jumlah jam permainannya sangat tinggi, namun dengan dipenuhi perkara remeh untuk dilakukan oleh pemain dengan atas alasan hanya untuk membuatkan permainan ini berasa ‘panjang’, ia boleh dikatakan satu permainan dunia terbuka yang meluas tetapi ‘kosong’.
Dicampur juga dengan terlalu banyak masalah pepijat, ia sekaligus membuatkan permainan ini berasa tidak siap dan seolah memerlukan masa untuk digilap lagi untuk menjadikan ia lebih baik. Untuk menghadapi masalah pepijat yang sama setiap kali siri permainan ini dilancarkan lebih dari sedekad, ia boleh dikatakan satu perkara yang tidak harus berlaku.
Akan tetapi, sekurang-kurangnya Ubisoft masih lagi melakukan satu perkara yang bagus untuk siri ini selepas evolusinya dari permainan aksi pengembaraan kepada permainan RPG, ia sememangnya membawa siri Assassin’s Creed sebagai satu siri yang sesuai untuk pemain moden. Ditambahkan juga dengan kandungan dunia terbuka yang sangat meluas untuk diterokai dan sistem peningkatan watak dengan pelbagai kemahiran, ia boleh dikatakan salah satu permainan RPG patut mendapat perhatian pemain untuk tahun 2020 dari segi bentuk permainannya dan bukan naratifnya.
Penafian: Kod ulasan Assassin’s Creed Valhalla disediakan oleh Ubisoft.