Assassin’s Creed dan Far Cry adalah dua siri permainan oleh Ubisoft yang saya tidak pernah ketinggalan untuk mendapatkannya, walaupun ramai yang mengkritik mereka tidak membawa sesuatu yang baharu ke dalam siri ini, tetapi kedua-duanya masih lagi dua permainan yang memberikan saya kepuasan untuk bermain.
Namun, saya kini juga tampaknya sudah mencapai had untuk merasai keseronokkan bermain dua siri ini, ia bermula dengan Assassin’s Creed Valhalla yang saya mula bermain sejak awal tahun ini tetapi masih tidak menghabiskannya. Bukan kerana saya sibuk dengan permainan lain atau melakukan terlalu banyak misi-misi sampingan, sebaliknya saya tidak merasai keseronokkan bermain tidak seperti Assassin’s Creed yang lain.
Sekarang, perkara yang sama saya rasakan apabila bermain Far Cry 6, oleh kerana ia adalah permainan yang saya ingin ulas, jadi saya terpaksa mengharunginya. Ia mempunyai beberapa aspek yang saya suka dan rasakan ia dilakukan dengan lebih baik berbanding permainan sebelum ini, akan tetapi secara keseluruhannya, ia adalah permainan yang memerlukan revolusi sendiri.
Selepas bertempur dengan kultus ajaran sesat di Amerika Syarikat di Far Cry 5, kali ini Ubisoft membawa pemain ke negara Yara iaitu negara rekaan yang mengambil inspirasi daripada Cuba. Yara berada di bawah pemerintahan kuku besi “El Presidente” Anton Castillo yang disuarakan dan juga mengambil model Giancarlo Esposito.
Pemain akan menjadi Dani Rojas yang buat pertama kali untuk permainan Far Cry, jantina boleh dipilih. Pada awalnya, Dani Rojas ingin melarikan diri ke Amerika Syarikat akan tetapi ia dihalang oleh Anton Castillo kerana anaknya Diego juga berada di kapal yang sama.
Selepas gagal untuk meninggalkan Yara, Dani Rojas sebaliknya menyertai gerakan penentang “Libertad” yang diketuai oleh Clara Garcia. Maka bermulalah kisa Dani Rojas untuk melawan kerajaan Anton Castillo. Setiap permainan Far Cry mempunyai premis penceritaan yang baik, akan tetapi mempunyai masalah penyampaian yang membautkan ia bagaikan sesuatu yang sampingan sahaja.
Perkara yang sama berlaku di dalam Far Cry 6, ia mempunyai ramai watak yang menarik, Dani Rojas sendiri terasa watak yang terbaik berbanding watak-watak utama untuk permainan Far Cry sebelum ini. Dani Rojas sering melakukan monolog yang menyerlahkan lagi perwatakan, ada masa dia juga akan menyanyi lagu yang sedang dimainkan di radio.
Perkara-perkara kecil ini sangat membantu untuk menghidupkan lagi watak utama yang dikawal oleh pemain. Permainan Far Cry sebelum ini, mereka adalah antara watak paling lemah di dalam keseluruhan permainan yang menyebabkan watak jahat lebih menyerlah.
Namun, penulisan keseluruhan masih lagi terasa sangat mendatar, tidak menarik dan mudah untuk dijangkakan. Ia adalah rungutan utama untuk permainan oleh Ubisoft, dan tampaknya tiada perubahan yang dilakukan.
Selepas menyertai Libertad, Dani Rojas diarahkan oleh Clara untuk menyatukan tiga kumpulan penentang yang setiap nya berada di tiga kawasan yang berbeza. Dani perlu melakukan pelbagai misi dan tugasan berkait dengan tiga kumpulan ini sebelum bersama menentang Anton Castillo. Selain itu, seperti permainan Far Cry yang lain terdapat juga pelbagai kem, checkpoint yang Dani boleh bebaskan untuk membuka tempat fast travel dan juga barangan untuk crafting.
Ini adalah perkara yang sangat memenatkan di dalam Far Cry 6, seperti yang sudah dijangkakan, sistem menembak, pertempuran di dalamnya adalah baik akan tetapi keseluruhan aktiviti dan perkara yang boleh dilakukan terasa sangat berulang dan saya boleh katakan selepas 10 jam bermain saya sudah terasa penat dan jika tida kerana ingin mengeluarkan ulasan, saya mungkin tidak akan meneruskannya.
Terdapat pelbagai misi-misi sampingan, seperti membina kem, melancarkan operasi ataupun menyabung ayam, ia adalah menarik dan memberi pelbagai pilihan kepada pemain akan tetapi tidak sangat membantu untuk mengurangkan perasaan bertapa berulangnya keseluruhan permainan.
Ini bukanlah masalah untuk Far Cry 6 sahaja akan tetapi kebanyakan permainan dunia terbuka mempunyai masalah yang sama, namun permainan-permainan lain memberikan sebab yang baik untuk melakukan aktiviti-aktiviti ini, seperti Marvel’s Spider-man dan juga menggunakan penceritaan seperti The Witcher 3.
Far Cry 6 tidak mempunyai perkara-perkara ini, benar, melakukan aktiviti ini akan memberi barangan kepada pemain untuk meningkatkan tahap dan juga mengubahsuai senjata akan tetapi kepelbagai senjata ini bukanlah satu motivasi yang baik. Oleh itu, satu-satunya sebab mengapa pemain ingin melakukannya adalah sekadar kerana ingin menghasilkan keseronokkan sendiri.
Bagi saya ia tidak mencukupi dan merasakan jika Ubisoft ingin terus mengeluarkan Far Cry mereka perlu melakukan revolusi seperti Yara perlukan revolusi mereka. Mengeluarkan sesuatu yang sama, walaupun setiap dua tahun dan mengharapkan pemain untuk menyukainya tidak lagi berkesan. Mereka sudah mengumumkan perubahan yang akan dilakukan untuk Assassin’s Creed, adakah perkara yang sama akan dilakukan untuk Far Cry?
Oleh kerana Far Cry 6 adalah permainan first person, saya memilih untuk bermainnya di PC, saya menggunakan PC dengan spesifikasi berikut;
Sepanjang sesi permainan, saya menggunakan tetapan High dan mendapat kelancaran melebih 60FPS, akan tetapi ia sangat tidak menentu dan banyak tempat yang akan jatuh lebih rendah daripada itu. Selain itu, tekstur untuk permainan ini juga tidak menentu. Ada banyak kawasan yang tekstur yang digunakan adalah berkualiti rendah, ia mungkin masalah pemuatan tetapi sangat mengganggu pengalaman bermain terutama tekstur untuk pakaian Dani Rojas.
Saya tidak mencuba permainan ini di PS5 ataupun Xbox Series, tetapi berdasarkan perkongsian lain, ia mempunyai prestasi yang lebih baik dan lebih stabil di konsol berbanding di PC. Oleh itu, saya lebih mencadangkan ia dimainkan di konsol, melainkan anda seperti saya lebih menyukai bermain first person di PC.
Selain daripada masalah-masalah di atas, secara keseluruhan Far Cry 6 masih lagi satu permainan yang baik dengan rekaan persekitaran yang sangat baik. Ia adalah permainan Far Cry 6 dengan peta terluas akan tetapi malangnya pengisian adalah tidak sebaik rekaan kawasan-kawasan ini.
Far Cry 6 boleh dikatakan sebagai permainan terbaik untuk siri Far Cry akan tetapi oleh kerana ia adalah permainan yang keenam dan setiapnya membawa perubahan yang sedikit sahaja, saya tidak dapat mengelak daripada terasa bosan walaupun baru sahaja bermain. Misi dan aktiviti yang disertakan adalah pelbagai akan tetapi setiapnya tidak diberikan sesuatu untuk menjadikan berbaloi untuk dilakukan.
Ia juga mempunyai antara watak yang terbaik berbanding siri lain, buat pertama kali saya merasakan yang watak utama lebih baik berbanding watak-watak jahat utama, walaupun menggunakan pelakon popular Giancarlo Esposito. Namun, ia masih lagi mempunyai masalah penulisan dan susunan penceritaan yang mendatar menjadikan ia membosankan.
Far Cry 6 masih lagi permainan yang menyeronokkan untuk luang masa menembak, serta menggunakan pelbagai haiwan sebagai sahabat, ataupun mencuba pelbagai jenis senjata berbeza akan tetapi ia adalah terhad terhadap itu sahaja. Jika ia sudah mencukupi untuk anda, saya boleh katakan anda akan mempunyai masa yang baik bermain, jika anda seperti saya ingin sesuatu yang lebih lagi, permainan ini tidak akan menawarkannya.
Terdapat banyak lagi permainan dunia terbuka yang menawarkan lebih lagi. Oleh kerana itu, seperti saya nyatakan di atas, Ubisoft seharusnya kembali ke drawing board dan mencari cara yang lebih segar untuk menjadikan Far Cry lebih baik, agar ia tidak ketinggalan dan menjadi tidak relevan lagi di dalam dunia permainan video.
Penafian: Kod permainan Far Cry 6 disediakan oleh Ubisoft untuk tujuan ulasan ini.