Ghost of Tsushima pertama kali dilancarkan pada tahun 2020, dengan versi Director’s Cut yang turut menyertakan penambahan ‘Pulau Iki’ dilancarkan setahun kemudian, kini selepas hampir 4 tahun permainan dunia terbuka turut dilancarkan untuk PC selepas menjadi permainan eksklusif di konsol PlayStation. Walaupun 4 tahun kemudian, Ghost of Tsushima masih lagi satu permainan dunia terbuka yang menarik bahkan permainan terbaik yang membawa kisah mengenai feudal jepun, sesuatu yang dipuji oleh pembangun-pembangun dari Jepun sendiri.
Jika anda ingin membaca ulasan penuh mengenai Ghost of Tsushima anda boleh membacanya melalui ulasan untuk Ghost of Tsushima dan juga Ghost of Tsushima Director’s Cut bagi versi PlayStation. Bagi bahagian penceritaan dan juga tatamain tiada perbezaan di antara versi PlayStation dan juga PC. Oleh itu saya tidak akan memfokuskan-nya di dalam ulasan ini. Namun, serba sedikit mengenainya – Ghost of Tsushima memfokuskan kepada watak Jin Sakai yang merupakan seorang samurai, tetapi selepas Tsushima diserang oleh Mongolia, dan hampir kesemua samurai terbunuh, Jin Sakai terpaksa mengubah cara melawan dan tidak lagi mengikut cara terhormat samurai, sebaliknya melakukan apa sahaja demi melawan Mongolia.
Penceritaan yang disertakan bagi saya sekadar memuaskan, kebanyakan elemen di dalamnya adalah klise untuk kisah membalas dendam. Ia masih memberikan beberapa momen yang baik, serta beberapa watak yang menarik akan tetapi penceritaan di dalam permainan ini bukanlah sesuatu yang akan diingatkan buat waktu yang lama. Manakala melalui penambahan Pulau Iki, penceritaan masih mengekalkan premis yang sama, cuma Mongolia mendarat di kepulauan tersebut dan Jin Sakai perlu melawannya bersama dengan penduduk-penduduk tempatan.
Kekuatan utama bagi Ghost of Tsushima bagi saya adalah tatamain, ataupun dengan lebih khusunya pengisian dunia terbuka. Seperti mana-mana permainan dunia terbuka, permainan ini diisikan dengan beberapa aktiviti yang sama berulang-ulang kali, akan tetapi melakukannya tidaklah membosankan kerana setiap daripadanya memberi sesuatu yang berguna untuk sesi permainan. Tidak kira membebaskan sesuatu tempat daripada kekangan Mongolia ataupun mengejar musang, dan juga mengikut burung untuk menjumpai kolam air panas. Seperkara yang membuatkan melakukan aktiviti ini menarik adalah kerana saya tidak sangat mengejar tanda di peta, sebaliknya semasa saya mengembara ia akan menarik perhatian saya secara ‘semula jadi’ dan melakukannya juga tidak terasa mendesak.
Selain pengisian dunia terbuka, Ghost of Tsushima juga menyertakan sistem pertempuran yang baik. Menggunakan gaya samurai bersama dengan gaya-gaya lain, menjadikan pertempuran tidaklah sukar seperti permainan soulslike akan tetapi masih mendalam untuk menjadikannya memerlukan kefahaman dan kemahiran. Terutama melalui penggunaan sistem Stance, dengan setiap penjahat menggunakan senjata yang berbeza Stance berlainan akan lebih bersesuaian dengan penjahat yang berlainan, ini menjadikan konsep ‘batu gunting kertas’ yang baik. Permainan ini juga menyertakan konsep menyelinap, ia adalah memuaskan tetapi saya tidak boleh katakan yang terbaik terutama kerana AI yang tidak menentu.
Bagi kawalan pula, oleh kerana ia adalah versi PC, saya mencuba bermain dengan papan kekunci dan tetikus boleh dikatakan separuh sesi permainan dan saya boleh katakan ia boleh dimainkan dengan baik akan tetapi saya masih merasakan alat kawalan adalah pilihan yang lebih baik. Jika anda memiliki DualSense, ia adalah alat kawalan terbaik kerana menyokong fungsi-fungsi tambahan di alat kawalan tersebut walaupun dimainkan di PC seperti picu penyesuai dan juga getaran haptik dan dapat leret touchbar untuk melihat arah tujuan bukan sesuatu yang boleh dilakukan menggunakan tetikus.
Walaupun permainan yang sudah berusia 4 tahun, Ghost of Tsushima masih merupakan satu permainan yang cantik terutama melalui rekaan persekitaran. Melalui tetapan yang disertakan di PC, saya boleh menambah baik lagi kualiti grafik ini dengan tetapan tertinggi terutama untuk bayang dan pantulan cahaya yang akan memberikan pengalaman yang lebih menawan. Saya menggunakan PC dengan spesifikasi seperti berikut:
- CPU: AMD Ryzen 5 3600
- GPU: NVIDIA GeForce RTX 4070 Super
- RAM: 16GB
Spesifikasi ini, cukup untuk membolehkan saya bermain dengan tetapan tertinggi dan mendapat kadar kelancaran secara puratanya 50FPS, dengan kata lain tiada masalah untuk memberikan kadar kelancaran tetapi 30FPS. Saya juga boleh menggunakan DLSS ataupun FSR untuk menambah kadar kelancaran sehingga melebihi 60FPS, tanpa kesan negatif yang terlalu jelas bagi kualiti grafik. Permainan ini tidak menyokong ray-tracing tetapi saya tidak melihatnya sebagai satu masalah yang besar, jika ada, saya tidak rasa akan membukanya. Terdapat beberapa cutscene yang sebenarnya merupakan video berbanding sesuatu yang dimainkan daripada permainan oleh itu akan ada daripadanya yang kelihatan kurang berkualiti.
Selain daripada itu, Ghost of Tsushima boleh dikatakan sebagai satu port yang baik dan tidak mengejutkan lagi kerana ia dibangunkan oleh Nixxes Software yang mempunyai rekod yang baik di dalam perkara ini. Seperti yang dijangkakan, Ghost of Tsushima juga menyokong paparan ultra-lebar sesuatu yang tiada di versi PlayStation.
Akhir kata, Ghost of Tsushima Director’s Cut adalah satu permainan dunia terbuka yang baik walaupun penceritaan yang disampaikan mudah untuk dijangka dan tidak akan diingatkan selepas tamat, akan tetapi pengalaman keseluruhannya masih baik seperti yang disampaikan di PlayStation sebelum ini. Melalui versi PC ini, ia boleh dimainkan dengan baik, walaupun untuk PC yang spesifikasi sederhana, dengan sokongan DLSS dan FSR, agak mudah untuk mendapat kadar kelancaran yang diinginkan tanpa perlu terlalu mengorbankan kualiti grafik. Kawalan menggunakan papan kekunci dan tetikus adalah baik, tetapi masih dicadangkan untuk guna alat kawalan terutama DualSense.