Ketika acara Fan Festival 2026 di Berlin, Penerbit dan Pengarah Naoki Yoshida telah berkongsi maklumat terkini mengenai FINAL FANTASY XIV: Evercold, iaitu penambahan keenam bagi permainan MMORPG FINAL FANTASY XIV Online. Penambahan ini dijadualkan pelancarannya pada Januari 2027 dan akan memulakan penceritaan Goddless Realms Saga di kawasan yang dikenali sebagai Fourth.
Pendedahan utama mengenai penambahan ini ialah pengenalan job baharu, iaitu Bastion. Bertindak sebagai main tank, Bastion menggunakan sepasang perisai besar yang dipanggil skyltborg. Dari segi struktur permainan, Evercold akan membenarkan pemain memilih laluan dan kawasan penceritaan utama mengikut urutan yang mereka mahukan. Bagi mengimbangi sistem naratif yang lebih bebas ini, ciri Auto Content Balancing akan menyelaras tahap kesukaran dan tahap musuh di dalam dungeon secara automatik mengikut tahap pemain.
Dua kandungan rentas siri telah diumumkan bagi menyokong penambahan ini. Selepas pendedahan awal mengenai alliance raid EVANGELION – Ghosts of Desire, pengarah dan juru animasi Mahiro Maeda disahkan menyertai projek tersebut sebagai artis dan pereka jemputan khas. Beliau sebelum ini pernah menyumbang kepada filem Mad Max: Fury Road dan bertindak sebagai pengarah untuk EVANGELION: 3.0 +1.0 THRICE UPON A TIME.


Pengarah siri FINAL FANTASY VII Remake, Naoki Hamaguchi, turut mengumumkan raid lapan pemain bertajuk “Beyond the Lifestream”, sebuah siri kerjasama berteraskan FINAL FANTASY VII. Sebagai tambahan, kawasan Gold Saucer akan menerima minigame menaip untuk empat pemain bertemakan FINAL FANTASY VII, dipanggil “Keybound Brawler”, bermula pada 28 Oktober 2026.
Menyentuh soal ketersediaan platform permainan, FINAL FANTASY XIV akan ditawarkan di Nintendo Switch 2 pada 4 Ogos 2026. Bagi memastikan kestabilan pelayan pada peringkat awal, pemain akan diberikan tempoh langganan percuma selama sebulan. Pra-tempahan di Nintendo eShop kini dibuka untuk versi Free Trial, Starter Edition, Complete Edition, dan Dawntrail.


Bagi sistem padanan pemain, Patch 7.5x yang akan bermula di Jepun pada pertengahan Oktober (kemudian diikuti Amerika Utara dan Eropah) bakal memperkenalkan Same-Region Player Matching yang membenarkan padanan pemain merentasi pelbagai fizikal data center. Patch 8.1 pula akan memfokuskan rombakan menyeluruh pada sistem penternakan chocobo serta menambah kebolehan untuk menyeru haiwan tersebut bagi membantu di dalam dungeon. Sebelum itu, pemain akan menerima kemas kini Patch 7.55 pada 28 Julai 2026 yang membawakan kandungan seperti Occult Crescent dan pelbagai misi Allied Society.
Sistem penyesuaian watak akan diperluas dengan kemudahan color picker baharu, tetapan rupa mata dan bibir yang lebih tepat, serta penambahan kosmetik seperti eye shadow. Pemain juga akan dapat menggunakan fungsi Character Action Skins untuk menukar animasi tindakan umum seperti Teleport dan Warp.


Square Enix juga mengumumkan barangan koleksi fizikal Evercold Collector’s Bundle yang mengandungi Evercold Special Art Box, figurin Reaper, rantai kunci Ethos Metal, plush Köttr, dan Tapestry of the Fourth. Sementara itu, Digital Collector’s Edition akan menyertakan barangan di dalam permainan seperti senjata Crystal Skyltborg, tunggangan Vallhallar Odin, dan emote Entreat Crystal. Maklumat mengenai ketersediaan dan pra-tempahan untuk edisi ini akan dimaklumkan kelak.


