Secara peribadi, trilogi lakonan Tom Holland sebelum ini merupakan siri filem aksi nyata terbaik buat Spider-Man. Spider-Man: No Way Home, khususnya, boleh dianggap sebagai naskhah terunggul untuk adiwira lelabah ini. Walau bagaimanapun, ketiga-tiga filem tersebut berkongsi satu struktur plot yang agak menjengkelkan: Peter Parker pasti melakukan satu kesilapan besar, dan naratif filem akan berkisar tentang usahanya untuk memperbetulkan keadaan. Plot sebegini mungkin menarik untuk filem pertama, namun ia mula terasa klise dan kurang berkesan setelah diulang berkali-kali.

Oleh itu, saya amat gembira untuk menyatakan bahawa Spider-Man: Brand New Day akhirnya melepaskan diri daripada formula tersebut. Sebaliknya, filem ini meneruskan kesinambungan dari titik akhir No Way Home, di mana Peter Parker dan Spider-Man kini berhadapan dengan impak sebenar daripada pengorbanan serta keputusannya yang lalu. Pendekatan ini berjaya membuahkan sebuah penceritaan yang jauh lebih matang, mendalam, dan beremosi. Dengan kata lain, ia mengambil takhta sebagai adaptasi aksi nyata terbaik bagi Spider-Man setakat ini. Malah, ia turut menonjolkan persembahan lakonan paling mantap daripada Tom Holland, baik ketika menyarung sut adiwira mahupun sebagai Peter Parker.

Naratif bermula sejurus selepas insiden No Way Home, memaparkan Peter yang memilih untuk mengasingkan diri daripada MJ (Zendaya) dan Ned Leeds (Jacob Batalon) demi keselamatan mereka. Dia hanya mampu mengikuti perkembangan rakan-rakannya melalui media sosial, dari hari pertama mereka mendaftar di MIT sehinggalah bergelar graduan. Sementara itu, Peter menghabiskan masanya memfokuskan diri sepenuhnya sebagai pelindung bandar raya New York, meraih kekaguman masyarakat serta menjalin hubungan yang positif dengan pihak polis. Namun di sebalik topeng tersebut, kekosongan yang ditinggalkan oleh MJ dan Ned mula mengganggu kestabilan mentalnya.

Konflik dalaman ini mendorong Peter ke arah satu fasa perubahan baharu; ia menjadikannya lebih kuat, namun pada masa yang sama menyebabkan dia hilang kawalan diri. Keadaan bertambah rumit dengan kemunculan satu entiti misteri yang mampu merasuk dan mengawal minda orang lain. Memandangkan entiti tersebut tidak mampu melakukan perkara yang sama terhadap Spider-Man, dia menjadi satu-satunya wira yang boleh menjejak dan menewaskan ancaman ini. Walaupun antagonis kali ini mungkin bukanlah yang paling berbahaya dari segi skala kehancuran fizikal, ia mempunyai pertalian psikologi yang cukup mendalam dengan Spider-Man. Ini menjadikan setiap pertempuran di antara mereka bukan sekadar aksi semata-mata, tetapi sarat dengan impak emosi.

Brand New Day juga bertindak cemerlang dalam menganyam semula elemen-elemen dari filem terdahulu. Dinamik hubungan antara Peter, MJ, dan Ned diolah dengan teliti, tidak terasa dipaksa dan tidak juga terlalu ringkas. Keputusan pahit yang dibuat oleh Peter pada masa lalu kekal relevan dan terus menyumbang kepada beban emosi penceritaan. Saya juga harus memuji bagaimana peninggalan Aunt May (Marisa Tomei) terus bergema dan membimbing Peter, biarpun dipaparkan secara halus. Selain itu, penampilan kemunculan watak-watak Marvel Cinematic Universe (MCU) lain seperti Frank Castle (Jon Bernthal) dan Bruce Banner (Mark Ruffalo) sama ada sebagai sekutu atau musuh berjaya memperkayakan lagi skala penceritaan filem ini.

Oleh kerana antagonis utama berupaya mengawal minda, cabaran yang dihadapi oleh Spider-Man melangkaui penjahat konvensional seperti Scorpion (Michael Mando). Dia turut terpaksa berhadapan dengan individu luar biasa seperti Hulk, lantas menyajikan adegan aksi dan koreografi pertempuran yang sangat memukau. Namun, apa yang paling saya hargai adalah bagaimana setiap babak pertarungan ini tidak berlaku secara semberono. Kesemua aksi dirancang sebagai platform berkesan untuk merungkai dan mematangkan lagi perwatakan Peter Parker, menjadikan pertarungan ini berlipat kali ganda lebih menarik. Sedikit rungutan yang saya boleh katakan adalah ada beberapa masalah diselesaikan dengan sedikit ringkas, yang terlalu convenient tetapi pada masa yang sama berkesan untuk menggerakkan penceritaan.

Akhir kata, Spider-Man: Brand New Day membuktikan bahawa penceritaan adiwira boleh melangkaui sekadar hiburan aksi kosong. Filem ini mengorak langkah berani dengan menolak formula klise, beralih fokus kepada proses pendewasaan serta bebanan emosi yang harus dipikul oleh Peter Parker pasca No Way Home. Lakonan cemerlang Tom Holland, digabungkan dengan naratif psikologi yang mendalam, menjadikan naskhah ini sangat utuh dan berkesan. Pendekatan memfokuskan konflik peribadi dan tanggungjawab yang hadir dengan dengan kuasa yang ada, menjadikannya satu kisah yang sangat mendalam. Dibantu oleh kisah perhubungan Peter Parker dan Spider-Man dengan watak-watak lain juga memberi impak emosi yang sangat berkesan. Secara keseluruhannya, ia bukan sahaja sekuel atau permulaan trilogi yang amat mengagumkan, tetapi juga naskhah aksi nyata terbaik untuk Spider-Man.

Gambar: Sony Pictures

Spider-Man: Brand New Day
Filem ini membuktikan bahawa penceritaan adiwira boleh melangkaui sekadar hiburan aksi kosong. Filem ini mengorak langkah berani dengan menolak formula klise, beralih fokus kepada proses pendewasaan serta bebanan emosi yang harus dipikul oleh Peter Parker pasca No Way Home. Lakonan cemerlang Tom Holland, digabungkan dengan naratif psikologi yang mendalam, menjadikan naskhah ini sangat utuh dan berkesan. Pendekatan memfokuskan konflik peribadi dan tanggungjawab yang hadir dengan dengan kuasa yang ada, menjadikannya satu kisah yang sangat mendalam. Dibantu oleh kisah perhubungan Peter Parker dan Spider-Man dengan watak-watak lain juga memberi impak emosi yang sangat berkesan. Secara keseluruhannya, ia bukan sahaja sekuel atau permulaan trilogi yang amat mengagumkan, tetapi juga naskhah aksi nyata terbaik untuk Spider-Man.
Positif
Penceritaan yang matang dan mendalam
Prestasi Tom Holland yang cemerlang
Pengisian plot yang sangat padat
Negatif
Sesetengah penyelesaian terjadi terlalu mudah atau convenient
10

Leave a Reply

Final Score