Sepanjang jangka hayat konsol PlayStation 4 sejak 2013 lepas, konsol tersebut menerima pelbagai permainan-permainan menarik bukan sahaja daripada pembangun permainan dari Sony sendiri malah pelbagai pembangun pihak ketiga yang mana terdiri daripada pelbagai genre permainan.
Salah satu genre permainan yang terkenal, iaitu bentuk dunia terbuka merupakan satu genre yang tidak asing buat pembangun Sucker Punch Production di mana mereka terkenal dengan siri Infamous beberapa tahun lepas. Terkini, meneruskan legasi mereka untuk permainan dunia terbuka, mereka menghasilkan satu lagi permainan dunia terbuka yang bertempatkan di Tsushima, Jepun iaitu Ghost Of Tsushima di mana ia dibangunkan secara eksklusif buat konsol PlayStation 4.
Ghost Of Tsushima akan dilancarkan secara rasmi pada 17 Julai 2020 ini dan ia memfokuskan kepulauan Tsushima, ketika waktu bersejarah buat negara Jepun di mana mereka diserang oleh Mongolia pada tahun 1274. Meskipun begitu, permainan ini bukanlah berdasarkan terus daripada sejarah penaklukan tersebut, namun ia bertemakan saat sejarah tersebut dan ini adalah ulasan kami untuk Ghost Of Tsushima.
Penceritaan Yang Agak Klise Dengan Watak Yang Hambar
Ghost Of Tsushima meletakkan pemain untuk bermain seorang pahlawan samurai yang bernama Jin Sakai di mana beliau merupakan satu-satunya tuan untuk puak Sakai. Ditemani oleh pakcik beliau iaitu Shimura, iaitu tuan untuk kepulauan Tsushima, yang mana juga banyak membantu Jin untuk mendidik dan juga menjaga beliau dari kecil.

Permulaan permainan ini bertempatkan pada awal penaklukan Mongolia di Jepun di mana Jin bersama pakciknya, Shimura berada di medan perang hadapan untuk bertembung dengan Khotun Khan iaitu jeneral Mongolia yang mengetuai penaklukan tersebut. Tetapi ketika bertempur, samurai-samurai Shimura dan Jin dikalahkan oleh Mongolia dan Jin berjaya diselamatkan oleh penduduk berdekatan di mana situlah bermulanya pengembaraan Jin Sakai untuk menumpaskan Khotun Khan.
Secara asasnya, penceritaan permainan ini agak klise dan bagi anda yang sering bermain permainan pembalasan dendam ataupun sebarang penceritaan pengembaraan adiwira untuk menumpas musuh, kesemua aspek plot penceritaan di dalam Ghost Of Tsushima adalah sama sahaja.

Untuk membuat ia menjadi lebih mengecewakan adalah watak-watak yang terdapat di dalam permainan ini juga agak hambar termasuklah penjahat utama iaitu Khotun Khan. Pada pendapat saya sendiri, watak beliau tidak diperlihatkan dengan baik dan terdapat saat di mana beliau seakan ingin melakukan satu perkara yang kejam dan membuat pemain marah, tetapi ia tidak disampaikan dengan baik, sekaligus ia menyebabkan beberapa aspek naratif menjunamkan dan sangat hambar.

Keseluruhan penceritaan permainan ini juga membawa Jin Sakai ke arah beliau untuk membuang segala penghormatan beliau sebagai Samurai dan menjadi “Ghost” di kepulauan Tsushima tersebut. Saya sendiri agak menyukai aspek tersebut dan ketika bahagian terakhir, permainan ini juga memaparkan naratif yang agak menarik untuk perkembangan watak Jin. Tetapi atas sebab watak sokongan lain berasa agak hambar, ia sekaligus memberi pengalaman naratif yang agak mengecewakan.
Walaupun begitu, bagi anda yang menyukai penceritaan klasik pahlawan Samurai yang membuang segala penghormatan untuk selamatkan negara dan rakyatnya, saya pasti anda akan menyukai penceritaan permainan ini atas sebab ia mempunyai penceritaan yang ringkas tanpa sebarang elemen fantasi.
Visual Persekitaran Yang Menawan, Namun Riak Wajah Yang “Kosong”
Sejak pertama kali saya tonton video acah Ghost Of Tsushima yang pada 2018 lepas, tidak dinafikan yang mana permainan ini mempunyai visual persekitaran yang sangat menawan dan ia sememangnya diterjemahkan dengan baik di dalam permainan ini. Dengan visual bertemakan seakan filem Akira Kurosawa yang menggunakan pergerakan semulajadi yang banyak, semestinya membuatkan permainan ini berasa lain daripada lain dari segi aspek arah seninya.

Untuk menambahkan lagi elemen Samurai dan Feudal Jepun, Sucker Punch juga menyertakan satu fungsi untuk menukar visual permainan dengan elemen hitam putih seakan filem klasik Akira Kurosawa yang mana pada pendapat saya sangat artistik sekali. Namun untuk bermain secara keseluruhan permainan ini ia mungkin berasa agak pelik, oleh sebab itu fungsi tersebut boleh ditukar secara terus melalui tetapan permainan.

Satu lagi fungsi tambahan yang mana boleh dikatakan satu keperluan untuk kesemua permainan berkelas AAA adalah mod foto di mana seperti kebanyakkan permainan pihak pertama oleh Sony, Ghost Of Tsushima menyediakan mod foto. Menariknya, mod foto permainan ini menyertakan pelbagai tetapan yang anda boleh ubah dari penuras sehinggalah tetapan kedalaman lapangan. Untuk menambah lagi suasana epik Samurai tersebut, anda juga boleh menetapkan pelbagai tetapan dari segi cuaca, keadaan dan juga angin yang mana lagi membawa lagi banyak elemen “Kurosawa” di dalam permainan ini.

Menariknya, mod foto permainan ini juga menyertakan satu fungsi untuk menghasilkan foto latar belakang bergerak, di mana fungsi ini kelihatan seakan satu imej beranimasi yang sangat menawan. Contoh gambar tersebut anda boleh lihat di imej di atas yang mana saya pasti anda akan sangat menyukai dengan bentuk foto sebegini.
Dari segi prestasi, tidak banyak yang saya boleh katakan atas sebab seluruh sesi permainan saya dimainkan dengan begitu baik sekali buat kedua-dua tetapan yang disedia iaitu tetapan resolusi 4K dan juga tetapan kadar bingkai sesaat yang tinggi. Dengan dua tetapan ini, ia semestinya memberi pilihan bentuk permainan yang pemain inginkan dan memandangkan permainan ini banyak menggunakan bentuk pertempuran beraksi, saya lebih mengesyorkan anda untuk bermain dengan tetapan kadar bingkai sesaat yang tinggi. Namun bagi anda yang ingin bermain dengan mod foto seperti saya terangkan di atas, mungkin anda lebih berminat untuk bermainnya di skrin 4K.

Walaupun begitu, dari segi aspek visual, sememangnya permainan ini tidaklah sempurna. Antara kelemahan utama permainan ini adalah riak wajah ekspresi buat watak-watak di dalam permainan ini di mana saya boleh katakan berasa sangat kaku dan tidak bernyawa. Walaupun dari segi rekaan model watak mahupun segala pakaian sangat terperinci, namun setiap kali ketika adegan permainan ataupun saat di mana watak tersebut bercakap, ia kelihatan begitu kaku.
Masalah ini juga mungkin disebabkan saya sendiri baru sahaja bermain permainan The Last Of Us Part II yang mana boleh dikatakan satu permainan yang mempunyai visual yang begitu nyata dan sekaligus membuatkan saya untuk membandingkan antara dua permainan tersebut. Meskipun begitu, ini tidak bermakna permainan ini mempunyai visual yang teruk, namun atas sebab wajah kaku watak tersebut, ia agak memberi kesan terhadap penyampaian penceritaan yang berasa agak janggal.
Audio Zaman Feudal Yang Berbudaya, Namun Sokongan Suara Latar Jepun Yang Hanya Alih Suara
Jika anda meminati sebarang budaya Jepun, samurai dan dunia Feudal bersejarah, kesan audio dan muzik yang disampaikan oleh permainan ini semestinya adalah sangat bagus sekali. Dari segi muzik sehinggalah lagu tema yang disampaikan sememangnya memberi perasaan pahlawan samurai buat saya sendiri.
Dicampur pula mod foto yang saya nyatakan di atas, di mana ia juga menyertakan fungsi untuk memainkan muzik tema sesuatu watak yang mana sekali lagi membawa semangat dan budaya Feudal Jepun yang sangat mengasyikkan.
Walaupun dari segi aspek lain untuk audio saya tidak mempunyai masalah, tetapi terdapat satu perkara yang saya agak hampa iaitu sokongan audio bahasa Jepun yang tiada langsung mempunyai pergerakan bibir yang segerak dengan permainan. Ini kerana permainan ini memfokuskan pembangunan dan saat lakonan oleh watak asalnya yang berbahasa Inggeris, sekaligus suara latar bagi bahasa Jepun ia hanyalah diterjemahkan sebagai alih suara sahaja.
Ini mungkin akan menjadi satu perkara yang agak mengecewakan buat beberapa pemain atas sebab permainan ini bertempatkan di negara Jepun dan untuk dimainkan dengan bahasa Inggeris, ia berasa agak pelik. Ia menjadi lebih teruk apabila saya menukar ke bahasa Jepun, setiap adegan tidak langsung mempunyai pergerakan bibir yang segerak, dicampur pula dengan riak wajah muka watak yang kaku, ia terus membuatkan penyampaian penceritaan dan suara permainan ini berasa sangat teruk.
Bentuk Pertempuran Yang Menyeronokkan Namun Kecerdasan Buatan Yang Lemah
Antara persoalan ramai berkenaan bentuk permainan ini Ghost Of Tsushima semestinya berkenaan tahap kesukarannya yang mana ramai tertanya-tanya sama ada permainan ini mempunyai tahap kesukaran seperti permainan Soulsborne. Sukacitanya saya di sini ingin cakapkan yang mana ia tidaklah mempunyai bentuk permainan yang sukar seperti siri tersebut, namun ini tidak bermakna permainan ini mudah untuk dimainkan.
Walaupun mempunyai tahap kesukaran yang berbeza di mana anda boleh memilihnya pada permulaan permainan ini, ketika saya bermain di dalam tahap kesukaran pertengahan, pada pendapat saya sendiri permainan ini masih lagi agak mencabar. Namun ia tidaklah terlalu menghukum seperti siri Soulsborne yang mana sekurangnya membuatkan permainan ini masih lagi seronok untuk dimainkan.

Dari segi aspek kesukaran tersebut, semestinya perkara pertama yang saya ingin tekankan adalah bentuk pertempurannya. Pada pendapat saya, bentuk pertempuran permainan ini mengapa yang membuatkan permainan ini cukup seronok untuk dimainkan.
Antara fungsi kesukaan saya adalah penukaran gaya tempur pedang yang anda boleh guna dan setiap satu gaya tempur mempunyai lebihannya sendiri mengikut musuh. Contohnya gaya tempur “Stone Stance” mempunyai kelebihan jika bertempur dengan musuh berpedang, manakala gaya tempur “Wind Stance” mempunyai kelebihan buat musuh yang menggunakan senjata lembing.
Konsep ini bukan sahaja memberi bentuk pertempuran yang sangat mendalam, malah ia memerlukan pemain untuk bijak dan tenang ketika bertempur, seperti mana seorang Samurai.
Pemain juga berupaya untuk memantul dan mengelak serangan musuh di mana permainan ini juga menyediakan isyarat sama ada serangan tersebut boleh dipantul ataupun hanya boleh dielak. Ia sedikit sebanyak tidaklah begitu sukar, dan masih lagi memberi bentuk pertempuran yang mudah. Namun jika pemain tersilap membuat langkah, pemain pasti akan dihukum seteruknya dan tewas di tangan musuh.

Permainan ini juga menyertakan bentuk pertarungan “Duel” antara dua pahlawan Samurai yang mana ia sedikit sebanyak mengingatkan saya seakan filem klasik Samurai ataupun koboi di mana dua watak bertarung hidup mati. Konsep ini agak menarik dan ia menjadi seakan satu bentuk pertarungan “Ketua Musuh” yang unik dan menawan. Namun dari segi kawalan asasnya, ia dimainkan sama sahaja dengan bentuk pertempuran biasa.

Selain untuk bentuk “Stand-Off” juga merupakan salah satu bentuk yang saya agak menyukainya di mana ia memerlukan pemain untuk melepaskan butang tepat pada saat ketika musuh menyerang. Bentuk ini boleh dikatakan juga seakan bentuk klasik filem Samurai seperti bentuk pertarungan “Duel” yang nyatakan, namun ia boleh dilakukan buat mana-mana musuh biasa.

Dari segi kemahiran, pemain juga berupaya untuk mempelajari pelbagai kemahiran yang mana juga salah satu perkara kesukaan saya sendiri. Untuk mendapatkan nilai untuk mempelajari kemahiran tersebut, pemain perlu melakukan misi, lengkapkan penceritaan ataupun menyelesaikan sebarang pertolongan rakyat di mana ia seakan nilai “Pengalaman” buat pemain untuk digunakan sebagai nilai untuk mempelajari kemahiran baharu.
Melalui kemahiran tersebut, ia menyertakan pelbagai jenis kemahiran dari segi bentuk pertarungan pedang, serangan kombinasi mahupun fungsi untuk mengembara dengan lebih senang. Pemain juga boleh mempelajari kemahiran “Ghost” yang mana ia lebih memfokuskan gajet dan serangan berbentuk selinap yang akan saya terangkan lebih lanjut di bawah.

Untuk menambahkan lagi elemen RPG, pemain juga boleh menaik-taraf kelengkapan dan pakaian yang mana setiap satunya mempunyai kelebihan masing-masing. Bentuk ini tidaklah begitu mendalam seperti permainan RPG lain, namun pakaian seperti pakaian Samurai semestinya akan tingkat pertahanan, manakala pakaian Samurai “Ronin” pula akan tingkat kelajuan dan sebaliknya. Selain itu pemain boleh memasang “Charm” di senjata pemain untuk tingkatkan lagi statistik dan sebagainya. Pemain juga boleh memburu binatang pemangsa, mencari barangan sumber seperti kulit, besi, kayu dan sebagainya, yang mana akan digunakan untuk menaik-taraf kelengkapan pemain.
Walaupun begitu, sebaliknya untuk bentuk selinap permainan ia merupakan salah satu bentuk yang paling mengecewakan di dalam permainan ini. Seperti yang saya terangkan di atas, permainan ini memfokuskan pemain untuk bermain sebagai Jin Sakai yang membuang segala penghormatan beliau untuk menjadi “Ghost” iaitu pahlawan seakan ninja ataupun Shinobi yang menggunakan pelbagai tipu helah untuk menakutkan musuh ataupun membunuh musuh secara senyap.

Dukacitanya bentuk ini merupakan bentuk paling lemah sekali di dalam permainan ini akibat kecerdasan buatan musuh yang sangat teruk. Saya bermain permainan ini dengan tahap kesukaran sederhana, namun saya percaya ia bukannya masalah tetapan tahap kesukaran tersebut namun lebih kepada bagaimana permainan bentuk dunia terbuka ini dihasilkan.
Contoh masalah utama adalah jika pemain berada di dalam pangkalan musuh bersama watak rakan yang lain, musuh-musuh tidak langsung menghiraukan watak rakan pemain walaupun mereka terang sekali berada di depan musuh. Semestinya ini bukanlah masalah besar, namun ia merosakkan elemen selinap tersebut.
Tambah pula elemen selinap tersebut juga boleh dikatakan rosak di mana pemain boleh mengeksploitasi dengan menggunakan bom asap di mana musuh kemudian terus tidak nampak pemain dan pemain boleh terus membunuh secara senyap tanpa masalah.
Keadaan menjadi lebih teruk di mana aspek “amaran” jika pemain ditemui oleh musuh juga tidak terlalu dihiraukan oleh musuh lain malah jika pemain ditemui di satu kawasan untuk satu keseluruhan pangkalan, kawasan lain di pangkalan yang sama seakan tidak langsung mendapat “amaran” tersebut, yang mana pada saya lagi membuatkan permainan ini berasa sangat pelik.

Terdapat beberapa lagi perkara yang menjengkelkan saya dari segi aspek selinap ini, namun saya tidaklah ingin menceritannya dengan terlalu terperinci atas sebab ia sedikit sebanyak berkaitan dengan penceritaan permainan ini. Namun apa yang saya boleh katakan adalah bentuk selinap di dalam permainan ini adalah rosak dan sangat lemah jika ingin dibandingkan oleh permainan sebelum ini oleh Sony.
Selain itu, pemain juga dilengkapi dengan cangkuk dan sebagainya untuk bergerak, secara amnya ia tidaklah memberi kesan ketika pemain bertempur malah cangkuk tersebut hanya digunakan untuk pemain panjat bangunan ataupun bergayut di pokok sahaja.
Dari segi aspek lain, Ghost Of Tsushima sememangnya menyertakan satu bentuk permainan dunia terbuka yang mencukupi dan dari segi kandungan akan saya terangkan dengan lebih lanjut di bawah. Tetapi secara keseluruhan, bentuk permainan ini sudah mencukupi dengan segala konsep yang tersedia ada dan saya boleh katakan Sucker Punch Production masih lagi menyampai satu permainan Samurai yang baik.
Kandungan Dunia Terbuka Yang Meluas Dan Pelbagai
Seperti yang saya terangkan di atas, permainan ini sememangnya merupakan satu permainan dunia terbuka di mana ia memfokuskan keseluruhan pulau Tsushima. Namun, ianya semestinya tidak berskala tepat dengan dunia nyata tetapi ia masih lagi satu pulau yang sangat luas dan pelbagai untuk pemain terokai.
Antara bentuk kesukaan saya adalah pengembaraan yang pemain boleh lakukan di pulau Tsushima tersebut di mana permainan ini secara amnya tidak langsung mempunyai sebarang peta mini di dalam paparan antara muka pemain. Oleh sebab itu, pemain perlu sentiasa membuka menu peta untuk melihat lokasi pemain.

Ini tidak bermakna ia adalah satu perkara negatif atas sebab permainan ini meletak pelbagai mercu tanda yang pemain boleh ikut dan terokai untuk mengembara di dalam pulau ini yang mana pada pendapat saya adalah rekaan bentuk permainan dunia terbuka yang sangat mengasyikkan. Antara kesukaan saya sendiri adalah fungsi untuk mengikut haiwan seperti burung di mana mereka akan menghala pemain ke arah lokasi menarik seperti misi sampingan, kuil dan sebagainya. Selain itu, pemain juga akan menggunakan angin, seakan menjadi satu penunjuk arah buat pemain di mana untuk mengakses fungsi tersebut, pemain hanya menatal di pad sesentuh di alat kawalan pemain, permainan ini kemudian akan menunjuk arah angin ke arah objektif pemain.

Saya juga menyukai saat di mana saya berjalan-jalan di satu kawasan tersebut dan melihat banyak mayat manusia bergelimpangan di tepi jalan atas sebab jajahan Mongolia dan menariknya, apabila saya menumpas beberapa pangkalan Mongolia di satu kawasan tersebut, mayat-mayat tersebut akan berkurangan dan anda boleh melihat yang mana satu kawasan tersebut sudah tidak lagi di bawah kuasa tentera Mongolia.
Elemen seperti inilah menggalak pemain untuk terus menerokai pulau tersebut tanpa had dan sekali lagi saya ingin tegaskan yang mana konsep inilah yang membuat kenapa Ghost Of Tsushima sangat berlainan dengan permainan dunia terbuka lain.
Oleh sebab itu, saya sendiri mengesyorkan anda untuk bermain permainan ini dengan mengambil masa anda dan tidak terlalu mengejar penceritaan utamanya yang mana saya pasti akan menemui pelbagai kandungan dan lokasi yang saya sendiri terlepas.
Kesimpulan
Konklusinya, Ghost Of Tsushima semestinya adalah satu permainan dunia terbuka yang baik, di mana ia menyertakan dunia kepulauan Tsushima yang sangat meluas dengan pelbagai lokasi yang pemain boleh terokai. Dicampur pula dengan bentuk pertempuran yang sangat seronok dan mencabar, ia pasti menjadi salah satu permainan dunia terbuka kesukaan saya sendiri.
Akan tetapi, disebabkan beberapa masalah kecerdasan buatan permainan yang agak lemah dicampur pula dengan penceritaan yang agak klise dan hambar, ia menjadikan permainan ini berasa agak kecil jika ingin dibandingkan dengan permainan-permainan eksklusif oleh Sony sebelum ini. Ditambahkan pula dengan ekspresi riak wajah yang sangat kaku dan tiada langsung pergerakan bibir yang segerak untuk suara latar bahasa Jepun, ia berasa agak kecewa buat mereka yang ingin menyelami dunia permainan ini.
Meskipun begitu, saya sendiri tidak berkesempatan untuk menerokai keseluruhan permainan ini dan saya percaya dengan jumlah kandungan permainan yang tersedia, anda akan lebih seronok untuk menerokai pulau Tsushima ini jika dimainkan secara bersahaja dan mengambil masa untuk melakukan sebarang misi yang tersedia.
Oleh sebab itu, saya percaya Sucker Punch Production masih lagi berjaya membawa satu permainan dunia terbuka yang mengasyikkan, terutamanya buat mereka suka dengan tema budaya Jepun, Samurai dan Feudal Jepun yang mana mereka berjaya menghasilkan satu permainan yang sangat baik sekali di mana saya boleh katakan permainan ini adalah jawapan Sony untuk permainan dunia terbuka bertempatkan di era Feudal Jepun.

Penafian: Kod ulasan Ghost Of Tsushima disediakan oleh PlayStation Asia.