Lebih setahun selepas Ghost of Tsushima pertama kali dilancarkan, pemain akhirnya diberikan alasan untuk kembali bermain, terutama yang sudah menghabiskan Ghost of Tsushima sebelum ini. Melalui edisi Director’s Cut ia akan menyertakan penambahan kandungan melalui hadirnya kawasan baharu iaitu Kepualaun Iki.
Selain itu, bagi yang memiliki PlayStation 5, Director’s Cut ini juga akan membawa pelbagai penambah-baikkan untuk permainan ini terutama dari segi grafik, penggunaan dualsense dan pelbagai lagi untuk memberikan pengalaman bermain yang lebih baik.
Edisi baharu ini akan ditawarkan dengan harga RM249 untuk versi PS4, ataupun RM299 untuk turut mendapat versi PS5. Bagi yang sudah memiliki Ghost of Tsushima di PS4, tidak kira secara digital ataupun fizikal naik taraf boleh dilakukan dengan bayaran RM89 untuk versi PS4, dan RM129 untuk turut mendapat versi PS5.
Ulasan ini akan memfokuskan kepada kandungan tambahan yang disertakan di dalam Director’s Cut, untuk ulasan penuh bagi Ghost of Tsushima anda boleh baca di pautan ini. Namun, skor untuk ulasan ini adalah untuk keseluruhan permainan dan bukan bagi penambahan sahaja.
Kisah Pulau Iki
Pulau Iki merupakan kawasan baharu yang disertakan melalui penambahan ini, pemain boleh mengaksesnya selepas mencapai Act 2 di dalam permainan asas oleh itu, kisah yang berlaku di kepulauan ini boleh dikatakan berlaku di antara kisah di dalam permainan Ghost of Tsushima yang asal.
Oleh itu, jika masih lagi belum menghabiskan permainan ini, penambahan ini tidak akan mempunyai sebarang beberan mengenai apa yang akan berlaku di dalam penceritaan tersebut, sebaliknya ia sekadar memfokuskan kepada kisah baharu yang mempunyai serba sedikit kaitan dengan apa yang berlaku di Tsushima.
Jin Sakai telah mendapat maklumat yang tentera Mongolia telah mendarat di Pulau Iki dan cuba mengambil alih pulau tersebut, oleh itu dia merasakan perlu membantu pulau tersebut agar tentera Mongolian tidak menggunakan Pulau Iki untuk menyerang Tsushima.
Namun, Jin Sakai mempunyai kisah silam yang dia tidak boleh lupakan di pulau tersebut, oleh itu selain meneruskan penceritaan mengenai melawan Mongolia, kisah di Pulau Iki ini juga berkait dengan kisam silam Jin Sakai. Jika kisah Tsushima memfokuskan kepada Jin Sakai meninggalkan cara hidup seorang samurai, kisah Pulau Iki adalah mengenai bagaimana dia menghadapi sesalan serta kesilapan silam yang dilakukannya.
Ia disampaikan dengan baik, memberi satu lapisan baharu untuk perwatakan Jin Sakai akan tetapi saya merasakan dengan lebih kurang 10 jam sahaja untuk menghabiskan penceritaan utama, penceritaan tersebut tidak dapat dikembangkan dengan sebaiknya. Ia terasa terlalu padat, dan keadaan bergerak secara terlalu pantas.
Ini juga mengakibatkan beberapa watak baharu yang diperkenalkan, walaupun mempunyai perwatakan yang menarik akan tetapi mereka juga tidak berjaya untuk dikembangkan lagi termasuk juga watak jahat utama. Saya juga tidak menggemari cara bagaimana Jin Sakai ‘dipaksa’ untuk menghadapi kisah silam serta sesalan dirinya, saya lebih menyukai jika cara tersebut diringkaskan agar ia memberi impak yang lebih besar kepada emosi saya.
Kisah-kisah sampingan juga lebih kurang sama dengan permainan utama, banyak memfokuskan kepada kesan daripada penjajahan Mongolia. Ada beberapa misi yang menarik, terutama dengan pilihan yang disediakan serta penceritaan untuknya akan tetapi kebanyakan yang lain adalah seperti mana sebelum ini.
Secara keseluruhan, penceritaan yang di bawa adalah cukup menarik, jika anda menyukai penceritaan sebelum ini, ia akan membawa kualiti yang sama melalui penambahan ini, akan tetapi saya lebih berharap jika ia dikembangkan lebih lagi dan memberi lebih ruangan untuk setiap watak berkembang dan tidak terasa terlalu gopoh untuk menghabiskannya.
Kandungan Pulau Iki
Pulau Iki boleh dikatakan mempunyai saiz 1/3 ataupun 1/4 daripada keseluruhan Tsushima dan seperti Tsushima, Pulau Iki juga mempunyai pelbagai aktiviti sampingan. Aktiviti lama seperti Bamboo Strikes, Haiku, Pillars of Honours, Mongol Camps juga disertakan di pulau ini.
Ia juga menyertakan aktiviti baharu seperti Wind Shrines, Archery Challenge, Cat Sanctuaries, Deer Sanctuaries dan Booken Tournament. Ia adalah penambahan yang menarik untuk mempelbagaikan lagi aktiviti sampingan bagi permainan ini.
Jika anda menyukai dan telah melakukan kesemua aktiviti di dalam Ghost of Tsushima, penambahan ini sudah semestinya menjadi nilai tambah kepada permainan, jika anda tidak terlalu fokus kepada aktiviti tambahan ini, kandungan keseluruhan akan menjadi terhad.
Penambahan aktiviti ini juga penting untuk dilakukan kerana Jin Sakai akan mempunyai reputasi ataupun ‘Legends’ baharu di Pulau Iki, untuk mendapatkan Technique Points. Sedikit mengecewakan adalah ia hanya menyertakan satu sahaja penambahan kebolehan iaitu Horse Charge, selebihnya adalah untuk exploration yang tidak sangat penting untuk saya.
Horse Charge boleh digunakan untuk melanggar penjahat menggunakan kuda, ia akan menggunakan Resolve untuk melakukannya. Ia penambahan yang baik, kebanyakan pertempuran rawak di perjalanan saya berjaya selesaikan tanpa perlu turun daripada kuda.
Mereka juga menyertakan satu jenis penjahat yang baharu iaitu Shaman, ia akan membaca mantera yang akan menguatkan lagi penjahat-penjahat lain. Oleh itu, lebih baik untuk menyerangnya terlebih dahulu sebelum memfokuskan kepada penjahat lain.
Selain itu, ia juga menyertakan perisai baharu untuk Jin Sakai termasuk juga untuk kuda, buat masa ini saya hanya menjumpai empat perisai baharu untuk Jin Sakai dan satu untuk kuda, akan tetapi saya masih tidak melakukan kesemua lagi misi sampingan.
Bagi saya kandungan tambahan yang disertakan di Pulau Iki tidak berjaya menampung kekurangan yang hadir melalui penceritaan, saya masih merasakan yang kandungan yang disertakan sedikit terhad jika ingin dibandingkan dengan DLC-DLC untuk permainan lain seperti Marvel’s Spider-man.
Keindahaan Pulau Iki
Ghost of Tsushima adalah antara permainan dunia terbuka yang tercantik pernah dihasilkan, dan kawasan baharu di Pulau Iki membawa perkara yang sama. Berbanding Tsushima, Pulau Iki masih lagi tidak terlalu dimusnahkan oleh tentera mongolia, dan ini memberi keadaan yang lebih baik.
Namun, ia juga mempunyai kisah silam yang dipaparkan melalui pelbagai kawasan terbiar yang dipenuhi dengan hijauan flora. Mengembara di Pulau Iki membawa perasaan yang sama dengan Tsushima sebelum ini akan tetapi turut membawa keunikan tersendiri, untuk memberi satu pengalaman yang baharu.
Pulau Iki juga menyertakan pelbagai tempat yang memerlukan pendakian ataupun “platforming” dan kali ini ia dilakukan dengan lebih menarik jika ingin dibandingkan dengan tempat-tempat di Tsushima. Ia juga mempunyai kawasan yang memerlukan lebih perhatian untuk mengetahui bagaimana untuk melalui kawasan tersebut.
Seperti sebelum ini, Ghost of Tsushima versi ini juga mempunyai dua pilihan tetapan iaitu fokus kepada Resolution ataupun Performance, pada percubaan saya, kedua-dua ini tidak membawa perbezaan yang ketara terutama dari segi FPS. Oleh itu, saya menggunakan mod Resolution yang memberikan kualiti grafik yang lebih baik.
Director’s Cut di PS5 juga mempertingkatkan kualiti bagi pergerakan bibir, jika sebelum ini ia sekadar menggunakan gerakan bibir bahasa inggeris walaupun menggunakan bahasa Jepun, kali ini mereka turut melakukan pergerakan bibir untuk bahasa Jepun. Ia bukan sempurna akan tetapi sudah lebih baik berbanding sebelum ini.
Kesimpulan
Ghost of Tsushima Director’s Cut adalah versi terbaik untuk permainan ini, ia menyertakan kandungan tambahan, dan bagi yang mendapatkannya di PlayStation 5, ia juga adalah dengan prestasi terbaik untuknya. Jika anda tidak pernah bermain Ghost of Tsushima sebelum, versi ini adalah versi paling berbaloi untuk dapatkannya.
Jika anda sudah memiliki ataupun sudah menghabiskannya sebelum ini, penambahan yang dibawa oleh Pulau Iki bagi saya tidak mencukupi untuk kos naik taraf yang dikenakan, saya sangat inginkan jika kandungan-kandungan ini dikembangkan lagi kerana ia adalah satu kandunan yang baik.
Oleh itu, ia adalah permainan yang sangat berbaloi untuk pembelian pertama kali akan tetapi kandungan sedikit terhad untuk yang perlu membayar kos naik taraf, tambahan lagi jika untuk PS4 yang selain penceritaan dan kawasan baharu ia tidak membawa banyak perubahan yang lain.
Penafian: Kod permainan Ghost of Tsushima Director’s Cut disediakan oleh Sony Interactive Entertainment dan dimainkan di PlayStation 5.