Skip to main content

Jika ada satu permainan yang saya boleh anggap sebagai permainan dengan pengalaman yang penuh, Like a Dragon: Infinite Wealth adalah permainan tersebut. Kejayaan Ryu Ga Gotoku Studio untuk terus mengembangkan siri permainan yang sudah berumur 19 tahun dan merupakan permainan kelapan adalah satu yang harus dipuji. Ini ditambah lagi mereka terus mengekalkan tatamain yang lebih kurang tetapi pada masa yang sama setiap permainan terasa segar. Like a Dragon: Infinite Wealth memperlihatkan bagaimana satu permainan yang besar, boleh dibahagikan kepada banyak bahagian, tidak kira bahagian yang penting ataupun bahagian sampingan, akan tetapi setiap bahagian ini hadir untuk membentuk satu permainan yang memberikan pengalaman yang penuh. Infinite Wealth meneruskan apa yang dilakukan di dalam Yakuza: Like a Dragon, mengembangkannya dengan baik dan terus membuktikan yang siri permainan ini akan terus bertapak di dalam industri dan mereka tidak kelihatan akan berhenti dalam masa terdekat ini.

Infinite Wealth meneruskan penceritaan Yakuza: Like a Dragon melalui penceritaan untuk Ichiban Kasuga selepas berlakunya pemecahan dua kumpulan Yakuza terbesar iaitu Tojo Clan dan Omi Alliance yang digelar sebagai “The Great Dissolution”. Ichiban bekerja di Hello Work dengan harapan untuk membantu bekas-bekas Yakuza yang kembali menjadi orang biasa mencari pekerjaan akan tetapi sukar kerana kehidupan silam mereka. Usaha Ichiban terganggu apabila satu kejadian berlaku yang mengakibatkan dia dipecat, dia kemudian pergi ke Hawaii selepas diberitahu yang dia mungkin dapat mencari ibunya yang dikatakan berada di sana. Pada masa yang sama Kazuma Kiryu, selepas kejadian di dalam Like a Dragon Gaiden: The Man Who Erased His Name turut berada di Hawaii atas arahan Daidoji Faction yang mula diperkenalkan di dalam Yakuza 6 dan dijelaskan secara lanjut di dalam Gaiden. Di Hawaii, Kazuma telah bersama dengan Ichiban untuk membantu dia mencari ibunya pada masa sama untuk melakukan objektif yang diberikan kepada Kazuma. Tanpa mereka sedari, pengembaraan mereka di Hawaii telah berkait dengan pelbagai organisasi di tempat itu dan juga di Jepun. Misi yang pada awalnya sekadar mencari orang, berubah menjadi satu misi untuk menyelamatkan bekas-bekas Yakuza daripada dipergunakan.

Di dalam ulasan untuk Gaiden saya menyukai yang siri ini beralih daripada penceritaan Yakuza kepada sesuatu yang lebih kepada perisikan, oleh itu saya boleh katakan sedikit kecewa apabila penceritaan Infinite Wealth masih lagi berkait dengan Yakuza terutama bercakap mengenai “The Second Great Dissolution”, tetapi pada masa yang sama ia masuk akal kerana agak sukar untuk secara terus beralih kepada sesuatu yang baharu, mungkin di permainan akan datang. Walaupun rungutan ini, saya masih menyukai penceritaan yang di bawa, ia bukan penceritaan terbaik tetapi masih lagi menarik terutama ia melibatkan ‘masa depan’ dan ‘masa lalu’ bagi siri ini. Seperti kebiasaan untuk penceritaan di dalam siri ini, setiap adegan disampaikan dengan begitu mendalam bagaikan menonton satu siri TV ataupun filem. Setiap watak dikembangkan dengan baik, memainkan peranan mereka dengan baik sebagai rakan ataupun lawan. Misteri, pengkhianatan dan kekesalan lama diselit dengan baik sekali di dalam penceritaan memberikan pengalaman yang memuaskan. Selain kisah masih lagi memfokuskan ‘Yakuza’, rungutan lain yang saya ada mengenai penceritaan adalah bagaimana Kazuma diselit di dalam penceritaan, ia terasa terlalu mendesak dan juga bagaimana Daidoji Faction yang sepatutnya satu organisasi yang penting terasa kurang berkesan dan hanya muncul beberapa kali sahaja yang bagi saya sedikit aneh.

Namun, kekurangan tersebut terasa sangat kecil kerana penceritaan keseluruhan terasa sangat besar, dan ini tidak mengejutkan kerana melibatkan dua watak utama di dalam siri ini, Ichiban dan Kazuma. Saya pada awalnya risau yang Kazuma akan terus sekadar menjadi ahli parti Ichiban sahaja, akan tetapi penceritaan berkembang dengan baik dan Ichiban serta Kazuma memainkan peranan mereka yang tersendiri secara berasingan. Ichiban lebih memfokuskan kepada Hawaii dan Kazuma lebih memfokuskan penceritaannya di Jepun. Pembahagian ini bukan sahaja membolehkan kedua-dua watak berkembang secara sendiri tetapi juga memberi peluang kepada Kazuma dan secara langsungnya pemain mengenang kembali kisah-kisah lama.

Pembahagian Ichiban dan Kazuma ini menjadikan Infinite Wealth seakan-akan dua permainan yang berbeza di dalam satu permainan. Lokasi berbeza, ahli kumpulan berbeza, perkara-perkara sampingan juga berbeza. Ichiban, selain daripada misi atau aktiviti sampingan juga diberikan tiga ‘permainan-mini’ yang saya anggap sebagai ‘koleksi permainan Nintendo’ iaitu Dondoko Island yang boleh dikatakan seperti Animal Crossing, Sicko Snap mengambil tatamain daripada Pokemon Snap dan Sujimon iaitu Pokemon. Saya katakan permainan-mini akan tetapi ia bukanlah mini, kerana anda boleh meluangkan belasan jam bermain permainan-permainan sampingan ini terutama Dondoko Island.

Manakala perkara sampingan yang diberikan kepada Kazuma lebih bersifat collectible akan tetapi saya boleh katakan ia adalah satu hadiah untuk pemain yang sudah mengikuti permainan ini buat 19 tahun yang lepas. Aktiviti yang dilakukan oleh Kazuma adalah ringkas sahaja dengan mengembara di Sotenbori dan Kamurocho dan mengenang kembali kejadian-kejadian yang pernah berlaku di kawasan tersebut yang berkait dengan Kazuma. Melakukan semua ini akan memberi penceritaan tambahan kepada Kazuma dengan bertemu dengan rakan-rakan lamanya. Oleh itu, saya boleh katakan bahagian ini akan menjadi sedikit janggal ataupun bosan jika anda tidak mempunyai pengalaman bermain permainan Yakuza yang sebelum ini.

Peralihan siri permainan kepada pertempuran mengikut turutan yang bermula di Yakuza: Like a Dragon dikembangkan lagi di dalam Infinite Wealth, dan perubahan yang dilakukan walaupun kecil tetapi menjadikan pertempuran lebih menarik. Antara perubahan yang saya sangat suka adalah saya boleh bergerak di satu kawasan sebelum melakukan serangan, melalui pergerakan ini saya boleh memastikan yang kombo. Ia juga memberi perasaan yang lebih aktif walaupun masih mengikut turutan. Pertempuran juga menjadi mudah jika Ichiban dan Kazuma mempunyai perhubungan yang lebih rapat dengan ahli pasukan, yang boleh dilakukan melalui pelbagai adegan serta dialog yang disertakan. Seperti yang saya katakan sebelum ini, peralihan daripada aksi kepada pertempuran mengikut turutan merupakan pilihan yang sangat baik untuk menjadikan siri ini lebih menarik.

Bercakap mengenai pertempuran, selain daripada melalukan misi utama ataupun misi sampingan, pertempuran juga hadir melalui aktiviti lain termasuk juga ‘dungeon’ yang disertakan sekali lagi, seperti Like a Dragon sebelum ini. Hawaii Hunt untuk Ichiban membolehkan Ichiban untuk memasuki bangunan yang mempunyai beberapa tingkap, dan bertempur melawan pelbagai jenis penjahat. Ia cara yang baik untuk meningkatkan tahap dan juga mendapat barangan-barangan untuk crafting. Kazuma juga mempunyai perkara yang sama di Jepun. Dengan adanya misi, dungeon ini pertempuran adalah banyak, oleh disebabkan itu saya merasakan yang Ryu Ga Gotoku Studio sepatutnya membuang pertempuran secara rawak di jalanan kerana ia membuatkan pengembaraan kurang menarik. Saya boleh menggunakan segway untuk mengembara dengan cepat, akan tetapi berbeza dengan bagaimana papan selaju digunakan di dalam Lost Judgment, menggunakan segway masih lagi akan memulakan pertempuran secara rawak yang bagi saya satu downgrade. Permainan sebelum ini ada menyertakan Hariti’s Amulet tetapi saya tidak pasti jika Infinite Wealth juga mempunyainya.

Like a Dragon: Infinite Wealth adalah satu bukti yang permainan boleh mengekalkan kebanyakan bahagian daripada permainan-permainan sebelum ini, tetapi pada masa yang sama membawa pengalaman baharu melalui penceritaan dan juga penambahan perkara yang boleh dilakukan. Infinite Wealth masih terasa seperti satu permainan Yakuza, tetapi pada masa sama memberikan perasaan satu permainan yang berlainan dengan pengalaman yang segar. Penceritaan masih tidak terlalu beralih daripada kisah Yakuza, tetapi masih lagi penceritaan yang berkualiti dan mendalam, kedua-dua watak utama memainkan watak mereka dengan baik dan berjaya menjadikan Infinite Wealth bagaikan dua permainan di dalam satu, ini dengan kata lain, Infinite Wealth adalah satu pengalaman yang lengkap untuk siri permainan ini.

Like a Dragon: Infinite Wealth
Like a Dragon: Infinite Wealth merupakan satu pengalaman yang lengkap dengan penceritaan yang berkualiti. Membawa dua watak Ichiban Kasuga dan Kazuma Kiryu di dalam satu permainan dilakukan dengan baik dan menjadikan ia dua permainan di dalam satu.
Positif
Penceritaan Yang Mendalam
Sistem Pertempuran Ditambah-Baik
Pelbagai Perkara Yang Boleh Dilakukan
Negatif
Kemasukan Kazuma Kiryu Terasa Mendesak
Pertempuran Rawak Masih Disertakan
9

Leave a Reply