Saya pada awalnya teragak-agak untuk menulis ataupun tidak ulasan bagi Like a Dragon Gaiden: The Man Who Erased His Name, atas sebab ia adalah satu permainan yang berada di satu kedudukan yang agak unik. Bagi saya, jika anda sudah mengikut siri permainan Like a Dragon ataupun dikenali sebagai Yakuza sebelum ini, Gaiden adalah permainan yang wajib dimainkan tanpa mengambil kira ulasan untunkya, berbeza pula bagi pemain yang tidak pernah mencuba siri permainan ini, Gaiden bukanlah permulaan yang baik walaupun jika menerima ulasan yang baik.
Oleh itu, saya akan memberikan dua fokus bagi ulasan ini, satu untuk permainan yang sudah mengikuti siri permainan ini dan satu lagi bagi pemain yang mungkin baru ingin mengenali siri ini. Seperti saya katakan di atas, jika anda sudah mengikut siri permainan ini, tiada sebab untuk anda tidak bermain permainan ini. Ia adalah satu permainan yang memberi ‘penamat’ dan ‘permulaan’ yang baik kepada watak Kazuma Kiryu. Pengakhiran wataknya sebelum ini terasa sedikit tergantung, ditambah lagi dengan apa yang berlaku di dalam Yakuza: Like a Dragon (Yakuza 7), saya inginkan penjelasan yang lebih dan Gaiden memberikannya dengan baik sekali.


Pada masa sama, Gaiden juga menjadi permulaan baharu kepada siri Like a Dragon ini, melalui permainan ketujuh, kita sedia maklum yang Ichiban Kasuga menjadi muka baharu bagi siri ini dengan ramai menganggap Kazuma Kiryu ‘pass the torch‘ kepada Ichiban Kasuga, akan tetapi di dalam Gaiden jelas yang penceritaan kisah mengenai Kazuma Kiryu masih tidak berakhir, bahkan menjadi permulaan baharu. Oleh itu, seperti yang diumumkan oleh Ryu Ga Gotoku Studio, Gaiden adalah perantara di antara Yakuza: Like a Dragon dan Like a Dragon: Infinite Wealth yang akan tiba pada tahun depan.
Dengan gembira saya boleh katakan permainan ini menjalankan tanggungjawab tersebut dengan sangat baik sekali. Ia memberi pengakhiran kepada kisah ‘Yakuza’ dan membawa kepada era baharu, dan selepas saya menghabiskan permainan ini, saya lebih teruja mengenai siri permainan ini berbanding sebelum ini, oleh disebabkan itu, bagi saya, peminat siri ini tidak perlu berfikir panjang lagi dan terus main permainan ini. Ia bukan sahaja padat dengan penceritaan baharu, tetapi menjadi rumusan kepada permainan-permainan yang tiba sebelum ini di dalam satu pakej yang sangat beremosi.


Bahagian lain bagi permainan ini, adalah seperti permainan-permainan Yakuza sebelum ini, pertempuran dan juga pengisian dunia terbuka yang memfokuskan kepada tiga kawasan iaitu Sotenbori, kawasan biasa sebelum ini, Isezaki Ijincho kawasan yang digunakan di dalam Yakuza 7 dan juga Castle iaitu kasino yang berada di atas kapal, selain menjadi tempat untuk penceritaan, ia juga kawasan yang mempunyai pelbagai aktiviti sampingan termasuk juga arena pertempuran.
Sebagai ‘Gaiden’ ataupun penceritaan sampingan di dalam bahasa Jepun, permainan ini boleh dikatakan paling pendek di antara permainan-permainan Yakuza. Bagi penceritaan utama, saya menghabiskannya dalam masa lebih kurang 9 jam, dan mengambil masa 15 jam untuk melakukan kebanyakan aktiviti sampingan yang ada. Saya merasakan ia mungkin mengambil 25 hingga 30 jam untuk melakukan kesemua perkara di dalam permainan ini. Permainan yang lebih kompak ini memberi lebih ruang untuk saya melakukan perkara-perkara sampingan yang kebanyakannya adalah menarik.


Antara aktiviti sampingan yang ada adalah seperti yang sudah biasa di dalam permainan ini, iaitu Karaoke, Pocket Circuit, Cabaret dan juga seperti saya katakan sebelum ini Arena Pertempuran. Watak baharu Akame juga diperkenalkan yang akan memberikan Kiryu pelbagai misi sampingan dan juga sumber utama wang di dalam permainan ini.
Bagi pertempuran pula, berbanding meneruskan penukaran yang dilakukan di dalam Yakuza: Like a Dragon iaitu pertempuran mengikut turutan, permainan ini kembali menggunakan sistem pertempuran aksi yang digunakan oleh permainan-permainan sebelum ini. Walaupun di dalam permainan ini, pertempuran terasa lebih menarik akan tetapi saya boleh katakan yang keputusan untuk menukar kepada pertempuran mengikut turutan masih lagi keputusan yang baik.



Permainan ini juga mempunyai grafik yang terbaik bagi siri permainan ini, segala bahagian permainan terutama adegan kelihatan sangat berkualiti memberi nilai tambah kepada keseluruhan pengalaman permainan dan juga penceritaan itu sendiri. Saya bermain di PC, walaupun dengan spesifikasi sederhana masih boleh bermain dengan baik tanpa sebarang masalah.
Jika anda baru sahaja ingin mengikuti siri permainan ini, yang saya sangat cadangkan anda lakukannya kerana siri Yakuza ataupun Like a Dragon selepas ini, adalah antara siri permainan yang terbaik pernah ada di dalam industri ini, tetapi saya tidak mencadangkan untuk anda bermula dengan permainan ini. Walaupun ia melakukan kerja yang baik untuk melakukan imbas kembali bagi memastikan penceritaan difahami, termasuk juga bagi pemain baharu tetapi saya merasakan kesan emosi adalah lebih berkesan jika anda sekurang-kurangnya mengetahui sejarah hidup Kazuma Kiryu.


Jika anda ingin juga bermain permainan ini terlebih dahulu, kerana ia adalah permainan terbaru, saya cadangkan untuk anda sekurang-kurangnya mengetahui mengenai mengapa Kazuma Kiryu mengambil keputusan untuk membuang namanya, dan hubungan dia dengan Rumah Anak Yatim Morning Glory, permainan ini juga akan memperlihatkan penceritaan utama daripada permainan Yakuza 7, oleh itu ia akan menjadi beberan jika anda tidak bermain-nya lagi. Namun, penceritaan yang disampaikan di dalam permainan ini sahaja masih lagi menarik walaupun tanpa pengetahuan penceritaan yang lepas.
Akhir kata, Like a Dragon Gaiden: The Man Who Erased His Name adalah satu lagi permainan di dalam siri Yakuza/Like a Dragon yang wajib dimainkan oleh peminat untuk siri ini. Ia membawa bentuk penceritaan dan tatamain seperti permainan sebelum ini, tetapi masih mengekalkan magis yang menjadikannya menarik. Permainan ini walaupun adalah satu kisah sampingan, masih lagi penting untuk pengakhiran dan juga permulaan baharu. Walaupun, masih menarik untuk dimainkan tanpa pengetahuan mengenai penceritaan sebelum ini, saya sangat syorkan anda main terlebih dahulu permainan-permainan lain di dalam siri ini sebelum memulakan permainan ini.