Courture membawa satu kisah yang menarik, berlatarbelakangkan Minggu Fesyen Paris yang memukau namun penuh dengan keresahan, filem arahan Alice Winocour menggandingkan dunia popular fesyen berprofil tinggi dengan kerapuhan emosi manusia. Filem ini membawa kisah tiga wanita berbeza yang laluannya bertembung dalam dunia haute couture yang penuh tekanan.

Fokus penceritaan, kita bertemu dengan Maxine, seorang pengarah dokumentari indie dari Amerika yang diupah untuk mengarahkan filem pendek seram gotik bagi pertunjukan pembukaan pentas peragaan. Di tengah-tengah kemelut perceraian yang rumit dan bebanan kewangan, kehidupannya yang selama ini teratur tiba-tiba hancur apabila dia menerima diagnosis kanser payudara.

Kisahnya bersilang dengan Ada, seorang pelajar farmasi berusia lapan belas tahun dari Sudan Selatan yang dihumban ke dalam kancah pemodelan fesyen yang penuh dengan eksploitasi. Menerusinya, kita melihat bagaimana dia melayari dunia yang memandangnya bukan sekadar sebagai sumber inspirasi, tetapi juga sebagai sebuah komoditi yang dijadikan ‘hiasan’.

Penceritaan ini diperhatikan dan disampaikan oleh Angèle, seorang jurusolek veteran merangkap pencerita filem ini, yang menggunakan realiti pahit industri tersebut sebagai bahan bakar untuk menulis memoir fiksyennya, walaupun suaranya sering kali diperlekehkan oleh figura lelaki yang berkuasa.

Satu perkara yang saya sangat positif bagi filem ini, ia pastinya lakonan Angelina Jolie. Ini mungkin salah satu persembahan beliau yang paling intim, pedih, dan mendalam sepanjang kerjayanya. Kehilangannya gaya glamor atau kawalan yang biasa kita lihat pada beliau di skrin perak; di sini, beliau tampil lebih tenang, memendam rasa, dan sering dirakam dalam paparan jarak dekat yang berjaya menyampaikan emosinya dengan jelas.

Sejarah kehidupan sebenar Jolie, yang pernah menjalani pembedahan membuang payudara sebagai langkah pencegahan memberikan nafas yang begitu tulen kepada watak Maxine. Winocour juga sangat bijak kerana tidak hanya memaparkan Maxine melalui lensa penyakitnya semata-mata, sebaliknya mengangkat watak ini sebagai seorang pekerja kreatif yang degil dan mencari hubungan kemanusiaan. Hal ini diserlahkan dengan indah melalui keserasiannya yang rumit namun mesra bersama rakan sekerja dari Perancis, Anton, lakonan Louis Garrel.

Jolie berjaya menyampaikan ribuan makna tersirat hanya melalui renungan yang sunyi atau panggilan telefon yang tegang dengan anak perempuannya. Turut mencuri tumpuan ialah Anyier Anei dalam kemunculan sulungnya. Watak Ada pada saya adalah nadi kepada filem ini, memancarkan kekuatan dan ketabahan yang senyap dalam industri yang sentiasa mendambakan untuk menjadikannya sebagai komoditi dan kurangnya menjadi manusia.

Penyampaian tiga kisah dalam satu filem ini juga boleh dikatakan sebagai perkara bermasalah untuk filem ini. Dengan cuba mengimbangi krisis kesihatan Maxine, penampilan sulung Ada di pentas peragaan, dan perjuangan kreatif Angèle, pusat emosi filem ini adakalanya tersasar.

Saya merasakan setiap wanita ini mempunyai bebanan emosi yang cukup kuat untuk mengemudi filem mereka sendiri. Tambahan pula, walaupun peralihan antara jalan cerita kelihatan lancar secara visual sehingga memberikan filem ini sentuhan seakan dokumentari, ia kadangkala menyebabkan penceritaan kabur menjadi sekadar penyampaian secara selingan sahaja.

Ini sedikit sebanyak menghalang saya daripada membina perhubungan emosi yang lebih mendalam terhadap barisan pelakon pembantu. Terdapat juga beberapa babak yang terasa agak cetek; sebagai contoh, plot kecederaan pergelangan kaki yang dialami Ada secara tiba-tiba terasa seperti tidak membawa ke mana-mana.

Akhir kata, Couture cuba menyampaikan kisah tiga wanita yang berkait dengan dunia fesyen, setiap daripada mereka membawa kisah serta permasalahan sendiri. Sebahagian besar ia berjaya untuk dilakukan dengan baik, terutama lakonan Angelina Jolie yang sangat berkualiti tetapi secara keseluruhannya kisah terasa kurang berkembang termasuk juga watak-watak yang ada menyebabkan kesan emosi tidak setinggi seperti sepatutnya walaupun disampaikan dengan sangat indah.

Couture sedang ditayangkan di lokasi-lokasi terpilih GSC.

Couture
Filem ini menyampaikan kisah tiga wanita yang berkait dengan dunia fesyen, setiap daripada mereka membawa kisah serta permasalahan sendiri. Sebahagian besar ia berjaya untuk dilakukan dengan baik, terutama lakonan Angelina Jolie yang sangat berkualiti tetapi secara keseluruhannya kisah terasa kurang berkembang termasuk juga watak-watak yang ada menyebabkan kesan emosi tidak setinggi seperti sepatutnya.
Positif
Lakonan Ketiga-tiga watak utama
Penyampaian yang cantik
Negatif
Jalan cerita, permasalahan kurang dikembangkan
8

Leave a Reply

Final Score