Passenger merupakan filem seram terbaru yang diarahkan oleh André Øvredal yang sebelum ini mengarah filem seperti The Last Voyage of the Demeter. Ia satu filem yang memuaskan bagi aspek seram dan juga pembinaan mengenai hantu yang menjadi fokus utama bagi filem ini, tetapi satu perkara yang filem ini gagal untuk lakukan dengan baik adalah bagaimana ia ingin ditamatkan, bagaimana pelbagai kejadian seram ini akan berakhir.


Filem ini memfokuskan kepada Tyler (Jacob Scipio) dan tunangnya Maddie (Lou Llobell) yang hidup secara nomad dengan memandu RV sekitar Amerika Syarikat, semasa di dalam perjalanan tersebut terdapat satu kereta memandu secara berbahaya sehingga kemalangan. Mereka turun untuk membantu, tetapi selepas itu kejadian aneh mula berlaku bermula dengan terdapat tiga kesan cakar di kereta mereka. Walaupun sudah meneruskan perjalanan, mereka terutama Maddie masih terasa terdapat sesuatu yang mengikut mereka.
Perkara positif pertama yang dilakukan oleh filem ini adalah pembinaan dua watak Tyler dan Maddie ini, mereka pasangan kekasih yang biasa sahaja, tetapi diberikan lapisan tambahan dengan menjadikan Tyler mempunyai kehidupan waktu kecil yang terkongkong yang membuatkan dia ingin hidup secara nomad, manakala Maddie pula sering bertukar keluarga angkat pada waktu kecil yang membuatkan dia lebih menyukai untuk menetap di dalam satu tempat sahaja, tetapi sekadar mengikut kehendak Tyler tersebut.


Oleh itu, selain daripada kisah mengenai sesuatu yang mengikut mereka, ketegangan di antara kedua-dua watak, dengan perbezaan pendapat mengenai bagaimana mereka ingin membentuk keluarga bersama menjadi permasalahan tambahan kepada filem ini. Lakonan mereka juga boleh dipuji yang memberi impak emosi yang pelbagai.
Bagi hantu ataupun entiti yang menjadi permasalahan utama mereka untuk berdua ini, lebih kepada entiti yang melakukan serangan secara psikologi, dengan menakut-nakutkan mereka berdua, dengan sasaran untuk menghasilkan kemalangan. Ia juga diperlihatkan secara fizikal, dan melakukan serangan yang agak mengerikan. Bagi elemen ini saya boleh katakan ia memuaskan, saya merasai segala bahagian seram yang ingin disampaikan dan daripada babak ke babak seterusnya sering menggunakan cara yang berbeza.


Selain menggunakan cara rakaman jarak dekat yang sudah menjadi kebiasaan untuk filem seram, saya juga menyukai filem ini menggunakan rakaman jarak jauh, dan menggunakan kamera yang berpusing secara 360-darjah yang menjadikan elemen seram ini disampaikan dengan cara-cara berbeza, menjadikannya tidak membosankan dan sukar untuk dijangkakan.
Namun, pembinaan watak dan juga pembinaan bahagian seram yang baik tidak berjaya untuk ditutup dengan memuaskan. Filem ini cuba untuk membawa pembinaan dunia mengenai kaitan antara hantu yang menghantui orang-orang di dalam perjalanan dengan Saint Christopher, konsepnya menarik akan tetapi ia dilakukan dengan tergesa-gesa. Bahagian ini hanya dikembangkan di bahagian akhir filem sahaja yang membuatkan situasinya terasa menjadi tiba-tiba. Bagi saya jika dikembangkan lagi mengenai kultus Saint Christopher dengan dunia orang yang hidup secara nomad, ia boleh menjadikan filem yang lebih menarik.


Akhir kata, Passenger memberikan satu filem seram yang baik terutama untuk pembinaan dua watak utama dan juga cara adegan-adegan seram dilakukan, premis mengenai hantu dan juga kaitannya dengan Saint Christopher adalah menarik tetapi tidak digarap dengan baik sebaliknya ia hanya lebih dikembangkan di bahagian akhir membuatkannya terasa sedikit tergesa-gesa dan tidak memberi penutup yang memuaskan untuk filem ini.


