Skip to main content

Riot Games hari ini telah mengumumkan yang mereka telah membuang 530 pekerja ataupun 11% daripada jumlah keseluruhan pekerja mereka di dalam penstrukturan semula. Menurut Riot Games, untuk beberapa tahun yang lepas, mereka telah menambah pekerja lebih dua kali ganda, dan pengurangan ini adalah perlu untuk memastikan masa depan yang lebih mampan.

Dua perkara yang paling terkesan adalah Legends of Runeterra iaitu permainan kad digital berdasarkan dunia League of Legends (LoL) dan juga Riot Forge:

Legends of Runeterra (LoR) akan diteruskan, namun mereka akan lebih memberi fokus kepada The Path of Champions iaitu mod PvE yang diperkenalkan pada tahun 2021. Menurut Riot Games, pemain LoR meluangkan masa lebih lama bermain mod ini berbanding mod-mod lain termasuk juga PvP. Mereka akan berkongsi lanjut mengenai perubahan ini tidak lama lagi.

Bagi Riot Forge iaitu studio penerbitan oleh mereka yang bekerjasama dengan pembangun indie untuk hadir dengan permainan sampingan berdasarkan dunia LoL yang ditubuhkan pada tahun 2019 tidak lagi akan membangunkan permainan baharu dengan permainan terakhir ialah Bandle Tale: a League of Legends Story iaitu permainan ‘crafting RPG’ yang dibangunkan oleh Lazy Bear Games. Riot Forge telah hadir dengan 5 permainan sebelum ini.

Riot Games juga mengumumkan mereka akan memberi lebih fokus kepada permainan sedia ada iaitu League of Legends, VALORANT, Teamfight Tactics dan Wild Rift. Project L iaitu permainan pertempuran oleh mereka juga diteruskan dan akan dikongsi lanjut pada masa hadapan. Selain itu, mereka juga mengatakan akan mengambil strategi untuk mengintegrasikan esukan, muzik dan juga hiburan di dalam permainan-permainan mereka.

Pekerja-pekerja yang terkesan akan menerima pampasan gaji sekurang-kurangnya selama 6 bulan, bonus tambahan berdasarkan prestasi untuk tahun 2023 walaupun bagi yang baru menyertai, pekerja yang menerima healthcare akan terus menerima sehingga hari terakhir bekerja dan akan menerima bayaran tambahan berdasarkan bulan pampasan gaji yang diterima.

Leave a Reply