Skip to main content

Echo adalah siri MCU pertama di bawah Marvel Spotlight. Bermakna, adiwira dan watak di dalam siri ini tidak akan terlibat dengan ancaman tahap Avengers sebaliknya lebih kepada jenayah jalanan atau di dalam bandar. Dengan kata lain, Marvel Spotlight ini adalah pengganti francais Netflix Marvel untuk penceritaan yang lebih matang dan ganas.

Maya Lopez atau Echo dilakonkan oleh Alaqua Cox. Watak ini kali pertama muncul di dalam siri Hawkeye. Siri tersendiri Echo ini akan menekankan penggunaan bahasa isyarat Amerika ASL serta berlatarkan orang asli Amerika. Dalam artikel ini akan saya kongsi pengalaman menonton dan pendapat kenapa ini adalah siri TV MCU paling sempurna.


Apakah Kisahnya?

Selepas kejadian di dalam Hawkeye, di mana Maya Lopez menembak Wilson Wisk – dia terus dikejar oleh konco-konco Wisk. Suatu hari, Lopez kembali ke kampung halaman untuk bersembunyi tetapi terus mengimbau kembali kenangan kehidupan orang asli Amerika. Lopez yang selama ini berseorangan mula mempelajari erti keluarga dan komuniti.

Pengalaman Menonton

Terkejut! Saya tidak sangka yang ini adalah siri MCU. Jika anda rasa The Falcon and the Winter Soldier itu ganas, Echo ini berkali ganda ganas. Echo adalah siri TV MCU yang sepatutnya disiarkan semasa Disney+ dilancarkan. Jika Disney dan Marvel hadir dengan siri TV seperti Echo sejak awal lagi, peminat akan kekal setia dengan platform penstriman Disney+. Echo membawa penceritaan yang matang, aksi yang ganas atau jika saya ingin menarik perhatian orang ramai – Echo adalah The Boys yang ditapis sedikit.

Menonton Echo memberi pengalaman menonton siri Daredevil dan Jessica Jones. Peminat Netflix Marvel yang mahukan iterasi MCU, Marvel Spotlight ini jawapannya bermula dengan Echo. Siri ini tidak sesuai untuk penonton berusia bawah 16 tahun. Jika selama ini saya katakan The Boys adalah konsep adiwira di dunia sebenar, Echo pula adalah konsep adiwira MCU di dunia realiti yang banyak menggunakan elemen sebenar berbanding fiksyen.

Alaqua Cox adalah wanita yang pekak dan beliau juga adalah seorang dengan kaki yang kudung. Untuk seorang pelakon yang kurang upaya, Cox berjaya membawakan prestasi Maya Lopez yang sangat mantap. Beliau mampu membawakan emosi yang realistik, aksi yang membuatkan jantung penonton berdebar kencang serta rasa simpati. Aksi yang beliau bawakan juga memuaskan. Jika anda tidak suka Echo dalam Hawkeye, anda akan suka Echo dalam Echo.

Siri ini turut menekankan kehidupan komuniti orang asli Amerika. Bagaimana komuniti mereka masih bertahan sehingga ke hari ini serta turut menyampaikan kepada penonton serba sedikit sejarah mereka. Siri ini ingin mengembangkan dunia Marvel Cinematic Universe dengan pengenalan adiwira daripada pelbagai latar belakang.

Penampilan khas Daredevil oleh Charlie Cox dan Kingpin oleh Vincent D’Onofrio turut menjadikan siri ini lebih gempak. Sepanjang saya menonton kesemua episod, ia membuatkan saya teringat kepada francais Netflix Marvel. Ini adalah siri MCU yang saya mahukan, ini adalah siri MCU yang akan menjadi persediaan kepada orang ramai menyaksikan Deadpool 3 – filem MCU pertama dengan klasifikasi 18. Echo membuatkan saya berharap siri Daredevil: Born Again nanti boleh menjadi gempak dan ganas bukannya versi lembik seperti dalam She-Hulk.

Dengan Kevin Feige mengesahkan siri dan filem oleh Marvel Studios adalah garis masa sebenar iaitu Sacred Timeline, tetapi mesta lain seperti Agents of S.H.I.E.L.D, Luke Cage, Daredevil, Iron Fist dan lain-lain boleh berhubung dengan satu sama lain kerana MCU sudah ada konsep multimesta. Echo ini adalah sebuah siri pengenalan soft reboot Netflix Marvel yang sebenar.

Masa Depan Echo Dan Marvel Spotlight?

Echo adalah eksperimen Marvel untuk bersaing dengan The Boys. Kelebihan Echo adalah ia dilindungi dengan mesta MCU yang memberi harapan dan potensi untuk watak Echo muncul dalam filem pula suatu hari nanti. Pengenalan Marvel Spotlight adalah untuk MCU mempunyai kisah tersendiri yang lebih matang, sama seperti konsep Netflix Marvel – adiwira di dalam francais ini fokus kepada jenayah jalanan dan sekitar bandar sementara adiwira filem MCU fokus kepada ancaman tahap Avengers. Echo memberi harapan olahan semula Daredevil: Born Again boleh menjadi ganas dan suatu hari nanti Marvel Studios turut boleh hadir dengan filem R Rated atau 18 ke pawagam.

Treler acah berjudul Hurt untuk Echo ini mengacah yang siri Daredevil, Hawkeye dan Echo berkait dengan satu sama lain.

Kesimpulan

Jika anda adalah peminat Netflix Marvel seperti Daredevil, Jessica Jones, Iron Fist, Luke Cage, The Punisher dan Defenders – Echo adalah siri yang wajib ditonton. Siri ini tidak seperti siri MCU Disney+ yang lain kerana cuba menjadi yang tersendiri. Ia memang matang dan cukup ganas. Menonton Echo dan melihat Alaqua Cox membuatkan saya ingin belajar bahasa isyarat. Kini saya menantikan siri Marvel Spotlight lain yang mana tahu selepas ini boleh menjadi ganas sama tahap The Boys dan Gen V?

*Ulasan ini adalah berdasarkan akses awal yang Disney+ Hotstar Malaysia berikan. Echo akan disiarkan di platform ini bermula hari ini 10 Januari 2024. Platform ini boleh dilanggan pada harga RM54.90 untuk 3 bulan.

TONTON DI SINI – Disney+ Hotstar

Echo
Echo sepatutnya disiarkan semasa Disney+ kali pertama dilancarkan. Ia membawakan kembali vibe Marvel x Netflix dengan penceritaan yang matang serta akan yang ganas. Siri ini turut mengembalikan Kingpin serta Daredevil oleh Vincent D'Onofrio dan Charie Cox. Ia juga adalah siri pertama di bawah Marvel Spotlight.
Positif
Penceritaan yang sangat matang dan serius.
Adegan aksi yang ganas yang mantap dengan koreografi hebat.
Prestasi lakonan Alaqua Cox yang mengejutkan.
Vibe Marvel Netflix kembali.
Negatif
10

Leave a Reply

Final Score