Adakan anda seorang peminat sinema sebenar? Adakah anda juga peminat Christopher Nolan serta hanya menonton filem The Odyssey di layar IMAX sahaja? TGV kini menganjurkan satu pertandingan dengan hadiah yang akan membuatkan anda menjadi seorang paling “absolute cinema” jika memenanginya.

Pemenang akan menerima satu potongan filem The Odyssey dalam format IMAX 70mm lengkap dengan bingkai yang boleh dipamerkan. Untuk menyertai pertandingan ini, peserta perlu menonton The Odyssey di layar TGV IMAX. Setiap satu tiket adalah bersamaan satu penyertaan dengan anda juga wajib mempunyai keahlian MovieClub.
Malang sekali hanya tiket yang dibeli antara 22 Julai hingga 5 Ogos 2026 sahaja layak menyertai pertandingan ini. Jika anda menonton filem epik ini minggu lalu nasib tidak menyebelahi anda. Lokasi wayang terlibat dengan promosi ini ialah TGV IMAX KLCC, Sunway Pyramid, 1 Utama, Pavilion Damansara Heights, Central i-City, Pavilion Bukit Jalil, Sunway Velocity, Tebrau City, Gurney Paragon, dan Vivacity Kuching.


