Apple TV mengumumkan siri drama The Morning Show bakal ditamatkan menerusi musim kelima yang dijadualkan tayangannya pada tahun 2027. Siri yang dilancarkan sejak tahun 2019 ini diterajui oleh Reese Witherspoon dan Jennifer Aniston, yang turut bertindak sebagai penerbit eksekutif.

Musim terakhir ini menyaksikan penyertaan barisan pelakon baharu seperti Jeff Daniels, Reneé Rapp, Jesse Williams, Sean Hayes, dan Lizzy Caplan. Mereka menyertai pelakon sedia ada merangkumi Billy Crudup, Mark Duplass, Nestor Carbonell, Karen Pittman, Nicole Beharie, dan Jon Hamm.

Siri terbitan studio Media Res bersama Echo Films dan Hello Sunshine ini ditunjangi oleh Charlotte Stoudt sebagai showrunner dan penerbit eksekutif, manakala Mimi Leder bertindak selaku pengarah dan penerbit eksekutif. Penerbit eksekutif lain yang terlibat termasuk Michael Ellenberg, Lauren Neustadter, Kristin Hahn, Zander Lehmann, dan Micah Schraft. Menurut barisan penerbit, keputusan menamatkan siri ini pada musim kelima dirancang awal bagi memberikan pengakhiran naratif yang berstruktur untuk setiap watak.

Sebelum ini, musim keempat The Morning Show berlatarbelakangkan musim bunga tahun 2024 selepas penggabungan UBA-NBN. Musim tersebut menampilkan pelakon undangan seperti Aaron Pierre, William Jackson Harper, Boyd Holbrook, Marion Cotillard, dan Jeremy Irons.

Sepanjang penayangannya, siri ini merangkul pelbagai pencapaian industri termasuk Anugerah Emmy, Anugerah Actor, dan Critics Choice. Antara pengiktirafan utama yang diterima termasuk kemenangan Billy Crudup bagi watak Cory Ellison, serta Jennifer Aniston menerusi watak Alex Levy.

Apple TV ditawarkan pada harga RM29.90 sebulan dengan tempoh percubaan percuma selama tujuh hari untuk pelanggan baharu. Pelanggan yang membeli dan mengaktifkan peranti baharu seperti iPhone, iPad, Apple TV 4K, atau Mac layak menerima langganan percuma selama tiga bulan.

Leave a Reply