Perlukah Anda Melakukan Pra-Tempahan Permainan Video?

Sudah menjadi kebiasaan untuk penerbit-penerbit permainan video melakukan sesi pra-tempahan terlebih dahulu sebelum melancarkan permainan. Ia mungkin sebulan sebelum dilancarkan, ataupun setahun sebelum dilancarkan. Ada juga yang melakukan sesi pra-tempahan untuk permainan yang belum ada tarikh pelancaran, bagi penerbit, sesi pra-tempahan adalah penting untuk beberapa sebab seperti berikut:

Pra-Tempahan Membantu Untuk Menampung Kos Pembangunan

Membangunkan permainan video setiap tahun menjadi semakin mencabar dan semakin mahal dengan kebarangkalian untuk berjaya adalah rendah. Membangunkan permainan video itu sentiasa adalah satu ‘perjudian’. Kebiasaan penerbit mempunyai bajet tertentu untuk sesuatu permainan, dan jika ada keperluan untuk meningkatkan bajet, pra-tempahan adalah antara cara mereka dapat melakukannya. Bagi yang menerbitkan permainan secara kendiri pula, mereka tidak mempunyai lebihan wang yang banyak, oleh itu pra-tempahan serba sedikit dapat membantu mereka untuk menampung kos harian sebelum bersedia untuk melancarkan permainan tersebut. Namun, ada juga penerbit atau pembangun permainan yang mengeluarkan permainan secara akses awal ataupun melalui platform biayasama seperti Kickstarter berbanding melakukan pra-tempahan.

Pra-Tempahan Membantu Untuk Melakukan Unjuran Jualan

Selain pra-tempahan bermaksud yang tambahan tunai di dalam pembangunan, ia juga membantu penerbit untuk melakukan unjuran bagi jualan untuk permainan tersebut, terutama bagi minggu awal pelancaran. Sudah semestinya, ulasan permainan dan juga promosi tambahan adalah perkara lain yang memberi kesan akan tetapi pra-tempahan merupakan satu data yang baik. Bergantung kepada jumlah pra-tempahan dan jangkaan mereka untuk penerimaan sesuatu permainan penerbit mungkin akan menambah ataupun mengurangkan perbelanjaan untuk promosi sama ada bagi meningkatkan keuntungan ataupun mengurangkan kerugian. Secara amnya, pra-tempahan boleh menjadi penanda awal untuk populariti bagi sesuatu permainan.

Pra-Tempahan Membantu Untuk Mendapat Sokongan Daripada Penyedia Platform

Terdapat ratusan permainan yang dilancarkan di PlayStation Store, Xbox Store dan juga Steam setiap bulan, oleh itu persaingan untuk mencari pemain adalah sangat sengit. Sebab itu, penerbit-penerbit besar membelanjakan wang yang banyak untuk melakukan promosi, selain itu, sokongan daripada penyedia platform juga sangat membantu. Tidak semua permainan yang baru dilancarkan akan mendapat ruangan di muka depan Steam, ataupun gedung-gedung lain, bagi permainan yang mendapatnya, ia sangatlah membantu.

Salah satu perkara yang mendorong penyedia platform seperti PlayStation untuk PS Store, Valve untuk Steam meletakkan sesuatu permainan di depan adalah bergantung kepada populariti permainan tersebut dan kebarangkalian untuk ia terjual dengan baik, antara yang dapat memperlihatkan perkara ini adalah jumlah pra-tempahan. Jika sesuatu permainan mendapat pra-tempahan yang tinggi, kemungkinan untuk penyedia platform melakukan promosi tambahan bagi permainan tersebut adalah lebih besar.

Bagi pembelian permainan secara fizikal, pra-tempahan juga akan menentukan jumlah edaran sebelum pelancaran. Disebabkan kelebihan-kelebihan inilah pelbagai ganjaran telah diberikan kepada pemain yang melakukan pra-tempahan. Ini termasuklah barangan di dalam permainan, potongan harga, akses awal kepada permainan dan pelbagai lagi. Namun, bagi pemain perlukan anda melakukan pra-tempahan untuk mana-mana permainan video?

Jawapan yang ringkas adalah tidak.

Membeli sesuatu permainan secara pra-tempahan tidak memberi kesan yang besar kepada pemain, kecuali dapat bermain dengan lebih awal beberapa hari ataupun mendapat ganjaran tertentu, akan tetapi ia hadir dengan masalah tersendiri, contohnya tiada kepastian jika sesuatu permainan itu adalah seperti diiklankan, prestasi permainan juga masih tidak disahkan walaupun untuk permainan-permainan yang beberapa kali memperlihatkan ‘demo tatamain’. Contoh terdekat yang kita boleh ambil apabila melihat apa yang berlaku dengan Cyberpunk 2077. Permainan yang dinanti-nanti ramai, ulasan yang dikeluarkan pada awalnya juga adalah baik akan tetapi mempunyai pelbagai masalah sehinggakan permainan terpaksa dihentikan jualannya di PS Store. Cyberpunk 2077 mendapat lebih 8 juta pra-tempahan sebelum pelancaran.

Benar, pembeli kemudiannya boleh meminta bayaran balik akan tetapi ia masih mengambil masa dan bagi pengguna yang mempunyai bajet terhad untuk membeli permainan video, ia mungkin bermakna yang mereka tidak dapat membeli permainan lain buat seketika. Selain itu, permainan secara umumnya bukanlah sesuatu produk yang terhad, ia akan terus dikeluarkan, ataupun akan terus ditawarkan dijual secara digital, oleh itu tidak perlu untuk risau tidak dapat mendapatkan sesuatu permainan kerana ia akan terus ditawarkan melainkan untuk kes-kes yang tertentu.

Ada beberapa desakan yang mungkin memaksa untuk pemain melakukan pra-tempahan, contohnya mereka yang ingin mendapatkan permainan versi fizikal pada hari pelancaran, dengan kebanyakan kedai akan melakukan jualan secara terbuka keesokannya. Selain itu, ada juga yang ingin mendapatkan versi yang terhad seperti Collector’s Edition, sebab-sebab ini mungkin adalah masuk akal untuk melakukan pra-tempahan terutama bagi yang benar-benar meminati sesuatu permainan. Namun, harus diingatkan yang ia akan hadir dengan beberapa risiko. Seperti membangunkan permainan video satu perjudian, melakukan pra-tempahan juga boleh dikatakan perkara yang sama.

Sohor Kini