Apabila kita bercakap mengenai filem-filem adiwira, sudah semestinya menjadi penarik utama ialah watak adiwira itu sendiri, dan kebiasaan judul-judul filem ini akan menggunakan nama mereka seperti Iron Man, The Batman, Captain America, The Flash dan sebagainya. Ini adalah filem ini adalah mengenai mereka, oleh itu tidak mengejutkan fokus-nya adalah kepada mereka. Namun, selepas menonton hampir kesemua filem-filem adiwira tidak oleh Marvel ataupun DC, saya boleh rumuskan yang watak jahat sebenarnya memainkan peranan lebih penting di dalam sesuatu filem walaupun mungkin kita tahu yang mereka akhirnya akan tewas.

Adiwira Adalah Malar, Penjahat Berubah-Ubah

Sebab utama saya katakan watak penjahat adalah lebih penting kerana bagi saya watak adiwira tidak kira apa sahaja wataknya adalah malar, walaupun mereka mempunyai kuasa berlainan ataupun latar belakang berbeza, pada asasnya mereka masih satu watak yang sama dengan beberapa pengecualian apabila penceritaan membawa sesuatu yang unik tetapi sangat jarang. Manakala penjahat, benar mereka sekadar ingin melakukan kejahatan akan tetapi sebab mereka melakukannya adalah satu perkara yang sentiasa boleh diubah-ubah, motivasi yang baik akan menjadikan sesuatu watak jahat itu lebih menarik.

Waktu kecil, bahkan kadang-kadang juga sekarang, saya sering menonton Ultraman. Ultraman sudah semestinya watak yang menjadi tarikan utama akan tetapi wataknya adalah sama sahaja, cara menang kebiasaan juga adalah sama sahaja, tetapi apa yang membuatkan saya tertarik untuk terus menonton adalah watak-watak jahat berbeza yang datang. Benar, mereka akhirnya akan kalah tetapi watak penjahat inilah yang membawa kelainan daripada satu esok ke satu episod yang lain, perkara yang sama saya boleh katakan untuk filem adiwira.

The Dark Knight Terbaik Kerana Joker

Dikeluarkan lebih 15 tahun yang lepas, The Dark Knight oleh Christopher Nolan dan lakonan Christian Bale sebagai Batman dan Heath Ledger sebagai Joker, bagi saya masih lagi filem adiwira terbaik pernah dihasilkan. Sebabnya? Bukan kerana Christian Bale adalah seorang Batman yang baik, bahkan saya boleh katakan dia mungkin kebelakang jika ingin senaraikan pelakon Batman terbaik akan tetapi watak utama yang menjadi tulang belakang filem ini adalah Joker. Ia bukan sahaja kerana lakonan baik oleh Heath Ledger tetapi motivasi Joker itu sendiri sangat ringkas tetapi berkesan, dia sekadar ingin “watch the world burn“.

Seperti saya katakan motivasi Joker yang sekadar ingin mencabar ‘moral’ Batman dan memperlihatkan kepada semua yang mereka juga sekadar memakai topeng menjadi manusia baik adalah satu motivasi yang ringkas tetapi sangat berkesan untuk menggerakkan penceritaan. The Dark Knight tidak mempunyai banyak bahagian yang mengembangkan watak Batman ataupun Bruce Wayne, perkara itu dilakukan di dalam filem pertama yang secara sendiri filem paling lemah di dalam trilogi Christopher Nolan ini, dan filem ini tidak perlukannya untuk menjadi filem yang baik.

Perkara yang sama saya boleh katakan untuk Avengers: Infinity War dan Avengers: Endgame, benar kedua-dua filem membawa kesemua adiwira-adiwira Marvel di dalam satu filem, akan tetapi bagi saya watak Thanos itu sendiri selaku watak jahat utama di dalam filem ini yang menjadikan filem ini lebih baik dan tanpanya saya tidak merasakan ia akan menjadi filem sebaik seperti yang kita tonton sebelum ini. Oleh itu, tidak mengejutkan apabila era baharu MCU ini, mereka terus memperkenalkan watak jahat utama iaitu Kang, akan tetapi tampaknya perancangan tersebut perlu diubah selepas pemecatan Jonathan Majors.

Sudah Lama Tiada Watak Jahat Yang ‘Baik’

Selepas Endgame, kita melihat yang filem-filem adiwira sudah kurang mendapat sambutan, bahkan saya juga boleh katakan yang ia adalah kurang menarik. Sebab utama bagi saya adalah kerana filem-filem ini juga tidak mempunyai watak jahat yang menarik ataupun ironinya yang baik. Satu-satunya yang saya rasa sedikit berlainan adalah filem The Batman yang dikeluarkan pada tahun 2022, watak Riddler dan Penguin dihasilkan dengan baik, oleh itu tidak mengejutkan ia adalah filem adiwira terbaik sejak beberapa tahun yang lepas, satu lagi filem adiwira yang baik ialah Guardians of the Galaxy Vol. 3 yang dikeluarkan pada tahun lepas, dan salah satu sebabnya adalah watak jahat yang menarik iaitu The High Evolutionary lakonan Chukwudi Iwuji.

Manakala filem-filem adiwira yang lain tidak kira berjaya di box office ataupun tidak, kurang menjadi ingatan sebab utamanya adalah ia adalah sekadar ‘satu lagi filem adiwira’. Oleh itu, kepada mana-mana penghasil filem tidak kira DC ataupun MCU, ataupun penerbit tempatan yang ingin hadir dengan filem seperti Keluang Man perlu menekankan untuk tulis dan hadir dengan watak jahat yang berkualiti walaupun untuk sekadar hadir di dalam satu filem sahaja. Watak jahat inilah yang akan menjadikan mana-mana adiwira ataupun watak-watak lain berkesan.

Sohor Kini