Menonton Loki musim kedua membuatkan saya teringat kepada Secret Invasion. Cuma Secret Invasion bermula dengan penceritaan yang bagus, matang dan berakhir dengan episod yang mengecewakan tetapi Loki pula bertentangan dengannya di mana episod 1-4 sedikit bercelaru seakan tiada arah tuju sehingga saya katakan siri ini tidak cukup masa untuk MCU kembali bersinar – tetapi episod 5-6 menjadikan Loki antara siri MCU terbaik setakat ini.
Loki musim kedua meneruskan kisah Loki daripada musim pertama. Selepas Sylvie membunuh He Who Remains (HWR), Loki dicampak ke masa silam TVA di mana organisasi varians masa jelas dikawal oleh HWR. Loki turut mengalami masalah di mana Time Slipping berlaku pada diri dia yang secara rawak merentas ke pelbagai masa berbeza.
Misi utama Loki kali ini adalah memberi kesedaran kepada ahli TVA yang HWR adalah penjahat yang mengawal organisasi ini serta yang telah merampas kehidupan mereka. HWR turut dikatakan akan menyebabkan peperangan multimesta. Disebabkan peristiwa musim pertama, TVA kini hampir musnah menyebabkan Loki, Sylvie, Mobius, Ouroboros, B-15 dan Casey perlu menyelamatkannya dan mencari semula varians HWR.
Semasa menonton 4 episod pertama, saya hanya rasa episod pertama yang menarik dan mungkin ada potensi. Tetapi selepas episod kedua sehingga keempat ia menjadi semakin bercelaru dengan tiada antagonis utama, tiada penceritaan yang jelas dan perkembangan watak tidak berkembang. Penyampaian cerita tidak terkejar-kejar, yang mana itu adalah perkara positif. Cuma sudah hampir tamat siaran masih tidak kelihatan apa yang sepatutnya berlaku pada semua garis masa pada Temporal Loom, variasi Kang/HWR yang tidak memuaskan, serta tidak menerokai multimesta dengan lebih mendalam menjadikan siri ini kurang memuaskan.
Episod kelima mula mengembalikan sinar yang saya katakan MCU tidak akan dapat. Perkembangan watak Loki semakin menjadi dan semakin difahami dan masa hadapan Loki iaitu penamat kisah dia mula dirasai minit demi minit. Risiko sebenar, aksi yang dinantikan dan apa yang peminat mahukan hanya berlaku pada dua episod terakhir menjadikan empat episod awal itu seakan filler yang berlaku pada musim pertama episod tiga iaitu Lamentis.
Dua episod akhir ini jika dikembangkan dengan baik boleh menjadi filem solo Loki yang bagus dan menarik. Saya amat berpuas hati dengan dua episod akhir ini sehingga saya lupa apa yang telah saya tonton sebelumnya. Apa yang penulis dan pengarah cuba sampaikan jelas kelihatan dan impak kepada mesta Marvel Cinematic Universe ini memberi satu peluang baharu kepada studio untuk membaiki segala kesilapan mereka yang berlaku pada Fasa ke-4 sehingga sekarang.
Bermula dengan Glorious Purpose dan berakhir juga dengan Glorious Purpose, Loki lakonan Tom Hiddleston ini benar-benar menemui tujuan dia yang gemilang. Perkembangan watak dia adalah lebih kurang sama dengan Tony Stark iaitu seorang yang sombong dan mementingkan diri sendiri menjadi kepada adiwira yang sanggup mengorbankan nyawa sendiri demi nyawa orang lain yang dikasihi. Hiddleston benar-benar bersinar dalam musim baharu ini dan dengan beliau sendiri menjadi penerbit eksekutif beliau tahu bagaimana kerjaya bersama MCU selama 14 tahun dapat dirumuskan.
Watak lain yang membantu adalah Ouroboros lakonan Ke Huy Quan membawakan prestasi yang lucu dan cemerlang. Mobius lakonan Owen Wilson menjadi watak pembantu yang sangat bagus membimbing Loki ke jalan yang benar. B-15 yang dibawakan oleh Wunmi Mosaku walaupun bukan pemimpin rasmi TVA, tetapi dia ada potensi untuk mengendalikan TVA. Sophia Di Martino sebagai Sylvie iaitu variasi Loki kurang menyerlah dan pada saya jika dia tiada pun siri ini masih boleh berjalan kerana rasa sayang Loki kepada watak ini sudah cukup memberi semangat kepada diri dia untuk menjadi adiwira yang semua nantikan.
Saya tidak berpuas hati dengan watak Ravonna dan Miss Minutes lakonan Gugu Mbatha-Raw dan Tara Strong kerana pada saya ia tidak memuaskan. Kisah mereka tidak disampaikan dengan baik dan cara mereka dihubungkaitkan dengan HWR seakan tidak mencukupi. Rafael Casal sebagai X-5 menambahkan lagi elemen komedi siri ini, cuma kisah watak beliau sepatutnya dipendekkan lagi kerana terlampau banyak masa dihabiskan pada watak ini. Eugene Cordero yang menjadi Casey juga cukup lucu kerana menjadi seorang nerda TVA.
Jonathan Majors di dalam ini menjadi variasi HWR/Kang yang sama dalam komik iaitu Victor Timely seorang pencipta barangan elektronik unik. Dia menjadi seorang nerda yang gagap di mana beliau membawakan prestasi lakonan yang mantap cuma perkembangan variasi Timely ini tidak begitu menarik dan mengerikan. Kita sepatutnya disajikan dengan lebih kisah He Who Remain atau Kang yang pernah kita lihat dalam musim pertama atau dalam filem Ant-Man and the Wasp Quantamania.
Kualiti produksi bagi Loki masih sederhana, tetapi jauh lebih baik berbanding Secret Invasion. Saya suka runut bunyi yang digunakan, kesan visual yang dibawakan, kaedah suntingan dan juga koreografi aksi. Loki musim kedua memberi semangat kepada saya untuk kembali mempercayai MCU sama seperti ketika saya menonton WandaVision.
Kini dengan Loki yang telah menemui erti hidup dia yang sebenar dan seperti yang dijanjikan oleh Odin, Marvel Studios telah menetapkan masa hadapan baharu untuk Marvel Cinematic Universe. Pelbagai mesta lain boleh dibuka dan diperkenalkan kembali ke dalam MCU seperti yang Kevin Feige katakan sebelum ini Sacred Timeline adalah garis masa sebenar MCU dan siri TV/filem Marvel lain yang bukan di bawah Marvel Studios masih lagi berkait cuma berlaku pada mesta lain yang suatu hari nanti boleh merentas ke garis masa sebenar.
Jika pihak studio ingin mengolah semua MCU, ini juga peluang mereka yang baik untuk kembali semula berbincang mengembalikan semula watak Avengers dengan pelakon sama. Tom Hiddleston telah mengesahkan yang watak yang mati di dalam MCU boleh hidup semula, jadi filem-filem atau siri TV baharu nanti ada peluang untuk menjadi lebih baik dari sekarang.
Setakat ini, Marvel masih tiada perancangan untuk meneruskan watak Loki. Watak Jonathan Majors iaitu Kang the Conqueror turut dikatakan mungkin akan diolah semula dengan menggantikan masa hadapan kisah MCU tanpa watak ini. Marvel Studios punyalah tiada perancangan baharu untuk MCU sehinggakan filem untuk tahun 2024 ketika artikel ini ditulis masih satu sahaja iaitu Deadpool 3.
Apa-apa pun, peminat MCU dan Loki wajib menonton siri ini jika ingin tahu apa yang berlaku kepada dia. Saya amat berharap masa hadapan fasa kelima akan menjadi semakin baik sebelum memulakan fasa baharu. Tetapi saya rasakan dengan cara Marvel memaparkan episod akhir, ia sepatutnya menjadi penutup kepada fasa ini dan akan datang terus sahaja dengan fasa keenam – soft reboot.