Time Variance Authority atau TVA sekali lagi akan menjadi elemen penting dalam siri TV Loki. Untuk musim kedua, ia bersambung terus dari musim pertama yang mana Loki lakonan Tom Hiddleston kini di garis masa TVA yang berlainan dan perlu mencari jalan untuk menghentikan He Who Remains lakonan Jonathan Majors kerana ada ancaman variasi Kang lain bakal muncul selepas dia dibunuh oleh Sylvie lakonan Sophia Di Martino.

Dalam artikel ini akan saya kongsi sedikit pengalaman selepas menonton 4 episod dan pendapat mengenai siri ini sendiri serta masa hadapan MCU.
Loki musim kedua ini mempunyai cita-cita yang sangat tinggi untuk mempunyai ancaman tahap Avengers. Walau bagaimanapun kuasa Loki hanyalah magis dan bantuan ejen-ejen TVA yang boleh bermain dengan masa atau merentas ke multimesta lain.
Pada awalnya saya mempunyai harapan tinggi untuk siri TV ini kerana Loki sendiri adalah watak kegemaran saya. Siri ini dilihat mempunyai konsep penceritaan yang menarik di mana Loki yang terkenal sebagai antagonis dungu kini menjadi protagonis yang bakal menyelamatkan dunia. Adakah MCU cuba menjadi DC Universe, di mana watak antagonis dijadikan sebagai adiwira?

Walaupun pada awalnya nampak menarik, musim baharu Loki ini terlampau banyak bergantung kepada terma-terma dalam dunia TVA seperti Time Loom, Temporal, Time Slipping dan banyak lagi berkaitan dengan masa sehingga saya sendiri keliru dan sukar mengikuti tragedi yang sedang berlaku. Sepanjang empat episod pertama, ia memfokuskan aksi Loki mencari Sylvie kerana hanya dia sahaja yang tahu apa yang bakal berlaku selepas mencabut nyawa He Who Remains dalam episod lepas.

Musim kedua turut tidak menggunakan peluang untuk menerokai multimesta Marvel yang luas. Sebaliknya banyak melibatkan watak di garis masa tahun 1880-an, 1970-an dan 1980-an berbanding musim pertama yang banyak merentas ke planet-planet dan garis masa MCU lain. Siri ini turut dilihat seakan permainan video, di mana Loki hanya menjalankan misi berlainan di setiap episod. Ini adalah jalan selamat sama seperti beberapa filem Star Wars dan The Mandalorian.

Empat episod pertama seakan tiada apa-apa berlaku dan dengan baki dua episod untuk menyampaikan penamat siri ini membuatkan saya persoalkan, cukup ke masa Marvel untuk menamatkan siri ini dengan baik? Loki turut tiada perancangan untuk musim ketiga kerana disahkan akan tamat dengan episod keenam dengan cara yang terbuka.
Siri ini turut tidak mempunyai kualiti visual yang konsisten kerana kadangkala nampak elok, kadangkala kantoi CGInya. Walaupun begitu, prestasi lakonan setiap pelakon cukup hebat. Watak masing-masing menjadi sangat meyakinkan dan penuh emosi. Cuma emosi saya yang menjadi bercampur aduk kerana tidak pasti ingin suka atau benci akan siri ini.

Paling menarik pada saya adalah lakonan Ke Huy Quan sebagai Ouroboros atau OB yang sangat hebat dan melucukan. Saya amat suka watak ini dan dia adalah comic relief baharu yang menjadikan siri ini menarik. Miss Minutes lakonan Tara Strong dan Casey lakonan Eugene Cordero turut diberikan lebih masa skrin untuk bersinar.



Watak-watak Loki lain yang anda kenal dari musim pertama seperti Ravonna lakonan Gugu Mbatha-Raw, Mobius lakonan Owen Wilson, B-15 lakonan Wunmi Mosaku dan ramai lagi mempunyai gandingan hebat apabila dipadankan dengan Tom Hiddleston. Jonathan Majors kali ini membawa watak Victor Timely, iaitu variasi Kang yang lain dan beliau membawakan prestasi yang aneh dan sedikit menjengkelkan. Entah kenapa saya kurang suka dengan watak Timely ini.
Jelas di sini dengan baki dua episod sahaja lagi, Marvel akan terkejar-kejar untuk menamatkan siri ini. Dua episod dengan durasi sekitar 40 minit setiap satu pada saya tidak cukup untuk memberi kesimpulan yang memuaskan. TVA yang bermain masa seakan tidak memberi kesedaran kepada Marvel yang masa itu emas dan mereka perlu menghargainya jika ingin peminat kekal meminati kandungan mereka.
Loki musim kedua akan disiarkan pada 6 Oktober di Disney+ Hotstar, artikel ini adalah berdasarkan akses awal yang The Walt Disney Malaysia kepada Aksiz.