Skip to main content

Hari ini siri TV MCU Disney+ terbaru iaitu Secret Invasion tamat dengan episod keenam. Siri ini memfokuskan kepada watak Nick Fury menentang kumpulan Skrulls yang ingin mengambil-alih bumi sebagai tempat tinggal mereka. Siri ini diadaptasi dari komik dengan judul sama, tetapi memberi fokus kepada Nick Fury sebagai adiwira dan bukannya ahli-ahli Avengers yang semua kenali.

Siri ini sehingga hari ini menerima maklum balas yang bercampur dengan ada yang tidak suka kepada siri ini ada juga yang boleh menerimanya. Saya secara peribadi amat sukakan siri ini kerana membawa penceritaan yang lebih mendalam, serius dan kurang menggunakan elemen filem MCU yang sudah biasa dilihat sejak MCU diperkenalkan pada 15 tahun dahulu.


Pengalaman Menonton

Sebelum menonton saya tidak mengharapkan apa-apa yang mengejutkan pada Secret Invasion, akan tetapi siri ini mengambil masa 10 minit sahaja untuk menarik perhatian dan membuatkan saya khusyuk dan rasakan ini adalah siri TV MCU terbaik pernah saya tonton selepas WandaVision dan Moon Knight. Secret Invasion adalah drama yang serius, sedikit berat dan turut melibatkan elemen politik.

Siri TV ini telah mengingatkan saya kepada filem Black Widow dan juga siri The Falcon and the Winter Soldier, sementara kalau filem ia mengingatkan saya kepada Captain America and the Winter Soldier. Sebuah siri perisikan, penyiasatan, penganiayaan dan kerajaan yang tidak menghargai ejen-ejen rahsia mereka.

Beberapa aspek dalam dua episod pertama ini bukanlah sesuatu yang baru. Akan tetapi cara penulis dan pengarah cuba sampaikan cukup menjadi dan lancar. Saya amat menyukai dinamik watak Nick Fury lakonan Samuel L. Jackson dengan Talos serta Maria Hill lakonan Ben Mendelsohn dan Cobie Smulders. Gandingan mereka bertiga amat baik dan setiap aksi yang dilakukan cukup mendebarkan.

Aksi daripada Emilia Clarke yang menjadi G’iah iaitu Skrull dan anak kepada Talos juga menarik. Cuma watak ini mudah dibaca dan saya sudah boleh membuat jangkaan apakah nasib watak ini di episod akan datang. Gravik iaitu ketua Skrull jahat lakonan Kingsley Ben-Adir adalah watak yang mengejutkan di dalam siri ini. Beliau menjiwai watak ini dengan sangat baik memberikan seorang antagonis yang mengerikan berbeza dengan watak Ken dalam filem Barbie.

Siri ini turut tidak rasa terkejar-kejar seperti siri MCU lain, malah saya boleh faham kisahnya dan tertarik dengan bagaimana penulis boleh bermain dengan emosi penonton dalam durasi episod yang pendek. Contoh yang menjadi adalah adegan Varra/Priscilla Davis lakonan Charlayne Woodard bersama dengan Nick Fury, hanya dengan sajak sahaja saya boleh rasakan kehangatan cinta mereka berdua. Babak sedih yang tidak menjadi juga ada mengingatkan saya kepada Ajak mati dalam Eternals, di mana cara penyampaian begini masih tidak membina emosi pengguna untuk merasakan sesuatu.

Secret Invasion ini turut melibatkan ramai watak yang saya sudah kenal daripada filem-filem MCU sebelum ini tetapi masih mempunyai elemen yang mengejutkan. Pengalaman menonton saya setakat ini sama dengan dua episod pertama sebelum ini, di mana setiap kisah disajikan dengan aksi ganas yang menarik, drama yang mendalam dan penceritaan yang menambah ilmu pengetahuan penonton mengenai peristiwa-peristiwa dalam dunia MCU.

Satu perkara yang saya tidak suka dengan siri ini adalah kisah Kree yang memerangi Skrulls tidak dijelaskan dengan baik. Saya faham yang elemen Kree disimpan untuk dalam filem seperti akan datang Dar-Benn dalam filem The Marvels. Tetapi sekurang-kurangnya sampaikan sedikit kisah antara Kree dan Skrulls memberi fakta yang penonton masih tidak tahu untuk menerima konsep filem baharu nanti.

Bercakap mengenai The Marvels, Secret Invasion turut menjelaskan lagi apa itu S.A.B.E.R yang kali pertama didedahkan dalam Far From Home. Ia adalah stesen angkasa baharu yang diketuai oleh Nick Fury dan akan memainkan peranan penting dalam MCU nanti.

Turut jelas kelihatan dalam siri ini adalah bagaimana Marvel cuba memberi petanda betapa pentingnya watak Colonel Rhodes lakonan Don Cheadle yang kali ini penuh dengan tanda tanya. Saya pasti ia akan berkait dengan filem Armor Wars.

Kesimpulan

Saya tidak menafikan yang penceritaan Secret Invasion adalah perlahan dan ada kala rasa sedikit bosan. Walau bagaimanapun strategi penceritaan seperti ini adalah cubaan Marvel yang ingin bawakan kisah lebih ngeri yang tidak boleh disampaikan dalam filem. Jujur saya katakan saya tidak faham kenapa ramai pengkritik luar negara tidak sukakan siri ini. Terlebih komedi seperti Thor: Love and Thunder tidak boleh diterima dan terlebih serius juga tidak boleh diterima.

Pada hemat saya, perubahan seperti inilah yang memberikan pengalaman menonton baik untuk filem atau siri TV MCU. Ia menawarkan genre berbeza untuk penonton yang mungkin tidak menggemari projek MCU lain yang berwarna-warni.

Sedikit mengecewakan siri ini tamat dengan aksi perlawanan yang lucu kerana tidak kelihatan realisitik. CGI yang digunakan kelihatan aneh dan berakhir dengan aksi yang boleh dijangka. Walau bagaimanapun pujian boleh diberikan untuk twist di hujung episod yang memberi impak yang baik.

Secret Invasion yang tamat dengan enam episod ini ditamatkan dengan rasa yang baik tetapi tidak cukup memuaskan. Siri ini tidak terkejar-kejar dan boleh sampaikan cerita tanpa menanti-nantikan apa yang akan berlaku dalam filem atau siri TV lain. Turut jelas siri ini tamat untuk terus bersambung dengan filem The Marvels.

Secret Invasion
Sebuah siri pendek mengisahkan Nick Fury menentang Skrulls yang ingin menakluki bumi. Secret Invasion adalah siri TV dengan drama yang berat, rasa perlahan tetapi masih menarik dengan aksi gempak, prestasi lakonan mantap dan pengenalan kepada spesis asing yang lebih jelas. Satu kisah espionaj ngeri membuatkan kita terfikir "Bagaimana jika sekarang sudah ada makhuk asing hidup bersama kita?"
Positif
Prestasi lakonan yang hebat oleh semua pelakon.
Penceritaan espionaj yang menarik dan mengerikan.
Berjaya bermain dengan emosi walaupun episod terhad dan durasi pendek.
Negatif
Ada watak yang mudah dibaca nasibnya.
Elemen mengejutkan yang tidak memberi impak besar.
8

Leave a Reply