Pandang Pertama Samsung Galaxy Tab S9 FE+

Pada awal bulan lepas, Samsung telah mengumumkan penawaran baharu bagi tablet mereka dengan memperkenalkan Samsung Galaxy Tab S9 FE dan juga Samsung Galaxy Tab S9 FE+. Ia merupakan pilihan tablet dengan harga yang lebih mampu milik berbanding Samsung Galaxy Tab S9 yang tiba sebelum ini terutama jika dibandingkan dengan Galaxy Tab S9+ dan Galaxy Tab S9 Ultra.

Samsung telah menyediakan kami Samsung Galaxy Tab S9 FE+ untuk dicuba dan ulas, namun sebelum itu, kami ingin kongsi apa yang anda akan dapat daripada setiap pembelian Samsung Galaxy Tab S9 FE+ ini.

Di dalam kotak, selain tablet itu sendiri, ia juga menyertakan S Pen, serta kabel USB-C, namun tiada pengecas disertakan. Anda perlu melakukan pembelian secara berasingan ataupun menggunakan pengecas USB-C sedia ada.

Perbezaan utama di antara Samsung Galaxy Tab S9 FE dan Samsung Galaxy Tab S9 FE+ adalah saiz skrin dengan FE hadir dengan saiz skrin 10.9-inci manakala FE+ adalah 12.4-inci, secara langsungnya dengan saiz yang berbeza ia juga membawa kapasiti yang berlainan iaitu 8000 mAh dan 10090 mAh. Selain daripada itu, pilihan RAM juga berbeza iaitu 6GB atau 8GB untuk FE, 8GB atau 12GB untuk FE+.

Dengan ditawarkan dengan harga yang lebih murah berbanding Galaxy Tab S9, FE dan FE+ membuat beberapa pengorbanan. Pertama adalah cip pemprosesan, berbanding menggunakan Snapdragon 8 Gen 2 yang boleh dikatakan sebagai cip mercu, ia menggunakan Exynos 1380 iaitu cip yang digunakan di dalam Samsung Galaxy A54 5G iaitu cip kelas pertengahan.

Oleh itu, saya boleh katakan yang prestasi penggunaan berkemungkinan lebih kurang dengan A54 akan tetapi mungkin sedikit berbeza kerana saiz skrin yang lebih besar dan juga saiz RAM iaitu 12GB bagi model yang saya guna. Saya akan kongsikan mengenai prestasi tablet ini semasa ulasan penuh yang akan tiba tidak lama lagi.

Pengorbanan seterusnya adalah skrin, S9 menggunakan panel Dynamic AMOLED 2X dengan kadar segar semula sehingga 120Hz, manakala FE+ menggunakan IPS dengan kadar segar semula sehingga 90Hz sahaja.

Jika anda membaca ulasan saya sebelum ini, 120Hz tidak membawa pengalaman yang menyeluruh bagi permainan mudah alih kerana tidak banyak permainan yang menyokongnya. Manakala panel IPS, saya boleh katakan perbezaan kualiti diantara dua skrin adalah ketara jika diletakkan sebelah menyebelah, namun setakat penggunaan sekejap, skrin S9 FE+ masih mempunyai skrin yang memuaskan.

Model yang saya guna adalah Galaxy Tab S9 FE+ dengan storan 256GB dan 12GB RAM dan ditawarkan dengan harga RM3,099 ia juga hadir dengan pilihan 128GB storan dengan 8GB RAM yang ditawarkan dengan harga RM2,799. Ini adalah versi Wi-Fi dan anda boleh dapatkan versi 5G dengan tambahan harga RM600.

Ia hadir dengan 4 pilihan warna iaitu Mint, Lavender, Gray dan Silver – model yang saya guna adalah Gray. Anda boleh dapatkan maklumat lanjut mengenai tablet ini di laman rasmi Samsung dan nantikan ulasan penuh saya untuknya.

Sohor Kini