Samsung Galaxy A54 5G pada tahun ini menjadi penawaran telefon kelas pertengahan utama bagi Samsung dengan siri Galaxy A7 tampaknya tidak menerima sebarang model baharu setakat ini. Oleh itu, bagi yang mencari telefon pintar di dalam kelas ini, A54 adalah antara telefon yang perlu diletakkan di dalam senarai hajat.
Jika anda ingin tahu serba sedikit mengenai telefon ini, anda boleh bacanya melalui pandang pertama yang saya lakukan sebelum di pautan berikut – Pandang Pertama Samsung Galaxy A54 5G.

Melihat kepada spesifikasi, Galaxy A54 5G bukanlah telefon yang diisi dengan spesifikasi mercu tetapi ditawarkan dengan harga kelas pertengahan, sebaliknya A54 adalah telefon dengan spesifikasi pertengahan yang ditawarkan dengan harga kelas yang sama. Oleh itu, anda sudah boleh jangkakan apa yang boleh dilakukan oleh telefon ini, tanpa sebarang ‘kejutan’ ataupun lebih baik dari jangkakan.
Namun, ada beberapa bahagian telefon ini saya boleh katakan adalah sesuatu yang kita lihat di telefon kelas mercu, antaranya adalah paparan. A54 hadir dengan skrin bersaiz 6.4-inci, menggunakan panel Super AMOLED, resolusi 1080 x 2340, ~403 ppi dan kadar segar semula sehingga 120Hz. Kesemua ini adalah lebih rendah berbanding Samsung Galaxy A53 akan tetapi, secara amnya paparan yang disertakan adalah lebih baik terutama kerana menyertakan tahap keterangan yang lebih tinggi, dan akhirnya menyokong HDR10+.

Kualiti paparan yang disertakan memberikan pengalaman bermain permainan mudah alih dan juga menonton kandungan seperti filem dan siri TV ataupun sekadar menonton video-video di Youtube akan membuatkan saya lupa yang ini adalah telefon kelas pertengahan. Dengan peningkatan tahap keterangan yang lebih tinggi, A54 boleh digunakan di lebih banyak tempat termasuk juga di kawasan yang terang ataupun di bawah cahaya matahari.
Dengan menggunakan panel OLED, dan juga menyokong HDR10+ kandungan-kandungan yang menyokongnya akan kelihatan lebih baik yang sangat jelas diperlihatkan melalui kandungan-kandungan penstriman seperti di Netflix. Bercakap mengenai menonton kandungan ini, saya juga ingin menyentuh sedikit mengenai speaker yang disertakan di dalam A54 adalah mencukupi, saya tidak akan menggantikannya set fon dengannya tetapi apabila keadaan memerlukan, speaker memberikan satu servis yang baik.

Pengalaman bermain permainan mudah alih pula saya boleh katakan yang telefon ini kembali mengingatkan saya, ini adalah telefon kelas pertengahan sahaja. Telefon ini menggunakan cip pemprosesan Exynos 1380 yang merupakan versi lebih baik berbanding Exynos 1280 di A53 tetapi masih lagi merupakan cip pemprosesan kelas pertengahan sahaja.
Beberapa permainan yang berat seperti Genshin Impact, bahkan permainan kad seperti Marvel Snap juga tidak memberikan prestasi yang lancar, saya juga telah mencubanya di beberapa permainan lain seperti League of Legends: Wild Rift dan juga Asphalt 9.

Bagi Genshin Impact saya boleh katakan yang tetapan terbaik adalah High/60FPS, Lowest dan Low dengan kadar kelancaran 60FPS tidak memberikan perbezaan yang ketara kerana kesemuanya akan mempunyai kadar kelancaran yang sekitar 30-40FPS, dengan pengembaraan umum boleh mencapai 60FPS tetapi sangat jarang. Anda mungkin boleh memilih untuk menggunakan 30FPS, tetapi saya merasakan 60FPS adalah tetapan yang lebih baik.
Marvel Snap pula, tetapan terbaik untuk A54 bagi saya adalah Medium untuk grafik dengan kadar kelancaran 60FPS. Tetapan ini memberikan prestasi yang lebih lancar, berbanding grafik High. Saya masih boleh bermain tanpa sebarang masalah dengan High dan 60FPS, akan tetapi ada masa yang sesi permainan menjadi tersangkut-sangkut walaupun sekejap sahaja, namun masih sedikit menjengkelkan.

Bagi League of Legends: Wild Rift agak mengecewakan tetapan untuk kadar kelancaran melebih 60FPS tidak disertakan, kerana prestasi untuk 60FPS dengan tetapan grafik kebanyakan adalah High tidak mempunyai sebarang masalah. Apabila keadaan terlalu kelam kabut dengan ramai watak di satu tempat, kelancaran akan jatuh kepada sehingga 55 FPS. Oleh itu, dengan tetapan grafik yang lebih rendah, permainan ini tidak mempunyai sebarang masalah untuk mencapai 90 ataupun 120FPS.
A54 tidak mempunyai sebarang masalah untuk bermain Asphalt 9 dengan tetapan tertinggi – ‘High Quality’, sesi permainan adalah lancar tanpa sebarang gangguan tidak kira semasa sesi permainan ataupun semasa di bahagian menu utama. Asphalt 9 adalah satu permainan yang sudah lama dikeluarkan dan tidak mengejutkan dapat dimainkan dengan baik walaupun untuk telefon dengan spesifikasi pertengahan ini.

Bagi bateri pula, A54 masih mengekalkan kapasiti 5,000 mAH seperti A53 tetapi dengan cip baharu yang memberikan penjimatan bateri lebih baik, di atas kertas A54 akan memberikan ketahanan bateri yang lebih baik. Pada percubaan saya, prestasi adalah lebih kurang dengan lebih kurang 20% penggunaan bateri untuk sesi permainan Genshin Impact, dan lebih kurang 15% untuk permainan-permainan lain. Oleh itu, bateri adalah seperti yang dijangkakan untuk telefon ini, tanpa penambah-baikkan yang ketara berbanding model tahun lepas, terutama dengan penggunaan skrin yang memakan lebih banyak bateri.
Pengecasan pantas setakat 25W sahaja mungkin sedikit mengecewakan terutama dengan telefon-telefon kelas pertengahan lain mula menawarkan pengecasan yang lebih pantas. Secara amnya, A54 mengambil hampir 2 jam untuk pengecasan penuh daripada bateri sifar yang bagi saya adalah mencukupi dengan penggunaan saya, tetapi jika anda sentiasa bergerak, bank kuasa mungkin perlu disediakan. A54 juga tidak menyokong pengecasan nirwayar, bukan kelebihan yang saya perlukan oleh itu tidak sangat menjejaskan pengalaman saya.

Bergantung kepada jenis permainan, saya boleh katakan yang A54 akan menjadi agak panas selepas sesi permainan yang lama. Terutama untuk permainan seperti Genshin Impact, ataupun permainan yang anda akan gunakan dengan tetapan yang tinggi. Ia tidak akan menjadi terlalu panas sehingga tidak selesa untuk dipegang, akan tetapi anda akan merasa haba di tangan terutama bahagian skrin dan juga bahagian sisi telefon. Penggunaan semasa pengecasan, terutama untuk bermain permainan mudah alih sangat tidak digalakkan.
Kesimpulannya, Samsung Galaxy A54 5G adalah satu telefon kelas pertengahan yang tidak sangat pergi melebihi kelasnya. Prestasi dan pengalaman penggunaan adalah seperti dijangkakan untuk telefon dengan kelas dan juga harga ini. Sesuatu yang membuatkan telefon ini sedikit di atas berbanding telefon-telefon pertengahan lain adalah kualiti paparan yang disertakan yang bagi saya satu-satunya spesifikasi yang berada di luar kelas pertengahan.

Kebanyakan permainan mudah alih boleh dimainkan tanpa sebarang masalah, tetapi tidak boleh mengharapkan prestasi yang tinggi. Walaupun mempunyai sokongan kadar segar semula sehingga 120Hz, namun saya tidak merasakan permainan-permainan utama akan menyokong kadar kelancaran setinggi itu, oleh itu kadar segar semula tersebut hanya memberikan pengalaman untuk penggunaan umum sahaja.
Seperti biasa jika anda ingin ulasan mengenai Samsung Galaxy A54 5G yang lebih menyeruluh anda boleh layari Amanz melalui pautan berikut; Ulasan : Samsung Galaxy A54 Ialah Alternatif Galaxy S23 Yang Jauh Lebih Mampu Milik ataupun dengan menonton video di bawah.
Samsung Galaxy A54 5G ditawarkan dengan harga RM1,899 dan mempunyai 4 pilihan warna iaitu Awesome Violet, Aweseom Graphite, Awesome Silver dan Awesome Lime.
Setiap pembelian juga hadir dengan 2 tahun waranti secara percuma dan sokongan kemaskini sekuriti sekurang-kurangnya selama 5 tahun dan sistem operasi untuk 4 generasi.
Anda juga boleh menggunakan kod khas AMGA34545G bagi mendapatkan aksesori 35W PD Power Adapter Duo yang bernilai RM 99 secara percuma apabila membeli Galaxy A34 | A54 di laman rasmi Samsung. Untuk maklumat lanjut mengenai produk dan promosi menarik mengenai Samsung, sila layari laman web rasmi mereka.
Fotografi oleh Khairunisa Aqilah untuk Aksiz