Skip to main content

Jika kita bercakap mengenai platform permainan video, usual suspect yang kita boleh katakan adalah PC, konsol seperti PlayStation, Xbox, Nintendo Switch dan juga telefon pintar. Satu lagi platform yang mungkin ramai terlepas pandang adalah tablet. Oleh itu, melalui artikel untuk ulasan Samsung Tab S9 Ultra ini, saya akan memberi fokus kepada sama ada tablet ini adalah satu platform yang baik untuk bermain permainan video, terutama permainan mudah alih dan juga sebagai platform untuk tonton kandungan hiburan.

Unboxing

Spesifikasi

Samsung Galaxy Tab S9 Ultra
Skrin14.6-inci, Dynamic AMOLED 2X (120Hz), 1848 x 2960
PemprosesQualcomm Snapdragon 8 Gen 2
RAM12GB
Storan256GB (sokongan mikroSD sehingga 1TB)
Bateri11,200mAh (45W)
HargaRM5,999

Skrin

Perkara pertama yang saya ingin cakapkan mengenai Samsung Galaxy Tab S9 Ultra ini adalah skrin yang bukan sahaja bersaiz besar iaitu 14.6-inci, ia juga adalah satu skrin yang sangat berkualiti tinggi dengan menggunakan antara panel terbaik oleh Samsung. Pengeluaran warna bagi skrin ini adalah sangat baik, sudah menjadi kebiasaan untuk skrin Samsung, ia mempunyai warna terang tetapi pada masa sama boleh juga ditetapkan untuk kelihatan lebih semula jadi.

Setiap permainan yang saya cuba dipaparkan dengan baik sekali tidak kira permainan yang berwarna terang seperti Honkai: Star Rail ataupun permainan yang lebih gelap seperti Diablo Immortal, kedua-dua permainan memberi pengalaman seperti yang diinginkan untuk dua permainan tersebut. Paparan yang berkualiti tinggi ini juga membuatkan tablet ini menjadi platform utama untuk saya bermain permainan secara penstriman seperti GeForce Now dan PlayStation Remote.

Selain untuk bermain permainan video, paparan ini juga memberikan pengalaman yang memuaskan semasa menonton kandungan hiburan. Platfrom yang menyokong HDR seperti YouTube dan Netflix benar-benar menggunakan kelebihan yang di bawa oleh skrin ini untuk memberikan paparan yang terbaik. Sejak menggunakan tablet ini, saya boleh katakan yang 70% sesi menonton kandungan adalah menggunakan tablet ini sahaja, walaupun saya mempunyai TV dan juga PC di rumah.

Skrin tablet ini juga menyokong kadar segar semula 120Hz yang memberikan pengalaman penggunaan yang sangat lancar, akan tetapi buat masa ini masih tidak banyak permainan yang menggunakan kadar kelancaran melebihi 60FPS. Permainan yang sepatutnya menyokong 120FPS seperti Honkai: Star Rail dan Genshin Impact masih lagi tidak menawarkan kadar kelancaran tersebut di peranti Android. Oleh itu, selain untuk penggunaan umum, sokongan 120Hz ini masih tidak digunakan secara sepenuhnya.

Prestasi

Bagi permainan, sepanjang lebih sebulan saya menggunakan tablet ini saya telah mencuba lebih kurang 9 permainan seperti Honkai: Star Rail, Genshin Impact, Diablo Immortal, Marvel Snap, FIFA Mobile, Oxenfree 2, TMNT: Shredder’s Revenge, Shovel Knight Pocket Dungeon dan juga Call of Duty Mobile.

Daripada kesemua permainan ini, saya boleh katakan yang setiapnya boleh menggunakan tetapan yang tertinggi untuk setiap permainan, dengan pengecualian untuk dua permainan iaitu Genshin Impact, yang saya perlu mengurangkan tetapan kepada Medium untuk mendapat kelancaran 60FPS yang paling kurang stuttering, namun jika anda memilih untuk menggunakan tetapan tertinggi, ia masih boleh dimainkan dengan baik.

Seterusnya adalah Call of Duty, akan tetapi ini adalah masalah yang ditetapkan oleh pembangun permainan ini sendiri. Jika saya ingin menggunakan tetapan Frame Rate, Ultra saya hanya dapat menggunakan tetapan grafik Low sahaja dengan tetapan lebih tinggi tidak langsung boleh dipilih, sekurang-kurangnya tanpa perisian tambahan. Ia mengecewakan kerana saya merasakan yang Samsung Galaxy Tab S9 Ultra berkeupayaan untuk menggunakan grafik yang lebih tinggi.

Perkakasan

Samsung Tab S9 Ultra mempunyai skrin bersaiz besar, seperti yang saya nyatakan di atas dan ia adalah satu kelebihan untuk tablet ini kerana dapat memaparkan lebih banyak perkara, namun ia juga adalah satu kekurangan terutama bagi pengalaman bermain permainan mudah alih. Kebiasaannya apabila menggunakan telefon pintar ataupun tablet yang lebih kecil, mengawal menggunakan jari dengan skrin sesentuh tidak menjadi masalah, tetapi untuk tablet ini ia menjadi tidak selesa selepas satu jangka masa yang pendek.

Terdapat tiga cara lain untuk mengawalnya akan tetapi setiapnya mempunyai kekurangan tersendiri. Cara pertama adalah dengan meletakkan tablet di atas permukaan dan mengawalnya menggunakan jari dan skrin sesentuh, ia akan menjadi lebih selesa berbanding memegang tablet ini akan tetapi semasa percubaan saya, tidak semua permainan selesa menggunakan cara ini.

Cara kedua dan terbaik bagi saya adalah menggunakan alat kawalan terutama dengan Android dan secara langsungnya tablet ini, menyokong kebanyakan alat kawalan seperti DualSense ataupun alat kawalan Xbox. Walaupun ia terbaik, akan tetapi tidak semua permainan menyokong alat kawalan, bagi permainan kompetitif, ia masuk akal jika tidak ingin menyokong alat awalan akan tetapi ada juga permainan solo yang tidak menyokongnya yang membuatkan pengalaman menggunakan alat kawalan tidak menentu. Bagi penggunaan alat kawalan, saya menyukai penawaran permainan oleh Netflix yang kebanyakan permainan mereka menyokong alat kawalan dan mereka juga akan memberitahu secara terus. Sesuatu yang saya rasakan harus diikuti oleh Google Play dan Samsung Galaxy Store.

Dengan setiap pembelian Samsung Galaxy Tab S9, di dalam kotak akan disertakan bersama dengan papan kekunci yang boleh disambung terus ke tablet menjadikannya seakan-seakan laptop. Namun, mengecewakan lagi, saya tidak menjumpai mana-mana permainan yang menyokong kawalan menggunakan papan kekunci. Di dalam percubaan saya, hanya Honkai: Star Rail yang boleh di-menggunakan papan kekunci dan tetikus akan tetapi cara untuk membolehkannya adalah kurang baik kerana anda perlu membuka alat kawalan terlebih dahulu tidak kira Xbox ataupun DualSense sebelum dapat menggunakan papan kekunci dan tetikus. Jika anda tidak menyambungnya dengan alat kawalan, pilihan untuk menggunakannya tidak akan disertakan.

Bateri

Dengan kapasiti bateri 11,200 mAh, Samsung Galaxy Tab S9 Ultra mempunyai bateri yang mencukupi untuk bertahan selama beberapa hari, bagi penggunaan biasa. Semasa saya menggunakannya sebagai laptop, melakukan kerja, melayari internet, mendengar lagu dan juga menonton beberapa siri TV atau filem, saya boleh menggunakannya untuk tiga hari dengan separuh hari ketiga ia perlu dicas.

Manakala untuk sesi permainan video, bagi permainan seperti Honkai: Star Rail, Genshin Impact, dan juga Diablo Immortal, ia menggunakan lebih kurang 20% bateri untuk sesi permainan selama sejam. Oleh itu, jika anda merancang untuk bermain sepanjang hari, ia tidak akan bertahan sepenuhnya dan perlu dicas sebelum hari berakhir.

Namun, dengan menyokong pengecasan pantas 45W, ia boleh dicas dari sifar lebih kurang 2 jam yang bagi saya adalah cukup baik tetapi sudah semestinya terasa kerugian kerana kebanyakan peranti sekarang menyokong pengecasan yang lebih tinggi, tambahan lagi palang kuasa tidak disertakan bersama di dalam kotak, oleh itu ia memerlukan pembelian secara berasingan ataupun menggunakan palang kuasa daripada peranti lain.

Lain-Lain

Dua lagi perkara yang saya ingin sentuh mengenai Samsung Galaxy Tab S9 Ultra ini adalah speaker yang bagi saya adalah cukup baik untuk sesi saya menonton filem ataupun siri TV, dan juga sekadar mendengar lagu. Menonton kandungan di Netflix ataupun di platform penstriman lain, ada masa saya tidak perlu membuka sari kata kerana suara dapat didengari dengan jelas. Ia juga berbunyi sangat kuat di tahap yang tinggi akan tetapi akan memberi kesan kepada kualiti audio tersebut.

Seterunya adalah Samsung DeX iaitu satu fungsi yang disertakan di kebanyakan peranti Samsung. Melaluinya, ia akan menjadikan antaramuka tablet ini seperti satu laptop bersesuaian dengan penggunaan bersama dengan papan kekunci dan juga trackpad. Sesetengah permainan seperti Marvel Snap juga boleh dimainkan dengan lebih baik di DeX berbanding tanpanya.

Rumusan

Samsung Galaxy Tab S9 Ultra adalah satu platform yang baik untuk dijadikan sebagai tempat saya bermain permainan mudah alih, bermain permainan secara penstriman, dan juga tempat untuk menonton kandungan hiburan. Terutama kerana tablet ini menyertakan paparan, ketahanan bateri dan juga pembesar suara yang baik. Perkara yang mengecewakan adalah Android secara umumnya masih tidak mempunyai sokongan yang baik bagi permainan-permainan yang ingin dimainkan dengan cara yang bukan tradisional untuk permainan mudah alih. Jika permainan-permainan di Android mempunyai sokongan yang lebih baik bagi kawalan menggunakan alat kawalan ataupun papan kekunci dan tetikus, ia akan memberikan pengalaman yang lebih baik.

Leave a Reply