Selepas musim pertama disiarkan di Prime Video pada tahun 2021, aku terus mengikuti perkembangan siri animasi Invincible yang diadaptasi daripada komik dengan judul sama oleh Robert Kirkman ini. Siri ini merupakan kisah adiwira yang menarik kerana mempunyai penceritaan yang lebih matang dengan aksi ngeri yang mengejutkan. Kini dengan musim kedua bahagian pertama telah dikeluarkan, sekali lagi Invincible membuktikan diri yang francais yang mantap dan boleh bersaing dengan siri animasi Marvel atau DC.
Kisah kali ini bersambung terus daripada musim pertama. Mark Grayson kini seorang pelajar kolej tetapi masih dalam kesengsaraan daripada mengetahui bapa dia, Nolan iaitu Omni-Man adalah makhluk paling kejam. Dalam membuktikan kepada diri sendiri dan dunia dia tidak akan menjadi seperti Omni-Man, Mark Grayson atau Invincible terpaksa bertempur dengan musuh baharu yang ada kuasa membuka pintu ke multimesta dalam pada masa yang sama mungkin dia telah menjadi Omni-Man tanpa disedari.
Aku agak kecewa sebenarnya yang Prime Video hanya akan menyiarkan empat episod bermula November ini dan kemudian perlu tunggu awal 2024 untuk menyaksikan empat episod terakhir. Walaupun begitu, aku masih sukakan penceritaan musim kedua ini. Ia lebih lancar dan matang serta lebih memfokuskan kepada perkembangan watak.
Setakat empat episod pertama ini, watak Mark Grayson disampaikan dengan lebih mendalam serta turut menceritakan kisah keluarga Atom Eve. Musim kedua bahagian pertama ini turut menceritakan kisah Guardians of the Globe dengan adiwira mudah yang masih tidak memahami risiko di dunia sebenar.
Dalam bahagian pertama yang mempunyai empat episod sahaja, turut diselitkan adalah kisah Allen the Alien yang siri ini seakan mengacah watak ini akan memainkan peranan penting dalam episod di masa akan datang. Walaupun begitu, setiap kisah masih tidak rasa seakan terkejar-kejar dan saya tidak ada masalah menikmati pelbagai kisah dalam tempoh sekitar 160 minit.
Pada hemat aku, musim baharu Invincible adalah siri animasi adiwira terbaik yang pernah dihasilkan. Pertama adalah aku merupakan peminat baharu yang masih sempat mengikuti perkembangan siri ini berbanding siri Marvel dan DC yang sudah ada banyak musim dan masa hadapan yang entah ke mana. Invincible seakan memberi keyakinan kepada pengguna, ia akan kekal lama di platform penstriman untuk menyajikan peminat siri adiwira satu pengalaman menonton dengan perspektif yang segar.
Selain mempunyai aksi ganas dan ngeri seakan siri The Boys yang turut ada pada Prime Video, aku turut sukakan konsep siri animasi ini yang cuba menjadi realistik walaupun dengan format animasi sahaja. Kualiti animasi pula adalah seakan anime dengan mempunyai warna yang baik, pergerakan aksi yang mantap serta dipadankan pula dengan runut bunyi yang gempak.
Invincible dikatakan akan diteruskan sehingga lapan musim. Selain turut telah mempunyai episod prekuel khas memfokuskan watak Atom Eve. Prime Video turut sedang membangunkan filem aksi nyata Invincible dengan Steven Yeun kekal sebagai Mark Grayson/Invincible. Sementara menantikan kemunculan filem aksi nyata dan siri animasi musim baharu, watak Invincible telah pun diperkenalkan dalam medium lain seperti permainan video Fall Guys dan juga Mortal Kombat 1.
Sehingga hari ini jika bercakap mengenai siri animasi adiwira terbaik, aku akan katakan DC adalah pilihan aku. Kisah Justice League, Batman, The Flash dan Young Justice disampaikan dengan cukup baik. Sukar untuk aku memilih Marvel kerana sehingga hari ini masih terhad dengan What If…? kerana yang lain masih dalam pembangunan.
Kemunculan Invincible yang juga diadaptasi daripada komik dengan judul sama adalah cabaran baharu kepada DC dan Marvel. Mungkin peminat masih tidak ramai kerana menyasarkan pengguna matang atau pun yang sudah dewasa. Siri animasi ini adalah untuk mereka yang mahukan penceritaan adiwira yang realistik, lebih gelap, serta yang inginkan aksi ganas yang ngeri dan menjijikkan seakan The Boys.
Invincible mempunyai potensi yang banyak dengan penceritaan yang lancar serta kisah yang membawa tauladan kepada seorang yang ingin menggelar dirinya sebagai adiwira. Ia juga baru mempunyai dua musim dan masih boleh untuk maratonton kesemuanya serta mengikuti perkembangan IP siri adiwira ini. Aku tidak sabar untuk menyaksikan episod 5 sehingga 8 yang akan tiba awal tahun 2024.
*Ulasan ini adalah berdasarkan akses awal yang Prime Video berikan. Invincible Musim 2 akan tiba di Prime Video 3 November ini