Invincible adalah siri animasi yang ganas dan ngeri, bayangkan The Boys tetapi kurang jijik. Watak utama dalam siri ini adalah Mark Grayson/Invincible (Steven Yeun) dan Omni-Man (J.K. Simmons) dan selepas musim pertama siri ini akan kembali untuk musim kedua serta berpotensi untuk bersambung sehingga musim kelapan.
Baru-baru ini Prime Video telah berkongsi kepada kami imej-imej untuk musim kedua dan ia memperlihatkan watak Angstrom Levy yang akan disuarakan oleh Sterling K Brown.
Angstrom Levy adalah seakan Kang The Conqueror yang mana mempunyai kemampuan membuka portal di dunia multimesta lain dan ingin mencari variasi dia yang berlainan bagi menyerap segala pengetahuan dan menjadi satu.
Buat masa ini jalan cerita penuh bagi musim kedua masih belum didedahkan tetapi Robert Kirkman pencipta siri ini mengesahkan yang musim baharu akan memfokuskan kepada perkembangan dunia Invincible dengan memperkenalkan lebih ramai adiwira dan penjahat. Separuh musim kedua akan tiba di Prime Video November ini dan akan bersambung kemudian pada tahun 2024.