Tahun ini ada beberapa filem seram yang telah pun ditayangkan di Malaysia. Kegemaran saya setakat ini adalah Talk To Me dan Evil Dead Rise. Kemudian The Boogeyman dan The Pope’s Exorcist sementara Insidious: Red Door atau The Nun II tidak layak untuk dipanggil filem seram kerana tiada apa pun yang menyeramkan.
Paling yang saya tidak sangka adalah The Exorcist: Beliver, kerana ia merupakan sekuel kepada The Exorcist pada tahun 1973 – filem seram terawal yang memfokuskan konsep pengusiran hantu atau setan. Sebagai peminat filem seram dan meminati filem pertama Exorcist, saya menonton filem sekuel yang diarahkan oleh David Gordon Green iaitu pengarah kepada trilogi Halloween baharu.
Pengalaman Menonton
The Exorcist 1973 bukanlah filem seram yang terbaik, akan tetapi ia merupakan satu konsep filem seram yang menarik kerana mempunyai drama yang memfokuskan kepada perkembangan watak seperti emosi mereka serta dengan kanak-kanak yang dirasuk yang mengerikan. Filem pertama menjadi menarik kerana penggunaan kesan visual praktikal yang sangat hebat. Bayangkan sudah 50 tahun, apabila ditonton semula ia masih nampak realistik dan meyakinkan. Tidak lupa juga prestasi lakonan Linda Blair sebagai Regan.
Filem kedua turut cuba menjadi filem pertama dengan penyampaian cerita yang perlahan tetapi sedikit demi sedikit ada elemen mengerikan yang diselitkan. Filem The Exorcist: Believer turut banyak bergantung kepada takut kejut (jump scare) dengan kesan bunyi yang mengerikan. Konsep penceritaan adalah sama sahaja, di mana ibu bapa yang mempunyai anak dirasuk tetapi tidak mempercayai kepada agama dan konsep pengusiran hantu.
Disebabkan filem baharu ini dihasilkan oleh Blumhouse, ia tidak cukup mengerikan dan ganas seperti filem pertama. Rating filem ini di Malaysia adalah 16 yang menyasarkan peminat seram Gen-Z dan juga yang meminati filem pertama kerana mengembalikan semula pelakon asal. David Gordon Green iaitu pengarah filem ini seakan mengambil jalan selamat untuk cuba menjayakan filem ini seperti mementingkan konsep diversiti agar tiada isu perkauman berlaku. Selain watak kanak-kanak yang menjadi mangsa tidak cukup mengerikan seperti lakonan Blair pada tahun 1973.
Bercakap mengenai mangsa dalam filem ini mereka adalah Lidya Jewett yang menjadi Angela Fielding dan Olivia Marcum yang menjadi Katherine. Dua kawan baik ini dirasuk selepas hilang tiga hari di hutan. Mereka berdua mempunyai prestasi lakonan yang bagus menjadi mangsa dirasuk hantu. Rasa takut pada diri mereka itu amat meyakinkan dan jelas sekali mereka ada potensi untuk menjadi pelakon hebat.
Untuk pelakon lain seperti Leslie Odom Jr. sebagai Victor Fielding dan Jennifer Nettles sebagai Miranda turut mempunyai prestasi bagus. Odom menjadi bapa kepada Angela dan dia adalah watak yang paling memuaskan hati untuk ditonton. Penglibatan dia dalam filem ini adalah seakan Ellen Burstyn sebagai Chris MacNeil dalam filem asal. Watak Miranda turut menjadikan filem ini sedikit lebih menarik kerana dia seakan wirawati.
Watak lain jika tiada pun tidak mengapa tetapi kerana ingin cuba melibatkan dua mangsa sekaligus pada hemat saya ia menjadi sedikit serabut dan membazir masa. Durasi hampir dua jam tidak digunakan sebaiknya, lebih-lebih lagi apabila ada ramai watak yang tidak diperkenalkan dengan baik. Banyak watak lain tidak diperlukan tidak mengapa kerana berdasarkan apa yang saya tonton jika hanya fokus kepada Victor dan Angela pun sudah memadai.
Runut bunyi filem ini turut tidak mengerikan kerana tidak memberi impak kepada saya. Penggunaan CGI yang banyak turut menurunkan semangat saya menonton kerana filem pertama yang sudah berusia kelihatan lebih realistik berbanding dengan yang moden. Filem ini adalah satu cubaan yang bagus memperkenalkan filem seram pengusiran hantu pada masa kini, cuma ia tidak cukup menjadi apabila terlampau panjang untuk sampai klimaks sehingga saya hampir tertidur.
Kesimpulan
Setakat ini masih tiada filem seram sebaik Talk To Me yang memberi saya rasa tidak sedap hati sepanjang tontonan. The Exorcist: Believer pada saya adalah eksperimen Blumhouse untuk menerokai dunia filem seram baharu bagi menjayakan kerjasama mereka bersama Atomic Monster. Filem seperti ini sepatutnya ganas dan ngeri agar penonton boleh menjerit ketakutan.
Baca – Ulasan Talk To Me
Jika anda sukakan filem seram takut kejut, ini mungkin untuk anda. Walau bagaimanapun jika anda ingin filem seram yang bijak, ganas, ngeri anda mungkin akan cepat rasa bosan dengan filem ini sama seperti The Nun II. Dengan kata lain, The Exorcist: Believer adalah filem seram yang tidak sesuai untuk semua peminat seram tetapi hanyalah satu cash grab studio untuk menggunakan nama francais yang popular pada satu ketika dahulu.
Baca – Ulasan The Nun II
*Ulasan ini adalah berdasarkan tayangan awal pagi tadi yang diberikan oleh UIP Malaysia. The Exorcist; Believer akan ditayangkan bermula 5 Oktober, iaitu esok.