Dalam banyak-banyak percubaan membina dunia filem seram the Conjuring Universe adalah yang berjaya. Konsep lebih menarik iaitu Dark Universe dengan The Mummy, The Invincible Man serta filem raksasa/seram lain gagal. The Conjuring Universe dijayakan oleh James Wan melalui Atomic monster, New Line Cinema dan Warner Bros. Pictures. Selepas dua tahun daripada filem The Conjuring: The Devil Made Me Do It, mereka hadir dengan filem The Nun II.
The Nun II adalah sambungan kepada The Nun yang ditayangkan pada tahun 2018. Filem ini sekali lagi memfokuskan kepada watak Sister Irene lakonan Taissa Farmiga berhadapan dengan Valak/the Nun. Dalam filem ini, Jonas Bloquet turut kembali sebagai Frenchie. Kali ini berlaku empat tahun selepas kejadian filem pertama di mana Valak menyerang murid-murid di sebuah sekolah berasrama penuh di Perancis.
Ramai pengkritik katakan filem sekuel ini adalah yang terbaik dan paling seram. Untuk saya, filem pertama adalah lebih baik dengan drama yang mendebarkan. The Nun II bermula dengan baik. Penceritaan yang lancar dengan memperkenalkan beberapa watak baharu serta memperlihatkan semula watak asal. Gangguan demi gangguan Valak mula berlaku tetapi ramai tidak tahu yang Sister Irene pernah bertempur dengan jelmaan setan ini.
Apabila watak Sister Debra lakonan Storm Reid mula diperkenalkan, saya fikirkan ia akan menjadi menarik. Bermula sahaja aksi, saya mempersoalkan kewujudan watak ini. Pengenalan watak baharu dalam filem ini adalah seakan sengaja dilakukan untuk menambah durasi filem yang sebenarnya boleh disampaikan dalam format filem pendek.
Prestasi lakonan Taissa Farmiga sekali lagi kayak diberikan pujian. Watak Sister Irene disampaikan dengan penuh emosi, perasaan takut pada wajahnya yang meyakinkan serta menjadikan filem ini lebih “hidup”. Pengenalan watak Frenchie dalam filem ini nampak menarik tetapi apa yang berlaku adalah sangat klise dan sudah boleh dijangka dalam tempoh yang singkat. Penglibatan watak ini agak tergesa-gesa dan tidak mempunyai satu kepuasan.
Valak/the Nun sekali lagi dibawakan oleh Bonnie Aarons. Nampak seram tetapi setiap kali makhluk ini muncul ia sudah boleh dijangka, jadi elemen seramnya tidak mengejutkan. Solekan artis untuk Valak memang menyeramkan tetapi cara pengarah mahu makhluk ini muncul membuatkan filem ini seakan filem pertama dalam francais.
Runut bunyi The Nun II cukup mengerikan tetapi kadangkala ada muzik tidak mempunyai pemasaan yang sesuai dengan adegan. Misalnya ada bahagian dengan muzik sudah boleh agak di mana ada hantu. Saya sukakan konsep filem kedua ini tetapi dari segi penyampaian filem pertama adalah lebih baik. Jelas juga yang The Nun II masih sedang membina The Conjuring Universe yang akan tamat.
Bercakap mengenai Conjuring Universe yang akan tamat, Taissa Farmiga sudah pun disahkan akan kembali sebagai Sister Irene dalam filem keempat Conjuring iaitu The Conjuring: Last Rites bersama-sama dengan the Warrens lakonan Vera Farmiga dan Patrick Wilson. Filem ini menurut James Wan mungkin adalah penamat kepada dunia filem seram ini sebelum memulakan dunia baharu melibatkan M3GAN bersama Blumhouse.
Walaupun filem ini tidak seram, ia masih lagi satu cubaan menarik untuk menyemarakkan dunia filem seram yang bakal dimatikan. Prestasi lakonan Farmiga yang menjadikan filem ini lebih menarik, tanpa dia filem ini mungkin akan menjadi filem gagal Warner Bros. seterusnya. Konsep yang cuba dibawakan filem ini memang menarik, tetapi penceritaan sedikit membosankan.
Peminat filem seram dan the Conjuring Universe mungkin akan berbelah bagi dengan filem. Apa-apa pun saya tetap akan menantikan filem The Conjuring; Last Rites kerana jika benar itu penamat francais, saya ingin tahu bagaimana ia ditamatkan atau adakah akan tergantung dengan harapan di masa hadapan yang mungkin tiada orang nanti-nantikan untuk sekuel seterusnya.
Ulasan adalah berdasarkan akses awal yang diberikan oleh Warner Bros. Malaysia. The Nun II akan ke pawagam bermula 7 September 2023.