Ulasan Evil Dead Rise

Francais Evil Dead adalah antara filem seram kegemaran aku. Ini kerana setiap filem asal lakonan Bruce Campbell adalah komedi dan kesan khas ngeri yang digunakan adalah praktikal. Konsep filem seram yang francais ini tawarkan cukup menarik sehingga dikembangkan ke tiga musim siri TV.

Evil Dead turut diolah semula pada tahun 2013 dan filem terbaru Evil Dead Rise dikatakan adalah sekuel dalam dunia sama tetapi cerita berbeza.

Disebabkan ini adalah sekuel kepada Evil Dead 2013 jadi tiada elemen komedi dalam filem ini dan tiada juga Ash lakonan Campbell. Sebaliknya pengarah asal iaitu Sam Raimi dan Campbell menjadi penerbit untuk filem ini. Apa yang aku boleh katakan ini adalah filem seram paling ngeri anda boleh tonton di pawagam sekarang. Tahap ngeri yang anda tidak akan sangka LPF boleh luluskan.


Apa Kisahnya?

Jika anda inginkan Necronomicon ini bukan filemnya. Sebaliknya mereka mendakwa ada tiga kitab seakan Necronomicon dan Evil Dead Rise menceritakan penglibatan kitab lain. Memudahkan filem ditulis dengan lebih kebebasan tanpa merujuk filem Evil Dead lain tetapi masih boleh berada dalam dunia sama.

Dalam filem ini ia memfokuskan kepada Ellie yang bersusah-payah menjaga tiga orang anak sehingga satu hari Beth adik beliau datang melawat. Tetapi anak Ellie telah menemui kitab seakan Necronomicon dan setan telah merasuk beliau sehingga Deadite mula muncul, Ellie mengganas mencederakan diri sendiri dan anak serta membunuh orang ramai.

Jadi dalam filem ini Beth terpaksa mencari jalan lain melindungi anak-anak Ellie dan membebaskan diri daripada serangan setan ini. Lily Sullivan berlakon sebagai Beth, Alyssa Sutherland sebagai Ellie, Morgan Davies sebagai Danny, Gabrielle Echols sebagai Bridget dan Nell Fisher sebagai Kassie.

Pengalaman Menonton

Aku kecewa dengan filem ini kerana fikiran aku telah tercemar dengan ulasan positif pengkritik Rotten Tomatoes dan reaksi orang ramai di Amerika. Aku masuk panggung dengan harapan tinggi tetapi filem ini bukanlah filem seram terbaik atau yang paling ngeri pernah aku tonton. Filem ini sebenarnya biasa sahaja dan jika anda teliti filem ini mirip dengan Pengabdi Setan 2 cuma tanpa komedi.

Walaupun begitu, filem ini adalah filem seram ngeri terbaik anda boleh tonton di panggung wayang sekarang. Ini kerana Evil Dead Rise menggunakan rating LPF baharu dan filem ini tiada sebarang adegan dipotong. Setiap tikaman, percikan darah, serangan mangsa rasuk ke manusia lain yang mengerikan semuanya dapat dilihat dengan jelas. Cuma LPF masih keliru lagi mana yang patut dipotong kerana filem ini masih ada satu adegan dipangkas atau zum ke depan agar penonton tidak dapat melihat butiran yang menjijikkan.

Prestasi lakonan pelakon dalam filem ini pun biasa sahaja. Ramai yang aku tidak kenal pun kecuali Alyssa Sutherland yang aku ingat beliau dalam siri Timeless. Apa yang filem ini cuba bawakan adalah mengimbau kenangan filem seram klasik yang anda dapat tonton pada Evil Dead asal. Malah Robert Taper penerbit bagi kesemua Evil Dead sebelum ini turut menerbit filem ini bersama-sama dengan Sam Raimi dan Bruce Campbell. Dave Garbett cinematographer siri Ash vs Evil Dead turut melibatkan diri dalam produksi filem ini.

Permulaan filem akan membuatkan anda teringat akan apa yang Sam Raimi lakukan dalam filem Evil Dead beliau. Filem ini berjaya dari segi menarik penonton untuk kembali rasa rindu. Kualiti produksi yang menggabungkan CGI dan praktikal adalah sangat menarik untuk dilihat pada tahun 2023. Lebih-lebih lagi darah yang melimpah-limpah dan makhluk mutasi yang nampak realisitik. Filem ini adalah filem seram ngeri yang tidak disasarkan untuk semua orang.

Banyak elemen filem asal turut dikekalkan dalam filem ini seperti penggunaan gergaji dan senapang. Konsep penceritaan filem ini bukan sesuatu yang baru dan anda pasti boleh ramal atau akan rasa bosan dengan penyampaian filem ini. Evil Dead Rise adalah filem yang berlaku di dalam satu tempat dan tidak menggunakan keseluruhan lokasi dengan sebaiknya. Ini membuatkan aku rasa sempit dan lemas kerana mereka tidak begitu bergerak. Pada aku ini adalah kelemahan filem ini.

Filem ini cuba memberi harapan untuk studio terus kembangkan dan selamatkan IP Evil Dead. Tetapi Campbell pernah memberitahu beliau sudah bersara dari watak Ash. Malah idea asal untuk menggabungkan kisah Evil Dead Ash dan Evil Dead Mia (watak utama dalam olahan 2013) akan digabungkan melalui Army of Darkness 2 sebagai filem keenam dan francais akan tamat dengan filem ketujuh.

Pada aku semua ini masih tidak mustahil cuma kembali kepada Sam Rami dan Bruce Campbell sahaja adakah mereka masih inginkan Evil Dead digeruni ramai dan menjadi satu kultus seram klasik? Jika ada sambutan baik dan kutipan memuaskan pasti studio akan teruskan dengan sekuel.

Kesimpulan

Seperti aku katakan tadi Evil Dead Rise bukanlah filem seram untuk semua. Tidak semua boleh menerima penyampaian cerita dalam filem ini. Apa yang pengarah dan penulis cuba bawakan adalah membawa penonton kembali ingat Evil Dead lama dan membuktikan konsep filem seram seperti ini masih boelh diteruskan pada tahun 2023 dan di masa hadapan.

Walaupun bukan filem seram terbaik, tetapi pengalaman menonton itu yang memuaskan. Anda boleh saksikan di skrin besar aksi ngeri yang pasti akan buat anda hilang selera makan atau yang lemah semangat terus tercungap-cungap menantikan bagaimana filem ini akan tamat.

Evil Dead Rise adalah filem seram ngeri mengenai seorang ibu yang dirasuk dan anak-anak perlu diselamatkan oleh makcik mereka. Ini adalah filem seram ngeri yang patut semua peminat filem seram klasik tonton. Jika anda minat kesan khas praktikal, pernah tonton Evil Dead sebelum ini anda pasti akan bersyukur yang Evil Dead masih belum mati.

Filem ini akan ditayangkan pada 20 April nanti.

Evil Dead Rise
Tayangan Bermula 20 April
Selepas 10 tahun tiada filem Evil Dead (terakhir 2013), IP ini kembali dengan sekuel yang berlaku dalam dunia sama. Ini adalah filem seram ngeri serius memfokuskan ibu yang dirasuk dan makcik yang perlu selamatkan anak-anak sedara. Filem ini banyak mengimbau kembali kenangan Evil Dead asal dan mempunyai elemen ngeri yang mencukupi.
Positif
Konsep filem seram klasik yang menarik
Memberi harapan dan potensi untuk IP Evil Dead dikembangkan lagi
Elemen ngeri, seram dan ganas yang memuaskan
Negatif
Bukan filem seram untuk semua orang
LPF masih tidak konsisten patut sunting adegan mana
7

Sohor Kini