Terdapat banyak filem seram Hollywood telah dikeluarkan. Tetapi kebanyakan yang saya tonton rasa klise, biasa dan kurang menarik. Ada filem seram yang dikatakan paling seram tetapi apabila saya tonton, saya hanya tersengih. Talk To Me adalah filem seram baharu yang dibawakan oleh A24. Setakat ini filem seram A24 jarang mengecewakan dan filem ini diarahkan oleh pengarah kali pertama iaitu Danny Philippou daa Michael Philippou iaitu YouTuber saluran RackaRacka yang kerap hadir dengan video prank seram.
Talk To Me bukanlah filem seram yang paling seram sehingga membuatkan anda terkucil, takut untuk tonton atau kerap rasa terkejut. Tetapi adalah filem seram yang bijak, di mana sepanjang filem akan membuatkan penonton rasa tidak senang hati dan terus ingin tahu apa yang bakal berlaku. Malah di dalam panggung semasa saya tonton, tiada yang menjerit pun tetapi boleh dengar suara penonton tertanya-tanya apa yang berlaku sebenarnya.
Pengalaman Menonton
Saya katakan Talk To Me nampak klise adalah kerana ia memang klise. Tetapi filem ini ditulis dan disampaikan dengan baik kerana elemen klise itu diputarbelitkan bagi nampak unik. Konsep filem ini adalah orang jumpa objek mistik, berinteraksi dengan objek tersebut dan mereka yang berinteraksi tadi akan terkena gangguan. Kebanyakan filem seram Hollywood pernah menggunakan konsep ini. Walaupun begitu perjalanan cerita dalam filem ini adalah lancar dan ia banyak menghabiskan masa kepada watak-watak sahaja. Filem ini menjadi menarik kerana tidak bergantung kepada elemen jump scare dan hantu untuk memberikan rasa takut.
Talk To Me mengisahkan Mia lakonan Sophie Wilde yang selepas berinteraksi dengan tangan patung mistik ini diganggu tanpa henti. Semua bermula dengan satu cabaran atau permainan bersama rakan-rakan sahaja, di mana mereka yang memegang tangan ini dan menyebut “Talk to me” perlu membenarkan jelmaan roh di hadapan mereka masuk ke dalam badan untuk 90 saat untuk rasakan kesan psikedelik. Tetapi untuk Mia, sesi aneh ini mengambil masa 93 saat dan menurut Hayley lakonan Zoe Terakes makhluk ini boleh terperangkap dalam badan manusia jika terlampau lama bebas.
Filem ini turut memfokuskan kepada adik-beradik tiri Mia iaitu Riley lakonan Joe Bird dan Jade lakonan Alexandra Jensen. Majoriti pelakon utama saya tidak kenal pun, tetapi prestasi lakonan masing-masing cukup meyakinkan dan menjadi. Lebih-lebih watak Sophie Wilde yang penuh perasaan dan beliau betul-betul menjiwai watak ini. Suatu hari Riley turut ingin berinteraksi dengan tangan ini tetapi gangguan paling dahsyat berlaku sehingga menyebabkan kemalangan yang sangat mengerikan.
Di saat inilah gangguan mistik kepada Mia mula mengganggu. Untuk sampai ke saat ini, sesetengah penonton akan rasa perlahan dan mungkin sedikit bosan. Tetapi pada hemat saya setiap perbualan itu penting dan kita boleh faham apa yang setiap watak itu ingin capai dalam filem ini. Mia hanyalah seorang anak yatim yang tiada ramai kawan dan kerap dipinggirkan – lebih-lebih lagi selepas kematian ibu dia hidup Mia menjadi lebih tidak tenang dan segala perasaan dipendam.
Perkembangan watak Mia dalam filem ini sangat menarik, kita sebagai penonton boleh terus memahami watak ini dan apa yang dia lalui lalu terus memberikan sokongan kepada Mia. Walaupun ada perkara dalam filem ini akan membuatkan kita rasa marah terhadap Mia, filem ini tamat dengan kita rasa bangga terhadap watak ini.
Seperti saya katakan tadi filem ini tidak bergantung kepada elemen jump scare dan hantu. Dalam filem ini setiap elemen yang saya sebutkan tadi masih disertakan tetapi tidak melampau. Saya tidak rasa terkejut, tetapi saya tidak boleh duduk diam dan kerap ke depan dan ke belakang kerana rasa tidak senang hati dan tidak sabar ingin tahu apa yang akan berlaku seterusnya.
Kesimpulan
Pengalaman menonton Talk To Me mengingatkan saya kepada menonton filem Barbarian. Konsep klise yang sama, tetapi menjadi. Saya rasakan filem seram seperti inilah yang sepatutnya menjadi contoh, tiada masalah untuk bermain dengan elemen klise tetapi kaedah penyampaian cerita itu penting untuk memastikan filem seram itu menjadi.Talk To Me turut tidak bergantung kepada banyak kesan visual yang gempak. Ia lebih kepada kesan praktikal dan muzik yang sesuai dengan setiap adegan.
Filem ini turut membuktikan yang filem seram Hollywood yang menarik tidak memerlukan pelakon terkenal serta pengarah dan penulis ternama. Filem seperti ini jugalah yang membuatkan minat saya terhadap kandungan seram semakin membuak-buak. Jika anda minat akan filem seram yang cukup seram sehingga anda tidak senang hati tetapi tidak ingin rasa takut melampau, Talk To Me wajib ditonton.