Rahsia adalah filem seram klasik Malaysia yang ditayangkan pada tahun 1987. Filem yang diarahkan oleh Othman Hafsham ini menerima maklum balas positif sehingga memenangi anugerah Festival Filem Malaysia Ke-7 dalam kategori Filem Terbaik dan beberapa lagi. Terkini selepas 37 tahun, Rahsia diolah semula oleh anak Othman iaitu Shamyl. Olahan semula filem ini masih mengambil banyak elemen dari filem asal tetapi diolah agar sesuai ditonton pada zaman sekarang.
Rahsia bukanlah filem seram terbaik di pasaran sekarang, tetapi adalah antara filem seram tempatan terbaik pernah saya tonton setakat ini. Saya katakan begitu kerana dalam banyak-banyak filem seram Malaysia yang ditayangkan pada tahun ini tiada satu pun boleh menandingi kehebatan Rahsia dari aspek suntingan, prestasi lakonan dan penceritaan.
Rahsia juga bukanlah sebuah filem yang unik kerana baru 10 minit dalam pawagam malam tadi saya sudah boleh teka apakah rahsia di sebalik Rahsia. Saya tidak menafikan yang saya telah membeberkan plot filem ini kepada diri sendiri apabila tekaan saya itu terbukti berlaku dalam filem. Adakah saya kecewa kerana hal ini? Ya. Walaupun begitu, saya masih rasa seronok dan terhibur sepanjang tontonan. Walaupun filem ini klise, penulis dan pengarah berjaya menyampaikan kisahnya dengan baik. Saya suka akan filem ini kerana ia membuktikan Malaysia boleh hadir dengan filem seram yang berkualiti.
Perjalanan filem ini juga lancar dan tidak rasa bosan. Ia juga tidak lama dan perlahan kerana segala tragedi berlaku dalam filem disusun dengan baik dan pemasaan adegan itu kena. Pujian harus diberikan kepada penulis iaitu Alfie Palermo, Natasha Azlan, Luqman Sheikh Ghazali dan Zulaikha Zakaria yang pernah menulis filem Pusaka dan menulis One Cent Thief atau Projek: High Council.
Filem ini menggabungkan konsep filem seram tempatan dan filem seram Hollywood menjadi satu filem seram yang nampak klise tetapi unik dengan berjaya memberikan pengalaman menonton yang menjadikan penonton tidak boleh duduk diam.
Pada awalnya saya agak tidak suka pemilihan Nabila Huda sebagai pelakon utama iaitu Ramlah. Kerana beliau kerap berlakon dalam filem seram dan membawakan perwatakan lebih kurang sama. Nabila Huda dalam filem ini mengingatkan saya kepada Halimun tetapi lebih hebat dan menarik. Saya tidak sangka prestasi lakonan beliau cukup meyakinkan dan memberi penonton rasa apa yang watak beliau rasakan.
Lakonan oleh Fikry Ibrahim sebagai Hamdan kurang memuaskan kerana tidak menyampaikan emosi dengan baik. Walau bagaimanapun dua pelakon kanak-kanak yang membawakan watak anak kepada Ramlah dan Hamdan iaitu Nur Qistina Raisah sebagai Marina dan Syed Ali Murtadha sebagai Saiful adalah cukup baik. Mereka berdua berlakon dengan menjiwai watak masing-masing dengan baik sekali. Watak Marina oleh Qistina ini memberi potensi kepada beliau untuk suatu hari nanti berlakon sebagai watak utama pula.
Filem Rahsia juga adalah filem yang cantik dan sedap mata memandang. Suntingan yang sangat bagus dengan pergerakan kamera yang sangat baik. Jelas sekali Astro Shaw mengeluarkan bajet yang tinggi untuk menjayakan filem ini. Masalah utama filem ini pada saya adalah kesan bunyi dan runut bunyi yang terlampau kuat – malah hampir sama kuat dengan setiap perbualan. Kesan bunyi dan runut bunyi memang enak didengari serta rasa ngeri, cuma apabila ia terlalu kuat ia menjadi tidak realistik.
Ada bunyi watak yang hilang dalam filem ini memanggil meminta bantuan ibunya kedengaran seperti bukan dalam rumah (lokasi filem) tetapi dalam studio. Rahsia turut terlampau bergantung kepada kesan bunyi untuk elemen seram dan jump scare yang mana rasa murahan untuk memberi kejutan kepada penonton.
Walaupun begitu, Rahsia masih mempunyai elemen seram hantu atau makhluk mistik yang menyeramkan. Solekan watak ini cukup realistik dan mengerikan. Malah saya juga rasa terkejut, apabila hantu ini mula muncul dan mengganggu watak-watak lain. Saya mengharapkan suatu hari nanti filem seram Malaysia boleh mengambil contoh filem seram indie Hollywood seperti Talk To Me, di mana elemen terkejut dan seram tidak bergantung kepada kesan bunyi dan hantu. Ini pasti akan membuat penonton berdebar dan mempunyai rasa ingin tahu.
Saya tidak pernah menonton filem Rahsia tahun 1987 tetapi saya masih memuji filem Rahsia 2023. Apabila saya bertanya kepada beberapa pengulas filem lain yang sudah menonton filem asal, mereka memberi skor tinggi dan pujian yang hebat kerana Rahsia mempunyai nostalgia. Banyak elemen filem asal dikembalikan dan disampaikan dengan cara yang baik serta masih menghormati filem Rahsia yang asal. Ini secara tidak langsung memberikan lebih kepuasan kepada mereka yang pernah serta masih ingat akan filem asal.
Rahsia 2023 adalah sebuah filem seram yang saya amat galakkan anda tonton di pawagam. Seperti saya katakan tadi filem ini adalah contoh yang Malaysia memang boleh hasilkan filem berkualiti dari segi jalan cerita dan kualiti produksi. Apabila anda tonton filem ini saya yakin anda tidak akan rasa bosan dan pasti akan terhibur dengan selepas tamat tayangan akan berpuas hati serta memberi pujian.
Dengan rating baharu LPF untuk filem, saya mengharapkan suatu hari nanti Malaysia boleh hadir dengan filem seram ngeri seperti Evil Dead Rise. Saya tidak pernah tonton lagi filem seram ngeri tempatan yang boleh membuatkan saya hilang selera makan. Mana tahu akan datang dengan kejayaan filem ini, akan ada lebih banyak kualiti sama atau yang lebih baik dihasilkan.
Rahsia akan ditayangkan di pawagam 10 Ogos, ulasan ini adalah berdasarkan akses awal yang Astro berikan.