Ulasan Halimun – Konsep Filem Seram Romantik Yang Baik

Muzammer Rahman adalah pengarah yang semakin terkenal. Nama beliau mula dikenali ramai melalui filem Prebet Sapu dan kini beliau hadir dengan filem baharu di Astro First pula, Halimun. Ia adalah sebuah filem seram romantik yang turut menyelitkan sedikit elemen komedi. Apa yang menariknya, Muzammer mengaku diri sendiri adalah seorang yang penakut – tetapi masih boleh menghasilkan filem seram ini.

Halimun mengisahkan Zahir dan Laila. Pasangan ini mula bercinta dan mendirikan rumah tangga, tetapi Zahir tidak mengenali Laila sepenuhnya ketika berkahwin. Satu hari berlakunya perkara mistik yang sukar dijelaskan. Disebabkan hal ini, Zahir memanggil Adi, sahabat beliau yang sedang mengkaji perubatan tradisional Islam – namun perkara mistik ini tetap belum berhenti.


Halimun mempunyai durasi 115 minit, iaitu hampir dua jam – tetapi percayalah yang pengalaman menonton filem ini rasa agak lama. Ia adalah sebuah filem yang perlu ditonton ketika masih bertenaga dan bersemangat, jika tidak ada potensi penonton boleh terlelap. Jangan keliru, ini bukan bermakna Halimun adalah filem yang membosankan. Ia sebenarnya adalah filem dengan konsep seram romantik yang baik dan berbeza dengan apa yang pernah kita semua tonton. Ia tidak begitu klise, ia tiada adegan jumpscare yang membuatkan anda terkejut sehingga sakit jantung.

Elemen seram dalam filem ini diletakkan dengan bijak dan sesuai pada masa. Ia membuatkan orang mempersoalkan apa yang sedang berlaku dan apakah makhluk yang mengganggu serta kenapa ia mengganggu Zahir dan Laila. Filem ini sebenarnya adalah sebuah filem yang amat ringkas, dengan pembangunan watak yang menarik. Beto Kusyairi berlakon dengan penuh semangat sebagai Zahir dan beliau berjaya membawa watak yang penuh emosi dan tertekan.

Filem ini lebih ke arah apakah yang seseorang itu sanggup lakukan demi cinta? Penyampaian filem disusun atur dengan baik bermula dengan memperkenalkan perkara mistik, kisah cinta Zahir dan Laila, misteri di sebalik perkara mistik ini serta bagaimana seorang sahabat yang berkorban untuk membantu rakan karib. Lakonan Nabila Huda sebagai Laila juga membuatkan aku terkejut, kerana boleh membawa watak kena rasuk yang penuh jiwa dan semangat yang cukup meyakinkan.

Perjalanan filem ini turut akan membuatkan penonton mempersoalkan apa yang sebenarnya sedang berlaku. Malah aku juga terpedaya pada awalnya. Ini adalah contoh sebuah filem misteri yang baik, kerana membawa penonton ke dunia filem itu sendiri mempersoalkan segalanya.

Filem ini walaupun rasa panjang, ia tidak meleret dan pengarah berjaya menyampaikan apa yang patut. Watak penting lain dalam filem ini adalah Adi yang dilakonkan oleh Kodi, seorang pakar perubatan tradisional. Beliau turut membawa prestasi lakonan yang mantap, nampak ringkas tetapi dialah “ustaz” atau hero yang menghalau hantu dalam filem ini.

Elemen komedi dalam filem ini dibawakan oleh Chubb-E, di mana beliau adalah pelajar buta dalam kelas sama dengan Adi. Beliau dilihat mempunyai “kuasa” yang hebat yang pada awal nampak klise dan menjengkelkan – tetapi kerana berjaya membuatkan aku terhibur dan ketawa kekurangan pada watak ini dapat aku maafkan.

Halimun turut menyertakan sedikit elemen politik memperlihatkan bagaimana seseorang menggunakan perkara mistik untuk mendapatkan jawatan hebat yang akhirnya memakan diri. Walaupun pada aku tidak perlu, tetapi ia menjadikan perjalanan cerita lebih menarik untuk mencari sumber asal sesuatu dan mengaitkannya dengan perkara terkini.

Produksi filem ini juga cukup hebat dan mantap, aku tidak sangka yang filem ini hanya disiarkan di Astro First dan bukan ditayangkan di pawagam. Jika penonton dapat saksikannya di pawagam, ia pasti akan memberikan satu pengalaman menonton yang lebih memuaskan. Penggunaan kamera dalam filem ini, suntingannya semuanya hebat belaka dan membuatkan aku bertambah yakin dengan filem tempatan.

Perkara paling menarik dalam filem ini berlaku di hujung filem, kerana di saat tersebut ia mula membuatkan jantung aku berdegup kencang kerana tidak sabar untuk lihat apa yang berlaku. Walaupun aku sudah ramal apa yang akan berlaku, tetapi aku tetap tidak sabar melihat pendedahan besar yang pengarah ingin sampaikan kepada penonton.

Beto turut melakukan satu aksi hebat sendiri tanpa bantuan pelagak ngeri. Adegan ini adalah Zahir terbakar dan ia adalah aksi Beto sendiri sepenuhnya, aku tidak akan beberkan kenapa watak beliau terbakar – tetapi pada aku filem ini ditamatkan dengan baik dan tidak membuatkan aku menantikan sambungan atau mengharapkan akan ada sekuel. Ia sebuah filem tersendiri yang boleh membuatkan aku terhibur dan rasa seronok.

Malaysia perlukan lagi pengarah seperti Muzammer Rahman untuk hadir dengan filem hebat seperti ini. Atau lebih tepat, konsep yang berbeza dan satu langkah yang berani. Jika anda tonton Halimun, anda mungkin akan rasa gembira Malaysia ada filem seperti ini. Pada aku, konsep seram yang dibawakan seakan filem barat tetapi dengan iterasi Melalyu.

Halimun adalah filem di Astro First yag sudah pun disiarkan sejak 5 November lalu. Jika anda menyewa filem ini di Astro First, anda boleh tonton tanpa henti untuk 48 jam.

Halimun
Siaran di Astro First 5 November
Halimun adalah sebuah filem seram romantik daripada pengarah yang penakut yang turut mengarah filem Prebet Sapu. Filem ini mengisahkan apakah yang seseorang itu sanggup lakukan demi cinta, dan ia mempunyai penceritaan yang cukup baik - cuma ia mungkin bukan untuk semua orang.
Positif
Elemen seram yang baik, walaupun tidak terkejut
Kisah romantik yang ringkas dan mudah faham
Kualiti produksi yang mantap
Prestasi lakonan pelakon utama yang hebat
Negatif
Penyampaian cerita yang sedikit perlahan
Penceritaan yang panjang yang mungkin bukan untuk semua
7

Sohor Kini