NetEase Saman Blizzard RM193 Juta Kerana Pembayaran Balik

Pada akhir tahun lepas, telah dilaporkan yang NetEase gagal untuk mencapai kata sepakat dengan Blizzard bagi meneruskan kerjasama mereka – NetEase merupakan penerbit permainan Blizzard di China.

Blizzard juga telah mengatakan yang mereka tidak lagi bekerjasama dengan NetEase dan sedang mencari rakan kongsi baharu walaupun pada masa sama menawarkan kerjasama sementara yang telah ditolak oleh NetEase.

Perkara ini telah mengakibatkan pergaduhan di antara dua syarikat ini, termasuk juga membawa kepada pekerja NetEase menghancurkan patung World of Warcraft.

Terbaru, NetEase telah dilaporkan oleh Sina Technology melalui WowHead yang mereka memfailkan saman menuntu 300 juta Yuan (~RM193 juta) daripada Blizzard.

Antara sebab saman ini, NetEase mengatakan yang pembayaran balik kepada pemain ditanggung oleh mereka walaupun Blizzard yang menjanjikan perkara tersebut. Selain itu terdapat juga merchandise yang tidak terjual.

NetEase juga mengatakan yang sepanjang kerjasama bersama Blizzard, mereka sering perlu membayar deposit untuk permainan baharu, walaupun permainan tersebut tidak dilancarkan dan deposit tersebut tidak dibayar balik.

Berdasarkan kenyataan oleh Blizzard yang diberikan kepada PC Gamer, syarikat di bawah Activision Blizzard tersebut mengatakan yang mereka masih tidak menerima sebarang saman daripada NetEase tetapi menegaskan yang berdasarkan kontrak pembayaran balik adalah tanggungjawab NetEase.

Sohor Kini