Apa yang menarik sangat dengan Knives Out ini sehingga Netflix membeli dua sekuel, satu Glass Onion dan satu lagi dalam pembangunan? Pada aku, ia adalah antara filem penyiasatan yang bijak dan pada yang sama ia juga adalah filem komedi yang berjaya menggelikan hati.
Netflix telah pun memberi Aksiz akses untuk tonton filem ini pada bulan lepas, sebelum ia ditayangkan di pawagam terpilih di Amerika Syarikat untuk tujuan ulasan. Glass Onion mempunyai durasi 2 jam 19 minit, 9 minit lebih panjang berbanding Knives Out. Sepanjang aku tonton filem ini, apa yang aku boleh katakan – aku kecewa ia tidak ditayangkan di pawagam.
Glass Onion: A Knives Out Mystery adalah filem yang berlaku ketika COVID-19. Adakah masih relevan untuk tonton filem bertemakan masa ini? Pada aku ya, agak menarik untuk melihat bagaimana satu misteri pembunuhan ketika pandemik. Bercakap mengenai pandemik, filem ini turut menyertakan banyak elemen popular ketika pandemik seperti permainan Among Us. Filem ini turut ada Twitch di dalam dunianya, laman web The Verge versi fiksyen, Google Now dan banyak lagi yang mencuit hati.
Filem ini mengisahkan Benoit Blanc dilantik oleh Helen Brand untuk menyiasat kematian kakak beliau Cassandra Brand, CEO kepada Alpha iaitu syarikat teknologi yang dalam proses mengeluarkan Klear sejenis alternatif sumber tenaga berasaskan hidrogen. Tetapi Klear yang bahaya membuatkan Andi tidak boleh meluluskan dan membuat perancangan pengasas bersama Alpha iaitu Miles marah.
Suatu hari, Miles menjemput rakan-rakan beliau termasuk Andi untuk ke rumah agam beliau di Greece. Tetapi mengejutkan, jemputan ini turut termasuk Benoit Blanc sedangkan ia hanyalah untuk sekumpulan rakan-rakan baik. Jemputan ini adalah untuk mereka bermain permainan menyiasat misteri pembunuhan Miles di dalam rumah agam ini.
Tetapi satu demi satu konflik berlaku, lebih banyak misteri terdedah dan bermulalah satu kematian. Sudah semestinya aku tidak boleh sebut siapa yang mati dan siapakah si pembunuhnya. Tetapi apa yang berlaku dalam filem ini cukup menarik dan boleh aku katakan Glass Onion: A Knives Out Mystery adalah filem misteri orang mati yang mencuit hati.
Berikut adalah senarai pelakon dan watak masing-masing dalam filem ini dan semuanya penting;
Aku turut ingin mengacah kepada semua, filem ini juga penuh dengan kejutan oleh pelbagai penampilan istimewa pelakon-pelakon hebat.
Filem seperti Glass Onion ini aku suka tonton, tetapi aku tidak suka tulis ulasan kerana sukar untuk sampaikan apa yang aku saksikan tanpa beberan. Lagi-lagi filem ini yang penuh dengan misteri, kalau satu sahaja informasi yang aku sudah tahu ini dikongsi – pengalaman menonton filem ini tidak akan menyeronokkan.
Jadi, aku akan cuba kongsi apa yang aku rasakan mengenai filem ini. Pertama sekali akan aku jawab, adakah Glass Onion: A Knives Out Mystery lebih baik daripada Knives Out? Untuk misteri pembunuhan aku lebih suka filem pertama, tetapi filem kedua ini merungkai satu demi satu latar belakang watak dan memperlihatkan Benoit Blanc yang lebih santai. Filem ini memfokuskan kepada Benoit Blanc dan watak Janelle Monáe, yang mana dinamik dua orang ini adalah sangat menarik dan lucu.
Filem ini turut melibatkan Miles lakonan Edward Norton, iaitu seorang orang kaya yang merupakan pengasas bersama untuk sebuah syarikat teknologi. Glass Onion agak huru-hara dari segi watak, kerana melibatkan ramai orang – tetapi ia bukan huru-hara yang menjengkelkan. Sebaliknya sesuatu yang seronok untuk tonton kerana konflik antara setiap watak.
Misteri di dalam filem ini juga ditulis dengan baik sekali dan rahsia yang didedahkan adalah di luar jangkaan aku. Penyampaian misteri di dalam ini disampaikan dengan baik, lancar dan mantap. Komedi oleh setiap watak juga membuatkan aku ketawa terbahak-bahak tanpa henti sehingga sakit mulut.
Glass Onion: A Knives Out Mystery cuba memberikan satu pengalaman menonton filem penyiasatan misteri pembunuhan yang lain daripada yang lain. Ia tidak seperti penceritaan Agatha Christie atau klise seperti See How They Run, Murder on the Orient Express, siri TV After Party dan lain-lain filem atau siri TV whodunnit?.
Prestasi lakonan setiap pelakon dalam filem ini juga membuatkan aku terfikir, mereka ini berlakon atau hanya bergembira bersama-sama rakan. Kerana itu apa yang aku nampak dalam filem ini. Setiap watak walaupun serius, mereka semua bersahaja. Setiap watak juga diberikan masa skrin yang seimbang dan tidak ada satu pun tertinggal atau rasa tidak mencukupi.
Dari segi misteri, filem ini membawakan satu misteri yang sukar untuk diteka. Aku cuba ramal siapakah dalangnya, siapakah mangsa dan apakah puncanya dan semuanya salah. Glass Onion juga adalah sebuah filem yang cantik. Dari pakaian, lokasi penggambaran dan kualiti produksi semuanya memuaskan hati. Semasa aku tonton filem ini, aku sedang merantau ke luar negeri dan terpaksa tonton melalui telefon sahaja. Jadi aku tidak puas hati dan tidak sabar untuk tunggu hari siaran nanti untuk tonton pada skrin besar.
Aku ada nampak beberapa orang tanya, kenapa filem ini tidak mengembalikan pelakon sama daripada filem pertama sedangkan ia dikira sebagai filem sekuel. Pada aku bagus. Dengan membawakan watak baharu, ia boleh memberikan satu cerita yang lebih segar dan tidak membawa masalah lama ke dalam kisah baru. Ini adalah satu trend, kerana aku sedari banyak filem whodunnit yang ada sekuel juga memfokuskan watak dan jenayah baharu.
Aku amat berpuas hati dengan filem ini. Walaupun aku tidak berikan skor penuh kerana ada filem ini agak panjang untuk apa yang cuba disampaikan. Ia juga adalah filem penyiasatan misteri pembunuhan yang menarik kerana Rian Johnson sengaja menjadikan Benot Blanc penuh dengan tanda tanya agar orang tonton untuk mencari jawapan. Knives Out turut akan diteruskan untuk filem ketiga, kerana ingin semua orang saksikan apa yang beliau fikirkan untuk nasib kepada watak seperti Benoit Blanc.
Glass Onion: A Knives Out Mystery turut menjadi antara filem menarik tahun ini kerana penuh dengan penampilan istimewa pelakon-pelakon hebat yang terkenal dan rujukan perkara popular di dunia. Jika anda minat akan filem misteri, Glass Onion adalah wajib untuk ditonton.
Filem ini akan disiarkan di Netflix Malaysia pada 23 Disember 2022, ulasan adalah berdasarkan tayangan eksklusif yang Netflix berikan kepada Aksiz sebulan lalu.