Aku adalah seorang yang amat sukakan tekaria dan misteri. Seingat aku, minat aku kepada tekaria bermula dengan permainan video Resident Evil 4 (RE4). Dalam RE4, watak Leon perlu banyak menyelesaikan tekaria untuk menyelamatkan Ashley. Tahun lepas sepanjang perintah berkurung, aku beli Box One iaitu tekaria daripada Neil Patrick Harris yang pada aku cukup mencabar.

Atas minat tekaria inilah membuatkan aku juga juga meminati filem atau siri TV misteri pembunuhan atau yang berkonsepkan whodunnit? seperti Murder on he Orient Express, Knives Out, francais filem Scream juga menggunakan konsep sama dan banyak lagi. Sejak kebelakangan ini juga aku kerap tonton filem dan siri TV seperti ini. Antaranya adalah siri TV Only Murders in the Building di Disney+ Hotstar dan yang terkini di Apple TV+ The Afterparty.

The Afterparty adalah siri TV asli Apple daripada Christopher Miller, iaitu individu di sebalik filem seperti 21 Jump Street dan filem animasi Spider-Man Into The Spider-Verse. Siri TV ini memberikan pengalaman menonton yang cukup memuaskan dan sesuatu yang cukup baru untuk aku kerana ada twist tersendiri yang menjadikannya unik.

Ia mempunyai lapan episod, tiga episod pertama sudah pun disiarkan sejak 28 Januari lalu dengan episod pertama percuma untuk distrim di YouTube. Apple TV+ telah memberi Aksiz akses kepada tujuh episod untuk tujuan ulasan dan artikel ini akan aku kongsi kepada anda semua, adakah ini siri TV whodunnit? terbaik dan adakah ia berbaloi untuk ditonton?


Kisah apa The Afterparty ni?

Seperti yang aku katakan tadi, siri TV ini mengisahkan satu misteri pembunuhan. Dalam siri TV ini, sekumpulan orang dewasa telah berkumpul untuk satu majlis pertemuan semula sekolah menengah mereka. Selepas itu mereka pergi ke rumah rakan mereka iaitu Xavier (lakonan Dave Franco) untuk pasca-parti, yang kini merupakan seorang selebriti acah hebat yang berjaya. Namun, belum sempat mereka semua menikmati dan berhibur Xavier ditemui mati.

Polis pun mula datang dan menyoal seorang demi seorang untuk menyelesaikan misteri ini, kerana mereka mempercayai yang pembunuh masih berada di dalam rumah tersebut. Setiap episod, ia mempertontonkan perspektif berbeza daripada pelbagai suspek yang disoal siasat oleh Detective Danner (lakonan Tiffany Hardish). Disebabkan setiap episod ada tema tersendiri, ia membawa penonton ke satu pengalaman menonton yang bukan sahaja mendebarkan dengan suspen, tetapi juga lucu.

Antara suspek utama adalah Aniq lakonan Sam Richardson, Zoë lakonan Zoë Chao, Brett lakonan Ike Barinholtz, Yasper lakonan Ben Schwartz, Chelsea lakonan Ilana Glazer dan Walt lakonan Jamie Demetriou.

Apa yang best?

Siri TV ini tidak klise langsung. Cukup sukar untuk teka siapakah yang terlibat dengan pembunuhan ini. Episod demi episod aku yakin penonton akan bertukar-tukar untuk tuduh watak berlainan sebagai pembunuh. Cuma apa yang paling jelas, setakat ini semua bukti ditujukan kepada Aniq – tetapi penonton akan tahu yang beliau bukanlah pembunuh sebenar kerana banyak kali ditekankan yang beliau tidak bersalah dan penonton dapat lihat nasib beliau yang cukup malang. Aniq hadir ke parti tersebut hanya untuk mencari cinta sejati.

Tetapi watak lain penuh dengan misteri yang akan membuatkan semua orang terfikir adakah pembunuhnya seorang atau adakah ada rakan subahat atau semua sekali terlibat seperti Muder on the Orient Express? Aku belum tonton episod akhir lagi, jadi aku pun masih terperangkap dalam misteri ini kerana tujuh episod ini sudah membuatkan aku rasa gila dan tidak sabar untuk tahu jawapan sebenar.

Baiklah aku teruskan kongsi pengalaman menonton siri TV ini.

Disebabkan setiap episod adalah berbeza temanya, dari segi runut bunyi, sinematografi, dan penceritaan – ia menjadikan rasa suspen dan rasa tidak sabar untuk tahu perkara sebenar membuak-buak. Setiap episod ada gaya kreatif tersendiri yang memberikan rasa seronok untuk tonton dan akan menjadikan penonton juga sebagai detektif untuk cuba menyelesaikan sendiri. Namun disebabkan pada aku tiada elemen klise, aku juga sukar untuk teka hal sebenar.

Setiap episod juga seakan ada genre tersendiri daripada lucu gila, sedih, romantik, muzikal, aksi, animasi dan pelbagai lagi. Disebabkan ia mempunyai penulisan skrip yang baik dan pelakon semua cukup berbakat, siri TV ini membawakan satu cerita yang seimbang antara komedi dan misteri.

Walaupun begitu, siri TV ini tidak cukup untuk membuatkan aku ada perasaan ingin maratonton. Ya, orang awam akan dapat tonton 3 episod dan kemudian satu episod setiap minggu – tetapi jika anda tunggu kesemua lapan episod keluar baru ingin tonton ia tidak begitu berbaloi untuk habiskan semua terus. Jadi satu langkah bijak kepada Apple untuk siarkan secara mingguan. Disebabkan ia ada banyak genre, ia mudah membuatkan penonton sedikit pening kepala dan penat untuk tonton.

Perwatakan dalam siri TV ini juga menarik dan prestasi lakonan oleh semua pelakon yang membawa watak masing-masing juga pada aku cukup hebat. Yasper pada aku lebih menyerlah dan yang paling lucu. Lain-lain, ada sahaja watak yang menjengkelkan, cringe dan yang akan membuatkan penonton rasa benci – ia cukup seimbang dan sesuai.

Jika aku bandingkan dengan Only Murders in the Building, ia lebih seronok untuk maratonton kerana setiap episod tergantung dan memberikan penonton rasa tidak sabar yang lebih hebat berbanding siri TV The Afterparty.

Kesimpulan

Untuk aku yang sukakan konsep seperti ini, ia adalah sesuatu yang baru dan cukup memuaskan. Walaupun aku belum tonton episod akhir, aku yakin ia akan memberikan satu kejutan yang baik dan pasti akan membuatkan kepada aku pening dan tidak percaya. Aku tidak ingin beberkan episod ketujuh, tetapi apa yang disampaikan cukup membuatkan aku inginkan satu lagi musim siri TV The Afterparty dengan beberapa watak sama tetapi dalam situasi berlainan.

Untuk yang sukakan tekaria, misteri pembunuhan dan komedi, siri TV ini akan cukup untuk menceriakan hari anda. Percayalah, anda tonton dahulu episod pertama yang percuma untuk distrim di YouTube atau jika anda ada langgan Apple TV+ – tonton dahulu tiga episod yang telah disiarkan aku yakin anda akan rasa puas hati dan bersyukur yang siri TV ini wujud untuk hiburan semua.

Selepas The Afterparty ini, ia membuatkan aku rasa tidak sabar untuk tonton Muderville di Netflix dan juga Only Murders in the Building musim kedua (dalam proses penggambaran lagi).

Sohor Kini