“Knives Out” adalah filem penyiasatan yang unik, menarik, lucu, aneh dan paling penting memberikan pengalaman menonton yang berbeza. Ia adalah filem mengenai siapa bunuh siapa dalam satu keluarga besar yang inginkan harta. Filem ini diarahkan oleh pengarah filem Star Wars: The Last Jedi, Rian Johnson dan dilakonkan oleh pelakon filem James Bond yang tidak ditayangkan lagi Daniel Craig.
Filem ini sah akan menerima sekuel, di mana terdapat dua sekuel telah dirancang. Terkini melalui laporan dari Variety, Netflix telah membeli dua filem sekuel tersebut dengan tanda harga $450 juta – iaitu sekitar RM1.86 bilion.
Filem pertama dihasilkan oleh Media Rights Capital dan diedarkan oleh Lionsgate, memperoleh $311.4 juta dari bajet filem yang hanya $40 juta. Rian Johnson turut tercalon dalam anugerah Oscar untuk skrip terbaik. Tujuan Netflix membeli ini adalah untuk bersaing dengan pesaing yang membangun dengan pesat, seperti HBO Max, Paramount+, Apple TV+, Disney+ dan banyak lagi.
Tambahan Variety lagi, seorang eksekutif wakil dari salah satu platform penstriman menyatakan ini adalah langkah risiko kerana akan banyak membelanjakan wang. Serta dengan adanya Daniel Craig, kenaikan gaji juga boleh berlaku secara mengejut. Ini adalah antara belanja paling besar berlaku untuk perjanjian ke atas satu filem.
Dengan Netflix membeli hak kepada Knives Out 2 dan 3, tidak pasti jika ia akan ditayangkan di pawagam atau menjadi eksklusif siaran di Netflix sahaja. Sama-sama kita nantikan.