Skip to main content

Glass Onion: A Knives Out Mystery adalah filem misteri pembunuhan sekuel kepada Knives Out yang ditayangkan pada tahun 2019. Filem seperti ini turut dikenali sebagai whodunnit? kerana perlu mencari pembunuh yang sedang berada di hadapan mata detektif penyiasat. Dalam Knives Out, detektif ini adalah Benoit Blanc lakonan Daniel Craig.

Dalam banyak-banyak filem misteri pembunuhan, Glass Onion adalah antara terbaik yang pernah aku tonton. Sementara kehadiran filem ini di Netflix Malaysia pada 23 Disember nanti serta ulasan di Aksiz, aku akan kongsi serba sedikit mengenai filem ini dan pandangan Rian Johnson kenapa format filem beliau ini menjadi.


Dalam satu sidang media pada bulan lepas, iaitu sebelum filem ini ditayangkan di pawagam Amerika Syarikat – Aksiz berpeluang menyertai sesi ini serta tonton filem ini. Menurut Rian Johnson, antara sebab utama kenapa filem Knives Out menjadi adalah kerana misteri di sebalik watak Benoit Blanc lakonan Daniel Craig.

Blanc tiada sebarang sejarah yang jelas atau butiran yang mendalam mengenai siapakah detektif ini. Benoit Blanc terus muncul di lokasi berlakunya jenayah, dan dikenali sebagai detektif paling hebat. Sepanjang menonton filem ini, Johnson inginkan penonton mempunyai sifat ingin tahu siapakah Benoit Blanc dan aku boleh kata betul – itu juga yang aku tertanya-tanya sehinggalah filem kedua yang juga masih samar-samar. Butiran Benoit Blanc menurut Johnson sentiasa ada, tetapi sengaja tidak dimasukkan ke dalam filem kerana ingin mempunyai elemen misteri dan satu pengembaraan ketika menonton.

Di pasaran sekarang, tidak dinafikan ada banyak filem atau siri TV misteri pembunuhan. Di Aksiz sahaja kami pernah ulas See How They Run, Death on the Nile atau The Afterparty – tetapi bagaimana untuk benar-benar memastikan Glass Onion: A Knives Out Mystery seronok dan berbeza dengan filem lain yang lebih kurang sama?

Menurut Rian Johnson, beliau hanya ingin penonton Knives Out rasa gembira, seronok dan puas hati sama seperti beliau ketika zaman kanak-kanak. Misalnya filem-filem berasaskan buku Agatha Christie, ketika menonton bersama keluarga beliau sukar untuk melupakannya dan bagaimana filem ini memberi impak kepada rakan-rakan beliau yang turut ingin tonton selepas ketahui betapa hebatnya filem seperti ini. Jadi mungkin 30 tahun akan datang, anak muda generasi akan datang menyedari kewujudan francais Knives Out – mereka juga akan rasa gembira dan ingin hadir dengan adaptasi tersendiri.

Leave a Reply