Skip to main content

Apple telah melancarkan generasi baharu untuk telefon pintar mereka iaitu iPhone 14 Pro Max, iPhone 14 Pro dan iPhone 14, manakala iPhone 14 Plus sahaja yang akan dilancarkan lebih lewat iaitu pada 7 Oktober ini. Anda boleh baca lanjut mengenainya di pautan berikut;

Hari ini saya telah dapat untuk mencuba iPhone 14 Pro Max dan akan berkongsi serba sedikit mengenainya, akan tetapi seperti biasa pendapat penuh saya mengenai prestasi dan juga pengalaman bermain permainan mudah alih, saya akan kongsikan kemudian.

Varian yang saya guna adalah iPhone 14 Pro Max dengan saiz storan 1TB dengan warna Silver dan ditawarkan dengan harga RM8,299 ia juga hadir dengan tiga pilihan warna lain iaitu Deep Purple, Gold, dan Space Black. Pilihan storan lain adalah 128GB dengan harga RM5,799, 256GB dengan harga RM6,299 dan 512GB dengan harga RM7,299.

Apa Di Dalam Kotak

Seperti iPhone generasi lepas, Apple tidak lagi menyertakan banyak perkara di dalam kotak. Bagi iPhone 14 Pro Max, ia hanya menyertakan wayar untuk mengecas dan juga memindahkan data yang menggunakan penyambung USB-C dan Lightning. Ia tidak menyertakan bersama kepala pengecas, oleh itu anda boleh menggunakan kepala pengecas yang menyokong USB-C ataupun perlu membelinya secara berasingan.

Selain itu, ada risalah mengenai perkara asas penggunaan iPhone 14 Pro Max, pelekat logo Apple dan juga pin pembuka SIM. Akhir sekali, ia sudah semestinya adalah peranti iPhone 14 Max itu sendiri. Saya juga mendapatkan kerangka untuk iPhone 14 Pro Max ini, iaitu kerangka Silikon rasmi Apple, berwarna Midnight yang ditawarkan dengan harga RM219.

Spesifikasi

iPhone 14 Pro Max hadir dengan skrin bersaiz 6.7-inci menggunakan panel Super Retina XDR Display yang menyokong teknologi ProMotion untuk memberikan kadar segar semula sehingga 120Hz. Bagi resolulsi pula ia menggunakan 2796 x 1290 dengan ketumpatan pixel, 460ppi. Ia menyokong HDR display dengan lebar warna P3.

Pada penggunaan sekejap saya, ia adalah paparan yang saya tidak mempunyai sebarang rungutan, ia kelihatan sangat cantik dengan penggunaan warna yang terang tetapi masih mengekalkan ketepatan warna asal. Sokongan ProMotion juga menjadikan pengalaman penggunaan secara umum yang lebih lancar dan semestinya lebih baik.

Melalui enjin paparan yang baharu, iPhone 14 Pro Max juga kini menyokong fungi Always-on-Display (AOD), berbanding memadam terus dan sekadar memaparkan beberapa informasi sahaja, Apple memilih untuk merendahkan paparan dengan kadar segar semula 1Hz, dengan paparan yang lebih malap untuk penggunaan bateri yang sangat minimal. Ia akan membuatkan telefon saya bagaikan sentiasa terbuka, pada awal ia sedikit mengelirukan akan tetapi setelah biasa, saya menyukainya.

Fungsi AOD ini juga boleh digunakan untuk melihat perkara-perkara yang ‘live’ contohnya keputusan sesuatu sukan, jika anda menggunakan perakam suara, ia juga diperlihatkan walaupun telefon ditutup untuk mengelak ia tidak dibuka tanpa sedar.

Dari segi cip pemprosesan pula, ia menggunakan cip terbaru dari Apple iaitu A16 Bionic Cip yang menurut Apple menggunakan 20% lebih kurang kuasa tetapi membawa prestasi 40% lebih baik berbanding cip-cip dari pengeluar yang lain.

Jika sebelum ini saya telah berkongsi mengenai pengalaman bermain permainan mudah alih di iPhone 13 Pro, yang saya sangat berpuas hati, bagi percubaan sementara, iPhone 14 Pro Max sudah semestinya memberikan prestasi yang lebih baik termasuk juga menyokong 120 FPS untuk Genshin Impact yang masih lagi fungsi eksklusif untuk peranti Apple.

Bagi bateri pula, iPhone 14 Pro Max membawa kapasiti bateri sebanyak 4323 mAh, ia bukanlah saiz yang besar jika ingin dibandingkan dengan telefon mercu Android, akan tetapi hadir daripada iPhone 12 Pro Max yang sekian lama menjadi peranti utama saya, ia memperlihatkan peningkatan yang ketara dengan ia masih lagi boleh bertahan sehingga hari esok, walaupun bermain permainan mudah alih untuk beberapa jam hari sebelum.

Rekaan

Kelainan utama bagi rekaan iPhone 14 Pro Max sudah semestinya di bahagian atas iaitu menggantikan takuk adalah Dynamic Island, yang saya boleh katakan takut tetapi diubah untuk menjadi satu fungsi. Pada percubaan awal, ia berguna bagi saya untuk mengawal muzik, dan juga panggilan telefon. Satu perkara yang bukanlah fungsi akan tetapi ia menjadikan pengalaman penggunaan yang lebih baik dengan segala perkara yang dilakukan seperti Face ID, kesemua akan diperlihatkan di Dynamic Island ini, memberikan penggunaan yang konsisten.

Buat masa ini ia masih tidak digunakan oleh permainan mudah alih secara mendalam tetapi sudah ada beberapa yang menggunakannya dengan menarik. Contohnya “Hit the Island” yang menjadikannya sebagai permainan Pong. Saya sudah semestinya berharap ia lebih diguna pakai oleh pembangun, seperti fungsi AOD.

Rekaan serta kekemasan untuk iPhone 14 Pro Max adalah sesuatu yang kita boleh jangkakan dari Apple, ia memberi perasaan yang sangat baik untuk memegang dan terasa berkualiti. Dirasakan menggunakan kerangka, akan tetapi bagi saya pengalaman terbaik untuk memegang telefon ini adalah tanpa menggunakannya. Ia teras lebih kemas dan menjadikan ia lebih mudah untuk digunakan secara sebelah tangan.

Selain itu, tiada perubahan ketara berbanding iPhone generasi lepas dengan pengecas masih lagi menggunakan lightning, butang kuasa di bahagian kanan, butang kuasa di bahagian kiri termasuk juga suis notifikasi. Dengan kesemuanya mudah untuk diakses dan sangat clicky, termasuk juga semasa menggunakan kerangka, sekurang-kurangnya yang dikeluarkan oleh Apple sendiri.

Rumusan

iPhone 14 Pro Max masih lagi memberikan pengalaman dan prestasi yang sudah jangkakan daripada peranti utama dari Apple, walaupun baru mencubanya sekejap tetapi saya sudah merasakan ia akan memberikan pengalaman yang lebih baik berbanding iPhone 13 Pro sebelum ini, dari segi prestasi dan juga penggunaan bateri.

Selain itu, beberapa fungsi baharu seperti AOD dan juga Dynamics Island buat masa ini sekadar menambah baik pengalaman sedia ada, akan tetapi ia bukan sesuatu yang disentuh secara mendalam oleh pembangun-pembangun permainan mudah alih. Sesuatu yang saya berharap akan berubah di masa hadapan.

Leave a Reply