Pemain DOOM: The Dark Ages akan menerima penambahan kandungan pada 7 Julai ini melalui pelancaran pengembangan kempen DOOM: The Dark Ages | Revelations berserta kemas kini percuma Ripatorium 3.0. Perkara ini diumumkan ketika acara Xbox Games Showcase.

Pengembangan kempen ini memfokuskan kepada kesinambungan penceritaan watak utama, Slayer, yang terperangkap di alam purgatori selepas dia dikhianati dan dicederakan. Pemain perlu menewaskan entiti baharu dengan bantuan seorang sekutu misteri untuk membebaskan pengikut Slayer. Kandungan ini menampilkan tahap permainan dengan teka-teki yang lebih mendalam, penambahan musuh baharu, serta pengenalan senjata Chain Spear yang menumpukan kepada gabungan kuasa serangan dan mobiliti.
Dari segi penawaran harga, pemain yang telah memiliki Edisi Premium atau Collector’s Bundle DOOM: The Dark Ages akan mendapat akses kepada pengembangan ini tanpa kos tambahan pada hari pelancaran. Bagi pemilik permainan asas, DOOM: The Dark Ages | Revelations boleh dibeli secara berasingan bermula 7 Julai. Pilihan untuk menaik taraf ke Edisi Premium juga tersedia sekarang.
Pada tarikh yang sama, pembangun turut akan melancarkan kemas kini Ripatorium 3.0 secara percuma kepada semua pemain permainan asas. Kemas kini ini memfokuskan kepada mod cabaran arena permainan dengan menawarkan tetapan penyesuaian yang lebih meluas, sistem penjanaan kod pas yang ditambah baik, dan pilihan pratetap peribadi. Sebagai tambahan, pemain yang melengkapkan mod cerita DOOM: The Dark Ages | Revelations akan membuka akses kepada tiga peta baharu, jembalang, dan senjata yang dinaik taraf sepenuhnya untuk digunakan dalam mod Ripatorium.
DOOM: The Dark Ages kini tersedia untuk dimainkan di platform Xbox Series, PC, serta PlayStation 5. Permainan ini juga ditawarkan dalam perkhidmatan langganan Game Pass Ultimate, Game Pass Premium, dan PC Game Pass, di samping menyokong kemudahan silang platform Xbox Play Anywhere tanpa kos tambahan.


