Samsung Galaxy S22 Ultra Masih Seronok Untuk Bermain Permua

Aku masih ingat lagi, ada satu laporan yang Samsung dikatakan akan hadir dengan telefon pintar memfokuskan permua. Tetapi akhirnya peranti yang dilancarkan hanyalah Galaxy Note 9 dengan kerjasama Fortnite sebagai peranti Android pertama menyokong permua ini.

Sejak daripada itu, peranti Samsung mula hadir dengan banyak ciri gaming seperti Game Launcher permua yang dibina khusus untuk peranti Samsung dan beberapa ciri lain untuk memastikan bermain permua pada peranti Samsung adalah memuaskan dan lancar.

Pengganti kepada Galaxy Note adalah Samsung Galaxy S22 Ultra, yang mana pada aku juga adalah sebuah peranti yang berkemampuan untuk menjadi sebuah peranti gaming. Dalam artikel ini akan aku kongsi pengalaman aku menggunakan peranti ini untuk bermain permua untuk jangka masa panjang. Permua kegemaran aku adalah Asphalt 9 dan juga PUBG Mobile, serta beberapa permua ringan yang lain seperti Monument Valley 1 dan 2 dan juga permua seperti Beatstar.

Sebelum itu, aku akan kembali ingatkan mengenai ketahanan bateri yang pernah aku kongsi sebelum ini. Jika tetapan skrin adalah WQHD+, 120Hz ia akan bertahan sekitar 2-3 jam, manakala jika FHD+ 120Hz tiada masalah untuk mencapai sehingga 5 jam jika peranti banyak menjalankan aplikasi dan aktif dengan permua. Samsung Galaxy S22 Ultra turut menyokong skrin yang antara terbaik dalam industri, seperti AMOLED yang berkualiti tinggi, kadar segar semula adaptif yang pantas dan lancar serta skrin yang cukup bagus untuk fokus bermain permua.

Baiklah, dengan peranti aku rasakan ia tidak akan ada masalah langsung dalam mengendalikan permua yang ringan. Monument Valley 1 dan 2, Beatstar semuanya mampu mengeluarkan audio yang memuaskan, lantang dan menyeronokkan. Kemudian sesi bermain juga adalah cukup hebat dengan satu jam bermain peranti tidak memanas atau lengah masa. Permua ini juga tiada tetapan grafik kerana ia hanyalah permua yang ringkas sekadar untuk mengisi masa lapang.

Apabila aku lebih bersemangat dan bersifat ingin bertanding, Asphalt 9 yang aku akan jalankan terlebih dahulu. Tetapan grafik adalah yang paling tinggi dan mengejutkan dalam beberapa sesi bermain peranti tidak memanas seperti yang aku jangkakan. Ia hanya suam sedikit dan itu pun masih tidak menjejaskan lagi prestasi bermain. Lebih menarik, sebaik sahaja aku kembali ke skrin utama ia hanya perlahan untuk beberapa saat dan kembali pantas seperti sebelum.

Cubaan bermain PUBG Mobile pula dengan tetapan tinggi pada awalnya amat menjengkelkan kerana terlampau banyak perkara perlu dimuat turun berasingan dan ia tidak muat turun sekali serentak. Tetapi syukur selepas semuanya selesai dimuat turun dan tetapan yang patut dilakukan, PUBG Mobile pada aku adalah antara permua yang seronok untuk dimainkan pada peranti ini. Aku pernah main tanpa henti sehingga berjam pada hujung minggu. Cuma sayang sekali, pada PUBG Mobile akan berlaku sedikit masalah pemanasan yang kadang kala membuatkan prestasi peranti sedikit perlahan tetapi belum ingin buat aku rasa baran.

Tetapi masalah pemanasan dengan PUBG Mobile ini jarang berlaku. Apa yang pasti, pengalaman aku bermain walaupun tidak menang adalah menyeronokkan dan memuaskan. Lebih aneh, Samsung Galaxy S22 Ultra yang aku uji ini hanya mempunyai 8GB RAM dengan tambahan 8GB RAM memori maya dan prestasinya cukup menakjubkan. Prestasi yang aku alami ini biasanya boleh didapatkan pada peranti Android dengan 12GB RAM.

Ini secara tidak langsung membuktikan yang peranti ini berkemampuan untuk mengendalikan permua 3D dengan grafik tinggi. Tetapi tidak cukup hebat dan lemah apabila menjalankan Genshin Impact, kerana ia langsung tidak lancar dan peranti mula memanas. Aku rasakan ini adalah kerana memori yang tidak cukup dan kuasa CPU yang mungkin dihadkan.

Samsung Galaxy S22 Ultra dijual pada harga RM5,099 sejak dilancarkan sehingga hari ini. Jika anda ada bajet yang tinggi, peranti ini menawarkan pakej lengkap untuk kamera, bateri, skrin dan lain-lain. Tetapi jika hanya sekadar untuk permua, ia sebenarnya agak mahal. Asus ROG Phone 6 menawarkan prestasi yang lebih menakjubkan dan harga jualannya bermula RM3,599 untuk variasi 12GB RAM, manakala dengan RM3,699 anda boleh dapatkan Black Shark 5 Pro. Pilihan di tangan anda, adakah anda mahukan pakej lengkap atau yang fokus kepada satu aspek sahaja.

Sohor Kini