Samsung Galaxy S22 Ultra adalah telefon pintar terbaik yang pernah kami uji untuk prestasi terbaik. Ia menggunakan cip pemprosesan yang terkini untuk Android yang kini masih lagi yang paling berkuasa, ia menggunakan skrin besar yang masih lagi antara paling cantik dalam industri, kembalinya S-Pen, dan paling penting – ia memuaskan hati para peminat Samsung Galaxy Note.

Dalam artikel kali ini, aku akan kongsikan pengalaman penggunaan skrin Samsung Galaxy S22 Ultra selepas menggunakannya sebagai peranti harian untuk beberapa minggu. Aku gunakan skrin pada peranti ini untuk menstrim video untuk ulasan Jeda, aku tonton beberapa video berkualiti di YouTube untuk tambah ilmu dan juga menggunakannya untuk bermain permua.

Baca: Pengalaman Bermain Permainan Mudah Alih Di Samsung Galaxy S22 Ultra

Peranti ini menggunakan skrin 6.8-inci dariapda panel Dynamic AMOLED 2X dengan resolusi WQHD+ 1440 x 3088, menyokong kadar segar semula tinggi 120Hz, boleh memaparkan kandungan HDR10+, mempunyai kecerahan sehingga 1750 nits dan dilindungi dengan kaca Corning Gorilla Glass Victus+.

Skrin 120Hz pada peranti ini adalah antara yang terbaik dalam banyak-banyak peranti mercu yang pernah aku gunakan. Pertama sekali adalah kerana ia menawarkan jenis yang adaptif. Ini membolehkan bateri bertahan lebih lama dan penggunaan kuasa juga adalah efisien. Sepanjang penggunaan ini, aku rasakan fungsi adaptif ini Samsung adalah yang paling jujur kerana ia benar-benar mengikut situasi.

Kemudian Samsung adalah antara pengeluar yang sedikit menawarkan kebolehkan menukar resolusi skrin dari dalam tetapan. Jika inginkan yang lebih banyak butiran dan lebih tajam, boleh pilih WQHD+, manakala jika ingin jimat kuasa dan mata sukar nampak beza – gunakan sahaja FHD+. Mata aku boleh nampak sedikit beza antara dua resolusi ini, namun ia tidak banyak. Kandungan juga adalah terhad seperti YouTube dengan resolusi atas 1440p sahaja boleh manfaat. Netflix dan banyak platform penstriman lain terhad dengan Full HD sahaja. Tetapi aku yakin tidak semua orang boleh nampakkan beza ini, dan jika benar ingin pengalaman penggunaan bateri berpanjangan FHD sahaja sudah memadai untuk permua atau juga penstriman.

One UI juga ada menyertakan ciri Video brightness di mana pengguna boleh pilih sama ada Normal atau Bright untuk sistem secara automatik mengawal warna dan kecerahan skrin peranti apabila video dimainkan. Ini pada hemat aku amat membantu apabila menonton video Netflix yang banyak adegan di suasana gelap. Ia seolah boost warna sedikit, namun tidak semua kandungan nampak cantik dan sesetengahnya nampak aneh dan tidak seronok untuk tonton.

Walaupun begitu, untuk sebuah peranti dengan skrin besar ini, cantik, terang dan banyak ciri – tetapi memori hanyalah 8 GB RAM tidak mencukupi. Cip Snapdragon 8 Gen 1 pun tidak dapat membantu. Banyak kali aku menggunakan peranti ini dengan FHD+ dan perlu aktifkan Processing Speed pada tetapan High. Dengan tetapan ini barulah ia rasa lebih memuaskan.

Selain Samsung, tahun lepas Oppo Find X3 Pro adalah antara peranti dengan skrin yang cantik. Kemudian dalam kategori bajet, Xiaomi 11T Pro dengan Dolby Vision. Tetapi untuk keseluruhan, Samsung ini masih akan menjadi kegemaran aku dan aku yakin jika anda menggunakannya, anda akan alamai satu pengalaman penggunaan yang mengasyikkan.

Sohor Kini