Embracer Group iaitu syarikat di sebalik studio permainan video seperti THQ Nordic, Gearbox dan Plaion telah membeli harta intelek untuk semua yang berkaitan dengan The Lord Of The Rings. Mereka mengambil-alih Middle-earth Enterprise di bawah The Saul Zaentz yang memiliki harta intelek ini sejak 1976.

Dengan kata lain, semua harta intelek untuk The Lord of the Rings, The Hobbit untuk filem, permainan video, permainan papan, taman tema dan banyak lagi kini dipegang oleh Embracer Group. Walau bagaimanapun mereka tidak memiliki karya J.R.R Tolkien ini sepenuhnya, cuma mempunyai hak untuk mengadaptasi kepada projek lain sahaja. Karya J.R.R Tolkien masih lagi dimiliki oleh Tolkien Estate.

Embracer tidak mendedahkan nilai yang dibelanjakan untuk membeli harta intelek The Lords of the Rings ini. Tujuan mereka mengambil-alih adalah untuk sokongan kewangan, operasi, serta mengembangkan lagi kandungan permainan video mereka.

Untuk permainan video, baru-baru ini Private Division dan Weta Workshop mengumumkan mereka akan hadir dengan satu permainan video. Sementara projek kandungan aksi nyata adalah melalui siri TV The Rings of Power melalui Prime Video September akan datang.

Sohor Kini