Marca iaitu laman berita sukan dari Sepanyol telah melaporkan yang LaLiga iaitu liga bola sepak utama di negara tersebut bakal menamatkan perjanjian mereka bersama dengan penaja nama sekarang iaitu Santander untuk musim 2023-2024, dengan EA Sports dilaporkan akan menjadi penaja baharu.

EA Sports telah bersetuju untuk menjadi penaja nama, selama 5 tahun dengan bayaran EUR 30 juta (~RM136 juta) setahun. Jika mengikut penjenamaan sebelum ini, ia mungkin akan membawa kepada nama LaLiga EA Sports.

Selain nama, perjanjian ini juga akan menyentuh pelbagai pemasaran yang lain termasuk juga bekerjasama untuk hadir dengan kandungan secara fizikal dan juga digital dengan mereka memfokuskan kepada lima perkara: teknologi, digital, kandungan, akar umbi sukan dan juga penjenamaan.

Pada tahun 2020 lepas, EA Sports telah mengumumkan perjanjian selama 10 tahun bersama dengan LaLiga untuk penggunaan liga tersebut di dalam permainan mereka.

Bermula pada tahun 2023, EA Sports tidak lagi melancarkan permainan FIFA, dengan perjanjian dengan badan bola sepak dunia tersebut tamat bermula pada permainan baharu yang dikeluarkan pada tahun 2023 kelak.

Oleh itu, tidak mengejutkan jika penajaan ini adalah salah satu langkah EA Sports untuk mempromosi permainan dengan nama baharu tersebut. Bayaran RM136 juta setahun ini, adalah lebih rendah jika ingin dibandingkan dengan FIFA yang meminta RM4 Bilion untuk 4 tahun.

Sohor Kini