Skip to main content

PlayStation VR2 sudah diumumkan sejak awal tahun 2021, kita kemudiannya diperlihatkan rekaan untuknya bersama dengan spesifikasi dan terbaru, PlayStation berkongsi pula beberapa antaramuka bagi set kepala realiti maya generasi terbaru tersebut.

Antara yang diperlihatkan adalah, menggunakan kamera yang terpasang di bahagian depan set kepala, pengguna kini boleh melihat kawasan sekitar tanpa membuat terlebih dahulu set kepala tersebut. Pengguna boleh melakukannya dengan menekan butang ‘function’ di set kepala ataupun melalui Control Center.

Kamera depan ini juga boleh digunakan untuk menetapkan kawasan bermain, ia boleh mengimbas kawasan sekitar, kemudian pengguna boleh menggunakan alat kawalan PS VR2 Sense untuk menetapkan kawasan yang akan digunakan untuk bermain, jika pemain bergerak keluar daripada kawasan permainan, amaran akan diberikan.

Jika pengguna ingin merakam sesi permainan dan memperlihatkan diri sendiri, ia boleh dilakukan dengan menyambung PS5 HD Camera ke konsol dan menggunakan fungsi Broadcast yang baharu.

PlayStation juga berkongsi dua mod yang boleh digunakan oleh pengguna iaitu Mod VR dan Mod Cinematic, mod VR adalah khusus untuk sesi bermain permainan realiti maya yang membolehkan pemain melihat persekitaran secara keseluruhan. Ia akan dipaparkan dengan resolusi 4000 x 2040 HDR (2000 x 2040 setiap mata) dengan kadar segar semula 90Hz ataupun 120Hz.

Manakala di mod Cinematic, ia akan digunakan semasa pengguna melihat sistem PS5, antaramuka dan juga kandungan-kandungan bukan VR termasuk juga permainan dan media dalam bentuk skrin pawagam maya. Ia akan dipaparkan dengan resolusi 1920×1080 HDR dengan kadar segar semula 24 atau 60Hz dan juga 120Hz.

Buat masa ini tarikh pelancaran untuk PS VR2 masih tidak diumumkan lagi, di mana mereka mengatakan ia akan dilakukan tidak lama lagi bersama dengan permainan-permainan lain yang akan tiba.

Leave a Reply