Inilah Rekaan Sebenar Sony PlayStation VR2

Setelah rekaan diacah beberapa bulan yang lalu, hari ini rekaan sebenar Sony PlayStation VR2 akhirnya diperlihatkan secara rasmi. Set kepala realiti maya ini berwarna hitam dan putih supaya padan dengan rekaan konsol PlayStation 5 serta hadir dengan dua alat kawalan realiti maya dengan teknologi DualSense.

Rekaan pendakap kepala masih lagi sama seperti PS VR asal dengan disebarkan dengan lebih seimbang bagi memastikan keselesaan masa panjang. Terdapat span pada bahagian dahi pendakap untuk memastikan PS VR2 tidak menyakitkan kepala pemakai.

Turut diperkenalkan buat pertama kalinya ialah lubang udara untuk mengelakkan lensa VR berkabus kerana haba dan juga sejatan peluh ketika sesi permainan yang panjang. Lensa juga boleh dilaraskan bagi menukar jarak fokus. Roda pemfokusan dapat dilihat pada sisi kiri set kepala. Ini mungkin petanda PS VR2 boleh digunakan pemain rabun tanpa cermin mata.

Terdapat empat kamera di hadapan untuk penjejakan dunia luar ke dunia maya dan hanya satu kabel dari set kepala ke konsol. Alat kawalan mempunyai konfigurasi butang yang sama dengan DualSense dan pastinya menyokong picu adaptif untuk tindak balas haptik yang realistik. Rekabentuknya lebih menyamai pengawal yang digunakan Meta dan HTC Vive kerana tidak lagi kelihatan seperti tangkai PlayStation Move sebelum ini.

Sony turut berkata terdapat sokongan tindak balas pada set kepala juga. Skrin yang digunakan kelak menyokong resolusi 4K. Lebih banyak maklumat akan dikongsi oleh Sony sebelum PlayStation VR2 dilancarkan kelak.

Sohor Kini