PlayStation hari ini telah mengesahkan yang set kepala realiti maya generasi baharu mereka akan dijenamakan sebagai PlayStation VR2. Ia pertama kali diumumkan pada Februari tahun lepas, dan kini hampir setahun selepas pengumuman tersebut, maklumat lanjut mengenainya dikongsi.

Mengesahkan laporan kami mengenai spesifikasi PSVR 2 yang tertiris sebelum ini, ia akan menggunakan panel OLED dengan resolusi 4K HDR iaitu di setiap mata akan menggunakan resolusi 2000 x 2040 dengan kadar kelancaran 90Hz ataupun 120Hz.

Ia juga akan mempunyai penjejak yang lebih menyeluruh untuk memastikan pandangan pemain dan juga pergerakan pemain boleh digunakan sebagai input untuk sesuatu permainan. Ini termasuk juga penjejak anak mata, untuk memudahkan lagi kawalan.

Satu lagi penambah-baikkan yang sudah semestinya akan menarik lebih ramai orang untuk mencuba PSVR 2 adalah ia kini boleh dipasang dengan menggunakan satu kabel sahaja yang akan disambung terus ke PS5, berbanding sebelum ini ia mempunyai pelbagai sambungan berbeza menyukarkan pemasangan dan juga penggunaan.

Bagi alat kawalan baharu pula, ia akan dijenamakan sebagai alat kawalan PlayStation VR2 Sense yang akan mempunyai sensor pergerakan, pengesan sentuhan jari, penjejak kedudukan dan juga seperti alat kawalan DualSense ia mempunyai sokongan picu penyesuai dan getaran haptik.

Buat masa ini maklumat lanjut seperti harga, tarikh pelancaran tidak diumumkan lagi, namun mereka mengatakan maklumat lanjut akan dikongsi kemudian.

Sohor Kini