DokuRabu Pogmentary – Dokumentari Paling Tak Perlu Abad Ini

Dalam DokuRabu aku sudah mengulas beberapa dokumentari mengenai nama besar dalam dunia sukan seperti Michael Schumacher, Wayne Rooney dan Tiger Woods. Tiger Woods ialah antara dokumentari yang menghiburkan kerana meneroka kehidupan beliau sebelum dan selepas menjadi pemain golf paling terkemuka dunia. Rooney memberikan cerita sebenar yang tidak pernah dikongsi di sebalik skandal dan kecederaan metatarsal sebelum Piala Dunia 2006. Schumacher pula ialah dokumentari yang agak membosankan kerana dikawal sepenuhnya oleh ahli keluarga sehingga menjadi terlalu steril.

Pogmentary ialah siri dokumentari lima episod mengenai Paul Pogba di Prime Video. Sebagai sebuah dokumentari ia tidak menarik seperti Tiger Woods tetapi juga tidak membosankan seperti Schumacher. Ia layak dimasukkan ke dalam kategori ketiga iaitu tak perlu wujud.

Paul Pogba

Dokumentari ini mengikuti kehidupan Paul Pogba semasa masih lagi seorang pemain Manchester United dua tahun lalu. Penonton diberikan akses ke dalam kehidupan peribadi Pogba yang pada waktu tersebut adalah antara pemain bole sepak termahal dalam sejarah manusia mula menyepak beg kulit berisi udara di atas padang.

Sebagai bukan peminat Manchester United, aku tak ada kepentingan menonton Pogmentary selain untuk melihat siapakah Pogba yang sebenarnya. Sebagai seorang pemain bola popular, Pogba menggunakan media sosial untuk menjual jenama beliau. Oleh itu apa yang dikongsi untuk tontonan umum biasanya berbeza dengan yang sebenar. Pogmentary menawarkan premis menarik melihat Pogram tanpa sebarang artifice.

Permulaan Baik

Permulaan siri dokumentari ini sebenarnya menarik kerana perjalanan hidup Pogba diceritakan menggunakan animasi yang kemas serta menarik. Kita diberitahu bagaimana bola sepak ialah DNA Pogba kerana ibu beliau gemar dengan sukan ini semasa membesar di Guinea. Apabila berpindah ke Paris, kita melihat bagaimana kehidupan yang serba kekurangan membentuk sahsiah Pogba.

Dari kecil lagi diajar bahawa usaha adalah tangga kejayaan. Jika gagal berusaha, hanya kemiskinan menanti dan dalam kes lebih serius kematian menanti kerana ini ialah realiti kehidupan di Lagny-sur-Marne tempat beliau dibesarkan dalam komuniti migran.

Kita diberitahu Pogba ialah seorang bapa yang baik dengan isteri yang memberikan sokongan kepada beliau. Cerita bagaimana beliau tergerak untuk memeluk Islam juga menarik. Bagi bukan peminat tegar Pogba, mereka mungkin tidak menyedari bapa beliau seorang Kristian dan ibu beliau seorang Muslim namun begitu Pogba tidak dibesarkan dalam suasana keagamaan. Beliau membaca kitab Injil semasa membesar tetapi satu hari ketika mengikuti rakan solat di masjid beliau merasakan Islam ialah untuk beliau.

Perjalanan hidup Pogba sebelum menjadi antara pemain termahal dunia diselang selikan dengan situasi semasa dimana beliau sedang berfikir untuk berpindah kelab selepas 6 tahun di Manchester United yang tidak membawakan sebarang hasil di atas padang buat beliau.

Kejayaan hanya dikecapi semasa mewakili Perancis dengan kemuncak kerjaya dicapai selepas memenangi Piala Dunia 2018. Lazimnya kejayaan di peringkat negara akan terbawa-bawa ke peringkat kelab. Ini tidak berlaku semasa beliau di Manchester United dengan beliau melihat tiga jurulatih ditukar sepanjang enam tahun.

Tiada Sebab

Isu sebenar aku dengan Pogmentary ialah ia bukanya bosan. Kalau bosan boleh terus aku berikan 1/10 bintang untuk ulasan ini tetapi ianya adalah dokumentari paling pointless pernah aku tonton tahun ini. Selalunya apabila akses diberikan oleh subjek untuk dokumentari dihasilkan, kita dapat melihat subjek di dalam “habitat semula jadi” mereka. Pogmentary hanya menunjukkan Pogba di rumah, di dalam van dalam perjalanan ke pusat latihan (tetapi tiada video langsung beliau berlatih di Carrington), di Miami ketika bercuti dan di Abu Dhabi ketika mendapatkan rawatan untuk kecederaan.

Pogmentary terasa seperti sebuah dokumentari yang tidak cukup bahan untuk menghasilkan cerita yang menarik. Hanya beberapa individu di dalam inner circle Pogba ditemuramah untuk memberikan pendapat mengenai beliau. Kesemua insan yang ditemuramah bercakap hanya yang baik-baik sahaja mengenai beliau.

Tiada temuramah dengan jurulatih, teman sepasukan di Man United, bekas teman di Juventus, atau teman sepasukan Perancis. Ia seakan memberikan impression bahawa Pogba tidak mempunyai kawan. Aneh kerana kita diberitahu bahawa Atoine Griezmann dan Adnan Januzaj adalah antara teman paling rapat beliau. Yang kita dapat lihat hanyalah Blaise Matuidi  itupun kerana Pogba datang melawat beliau yang kini bermain di Inter Miami. Maaf cakap tapi siapa peduli dengan Blaise Matuidi sedangkan musim lalu beliau adalah rakan sepasukan dengan Christiano “GOAT” Ronaldo.

Naratif

Sepanjang lima episod kita juga disogokkan naratif bahawa Pogba tidak disayangi peminat dan hanya dipuji apabila memenangi sesuatu. Oleh sebab yang sama Pogba ingin berpindah ke kelab yang akan menghargai beliau. Dari awal sehingga akhir kita seakan diberikan petunjuk Pogba akan berpindah ke Paris Saint Germain tahun lalu. Ini tidak berlaku dan adakah ini sebab mengapa Pogmentary menjadi sebuah dokumentari yang pointless?

Apabila perpindahan semula ke Paris tak jadi, pengarah dokumentari tidak tahu bagaimana ingin menghasilkan finale yang diinginkan. Mungkin kematian Mino Raiola pada April lalu membuatkan Pogmentary hilang arah.

Akibatnya selepas lebih lima jam menonton Pogmentary aku terasa seperti telah menghabiskan masa sahaja. Oleh sebab itu aku nobatkan dokumentar ini sebagai yang paling tidak perlu abad ini. Habiskan masa anda menonton The Last Dance – dokumentari mengenai Michael Jordan di Netflix – atau Bad Sports dan Untold yang merupakan tiga dokumentari yang bukan sahaja lebih menarik tetapi mempunyai struktur penceritaan yang membuatkan anda seakan menaiki sebuah roller coaster.

Pogmentary
Ditayangkan di Prime Video
Dokumentari paling tak perlu dari pemain bola sepak yang mungkin paling tuli tona abad ini.
Positif
Segmen animasi Pogma membesar adalah sesuatu yang lain dari yang lain
Motivasi sebenar Pogba didedahkan.
Sedikit misteri mengenai kehidupan Pogba dirungkai.
Negatif
Tiada apa yang menarik atau membuka minda selepas lima episod.
Tidak lengkap dengan hanya kawan dan saudar rapat memberikan komen semuanya positif.
Tiada sebab untuk Pogumentary wujud
2

Sohor Kini